Isu Hadis 40: Kerajaan Perpaduan dapat sokongan, MCA kini puas hati, PAS sokong penuh

MCA menyatakan mereka kini berpuas hati dengan rancangan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mengajarkan modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi selepas mendapat penjelasn Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Presiden MCA Wee Ka Siang bagaimanapun berkata, penjelasan mengenai kaedah pelaksanaan modul berkenaan sepatutnya dibuat lebih awal supaya ia tidak terdedah kepada salah tafsir khususnya dalam kalangan bukan Islam.

Menurut Wee, pertikaian timbul susulan perkataan “rintis” seperti yang dilaporkan beberapa media dan membawa gambaran ia akan diperluaskan kepada institusi selain dari sekolah agama.



Ujarnya penjelasan perlu dibuat daripada awal memandangkan perkataan “rintis” dan “diperluaskan” yang digunakan, membuat ramai masyarakat bukan Islam tidak faham kerana penjelasannya dilihat tergantung di situ saja.

“Apa yang menjadi reaksi (tentangan) masyarakat ialah sebelumnya perkataan yang digunakan bagi pengenalan modul itu adalah ‘projek rintis’ yang kemudiannya akan diperluaskan kepada semua sekolah menengah kebangsaan (SMK).

“Maka sudah tentu ia akan terdedah kepada penterjemahan dan pentafsiran yang berlainan,” katanya seperti dipetik Harian Metro hari ini.

Wee yang juga bekas menteri pengangkutan turut menganggap laporan media massa yang menggunakan kedua-dua perkataan tersebut sebagai punca MCA mengambil sikap menolak sebelum ini.



Wee berkata, MCA berpuas hati dengan penerangan Anwar di Johor semalam, bahawa kerajaan tidak akan memaksa golongan bukan Islam untuk menghafal atau mendalami modul berkenaan.

“Penjelasan perdana menteri dan kenyataan berhubungnya dikeluarkan oleh KPM hanya pada petang semalam, tetapi (sedangkan) perkara (isu) ini sudah timbul sejak beberapa hari lalu. Jadi sepatutnya ini dijelaskan lebih awal,” katanya.

Bukan benda baru

Terdahulu Biro Perhubungan Etnik dan Hal Ehwal Agama MCA menggesa kerajaan menangguhkan terlebih dahulu pelaksanaan modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi agar ia boleh dibincangkan semula di peringkat kabinet.



Ketuanya Cally Ting berharap kabinet dapat mencapai persetujuan agar modul itu hanya dilaksanakan di sekolah agama dan tidak melibatkan sekolah kerajaan.

Menurut KPM program rintis itu akan dilaksanakan di 61 sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA) dan 228 sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) seluruh negara.

Ia kemudian menimbulkan polemik terutama dalam kalangan penganut bukan Islam. Antaranya Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme Malaysia (MCCBCHST) menyatakan “kebimbangan mendalam” terhadap kemungkinan pelajar bukan Islam perlu mempelajari modul itu juga.

Bagaimanapun, pegawai khas kepada Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Swee Kuan semalam menjelaskan ia akan diajar kepada pelajar Islam sahaja.



Sementara itu Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Mohamed Fadzli Hassan, berkata parti itu menyokong penuh inisiatif KPM melaksanakan modul terbabit di 289 buah sekolah-sekolah kerajaan.

“Inisiatif ini sangat bertepatan dengan keadaan semasa yang menuntut ke arah keutamaan pembentukan sahsiah dan kepribadian yang mulia.

“PAS merasa dukacita tentang satu laporan berita mengenai sebuah kumpulan mewakili agama bukan Islam, MCCBCHST, yang melihat tindakan KPM sebagai tidak berperlembagaan.

“Pembangunan kurikulum pengajaran agama Islam dalam arus pendidikan perdana bukanlah baru malah berjalan dengan baik melalui beberapa perubahan mata pelajaran seperti Pendidikan al-Quran dan Sunnah, Pendidikan Syariah Islamiah, Tasawwur Islam, j-Qaf, Tamadun Islam dan beberapa modul lain dalam bentuk formal dan tidak formal,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.



Mohamed Fadzli yang juga timbalan menteri besar Kelantan berkata, sebagai negara yang menjadikan Islam sebagai agama persekutuan, amat wajar sekali pengajaran agama Islam perlu menjadi keutamaan dan tanggungjawab ke atas persekutuan.

“Dalam sistem pendidikan di negeri-negeri di Malaysia termasuk di bawah pentadbiran PAS turut menekankan keutamaan ilmu fardhu ain dalam pelaksanaan pendidikan.

“Sebagai contoh di Kelantan, amalan terbaik keutamaan ilmu fardu ain telah dijadikan indeks utama dalam pelaksanaan dasar pendidikan rabbani. Ia selari dengan falsafah pendidikan kebangsaan yang bertujuan melahirkan insan seimbang dan harmoni berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan,” katanya.

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda



Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Jumpa kamu di alam lain Nad – Sharifah Sakinah

Aliff Syukri bengang pasal Ira dan Puteri Sarah

Berzina dengan ibu kandung

Saya tahu masalah Nad – Marsha Milan

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker