PRN Melaka mampu cetus teori domino di Perak, Johor

PETALING JAYA: Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka mampu menjadi pencetus teori domino terhadap percaturan politik di negeri yang mempunyai majoriti tipis seperti Perak dan Johor.

Jika PRN Melaka berlangsung dengan berjaya tanpa peningkatan serius kes Covid-19, tidak mustahil negeri lain mahu mencuba nasib membubarkan DUN jika wujud ketidakpuasan dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan akhirnya membuka ruang kepada PRN.

Buat masa kini kerajaan negeri Perak pimpinan Datuk Saarani Mohamad mempunyai kelebihan sembilan kerusi iaitu 34 wakil rakyat kerajaan berbanding 25 pembangkang daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala Johor di bawah Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad pula kelebihan dua kerusi dengan 29 wakil rakyat kerajaan dan 27 pembangkang.



Bercakap kepada Utusan Malaysia, pensyarah kanan Pusat Pengajian Kerajaan, Undang undang dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Mohamad Faisol Keling berkata, situasi itu tidak berlaku sekiranya Menteri Besar dan pemimpin UMNO negeri bijak mengekalkan kepercayaan dalam kalangan wakil rakyat agar mereka terus menyokong kerajaan sedia ada.

Katanya, berbanding dalam kalangan ADUN Perikatan Nasional (PN) melibatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas, mereka lebih mahu kekal dalam kerajaan memandangkan Pakatan Harapan (PH) tidak berminat mengadakan kerjasama dengan kerajaan.

“Adakah ketidakpuasan hati ADUN UMNO di Melaka boleh berlaku di negeri lain khususnya Perak dan Johor sehingga membawa keruntuhan kerajaan negeri? Jawapannya adalah bergantung kepada setiap tindak-tanduk keputusan Menteri Besar sendiri untuk mengekalkan sokongan ADUN parti itu.

“Jadi Menteri Besar daripada UMNO perlu bijak mengurus keyakinan wakil-wakil rakyat sendiri agar perkara yang berlaku di Melaka tidak berulang di negeri yang mempunyai majoriti tipis. Jadi perkara ini perlu diambil kira oleh pemimpin berkenaan,” katanya.



Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas hari ini bagi membincangkan urusan PRN Melaka yang perlu diadakan susulan pembubaran Dewan DUN pada 4 Oktober lalu selepas Datuk Seri Sulaiman Md. Ali hilang majoriti sokongan sebagai Ketua Menteri.

Ia berikutan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ketika itu menarik balik sokongan kepada kepimpinan beliau, iaitu Datuk Seri Idris Haron (Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu).

Dalam pada itu, Mohamad Faisol berkata, Perak adalah negeri ketara boleh mengulangi nasib Melaka memandangkan masih terdapat syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri dikuasai pemimpin Bersatu dan perlu diatasi segera Shaarani bagi mengelakkan ketidakpuasan wakil rakyat UMNO.

“Ini adalah antara isu yang sedang membelenggu kerajaan perak apabila GLC negeri telah dipergunakan oleh pemimpin Bersatu dan Pas untuk tujuan parti masing sedangkan UMNO tidak pernah berbuat demikian. Maka ssu ini perlu ditamatkan segera bagi mengelakkan ketidakpuasan ADUN UMNO.



“Malah dengan masih mengekalkan Bersatu menerajui GLC negeri ia tidak hanya menimbulkan ketidakpuasan hati UMNO tetapi juga akan memberi kesan buruk kepada parti itu bagi menghadapi pilihan raya kerana PN akan menjadi musuh,” katanya.

Sementara itu, pensyarah Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, rakyat akan menolak pemimpin terlibat dalam percaturan krisis politik sehingga membawa kejatuhan kerajaan seperti yang berlaku di Melaka.

Katanya, kini bukan masa sesuai untuk berpolitik di saat negara berada dalam fasa pemulihan Covid-19 dan sebarang tindak-tanduk mengeruhkan keadaan boleh menghakis kepercayaan rakyat kepada parti politik.

“Mereka bukan sahaja ditolak rakyat dalam pilihan raya, malah sukar untuk dicalonkan untuk kerusi disandang sebelum ini. Jadi jangan cuba jadikan krisis berlaku di Melaka bakal berulang di negeri-negeri majoriti tipis. Rakyat akan muak dengan sikap penting diri ahli politik,” katanya.



Noor Nirwandy menambah, parti politik perlu mengelakkan untuk meletakkan calon lama dan kitar semula pada PRN Melaka sekiranya mereka mahu menang dalam pilihan raya. – UTUSAN

PRN Melaka mampu cetus teori domino di Perak, Johor


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU




 

Siapa bakal menang PRN Melaka



Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker