PRN Melaka: Calon jadi faktor kemenangan

SHAH ALAM – Faktor calon dan parti kedua-duanya memainkan peranan penting dalam menentukan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Penganalisis Politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berkata, kedua-duanya berperanan kerana Melaka tergolong negeri separa bandar dan separa luar bandar.

“Ia agak unik. Kalau negeri luar bandar seperti Kelantan dan Terengganu, faktor parti (penentu kemenangan). Kalau di negeri bandar atau 90 peratus bandar seperti Kuala Lumpur dan Selangor, faktor calon merupakan faktor penting.

“Tetapi kalau negeri macam Melaka yang separa bandar dan separa luar bandar, faktor parti dan calon juga penting. Kedua-dua menjadi pilihan bagi orang Melaka,” katanya kepada Sinar Harian.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Isnin menetapkan 20 November depan sebagai tarikh pengundian bagi PRN Melaka.

Dalam pada itu, Mazlan turut menjelaskan, bagi kawasan luar bandar di Melaka seperti kampung tradisional, pengundi akan memilih parti UMNO.

“Saya dapati di Melaka ini UMNO kuat di kawasan luar bandar. Jadi, letak calon mana pun asalkan UMNO mereka akan menjadi pilihan di kawasan luar bandar di Melaka.

“Di bandar, saya lihat DAP dengan Pakatan Harapan (PH) menjadi pilihan. Sebab utama kawasan campuran pelbagai bangsa akan (memilih) PH disebabkan mereka melihat PH ini lebih kepada suatu koalisi yang lebih meraikan kaum sedangkan UMNO tidak dilihat begitu.

“UMNO dilihat sebagai entiti Melayu,” jelasnya.

Mengulas isu sama, Penganalisis Politik daripada Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi pula berkata, faktor calon dan parti yang seimbang merupakan penentu kemenangan dalam PRN Melaka.

“Calon yang disukai dan diterima akar umbi penting untuk menang PRN Melaka. Namun mereka perlu bernaung di bawah parti yang besar seperti UMNO dan DAP misalnya kerana terdapat pengaruh dan jumlah penyokong yang lebih besar.

“Jika Parti Kuasa Rakyat meletakkan calon baru yang dikenali namun tidak disokong oleh jentera parti yang besar, ia sukar untuk menang ketika berhadapan dengan DAP atau PKR,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, faktor calon dan parti yang seimbang itu juga bergantung kepada lokaliti di Melaka.

“Di kawasan kubu UMNO, calon UMNO disukai dan diterima akar umbi akan mendapat jumlah sokongan yang lebih tinggi berbanding dengan calon UMNO yang sederhana.

“Apabila parti yang besar bertanding seperti DAP, namun calon kurang berprestasi dan kurang popular seperti (ADUN Pengkalan Batu), Datuk Norhizam Hassan Baktee, kemenangan masih ada walaupun undi diterima tidak sebesar pada PRU 2018,” jelasnya.

PRN Melaka: Calon jadi faktor kemenangan


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker