Pembebasan Muhyiddin cetus persoalan bidang kuasa mahkamah – Peguam

Pembebasan Muhyiddin cetus persoalan bidang kuasa mahkamah – Peguam

Keputusan mahkamah untuk membatalkan empat pertuduhan salah guna kuasa dan membebaskan sepenuhnya Muhyiddin Yassin pagi ini telah menimbulkan persoalan sama ada mahkamah diberi kuasa atau tidak untuk membebaskan tertuduh sebelum saksi dipanggil memberi keterangan.

Awal hari ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan empat pertuduhan salah guna kuasa terhadap Muhyiddin, yang dikaitkan dengan program Jana Wibawa, adalah “cacat” dan tidak selaras dengan Kanun Tatacara Jenayah (CPC).

Hakim Muhammad Jamil Hussin berkata pertuduhan itu tidak mendedahkan butiran yang mencukupi mengenai kesalahan yang didakwa mengikut Akta SPRM 2009.

Beberapa pengamal undang-undang menyifatkan keputusan mahkamah itu pelik, termasuk peguam Tiara Katrina Fuad.

Tiara berhujah walaupun mahkamah diberi kuasa untuk membatalkan pertuduhan jika ia cacat dan kecacatan itu diputuskan sebelum saksi dipanggil, namun dia tidak pasti jika mahkamah mempunyai kuasa untuk membebaskan tertuduh dalam kes sedemikian.

Katanya, kuasa untuk melepaskan dan membebaskan sebelum pemanggilan saksi adalah terhad mengikut undang-undang kepada kes melibatkan Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah (CPC).

“Itulah perkaranya, mahkamah membatalkan pertuduhan dan memerintahkan dia dibebas dan dilepaskan daripada pertuduhan yang telah dibatalkan.

“Itulah yang saya katakan janggal,” katanya kepada Malaysiakini.

Tiara juga berkata belum ada duluan kes untuk menyatakan bahawa mahkamah boleh memberikan sama ada ‘pelepasan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan (DNAA)’ atau ‘dilepas dan dibebaskan’ daripada pertuduhan (DAA).

“Untuk membatalkan pertuduhan bermakna pertuduhan itu tidak sah. Jadi boleh dikatakan, DNAA atau bahkan DAA tidak boleh dimasukkan atas tuduhan yang menyalahi undang-undang. Ia baru ditolak. Tiada perintah lanjut setakat ini diperlukan,” katanya pada hantaran di media sosial.

Dalam kes DNAA, tertuduh masih boleh didakwa atas kesalahan yang sama kemudian, sedangkan ini tidak mungkin untuk DAA.

Seksyen 254 CPC, seperti yang disebutkan, menyatakan bahawa pendakwa raya boleh menolak untuk mendakwa lebih lanjut pada mana-mana peringkat.

Bagaimanapun, peguam jenayah Harshaan Zamani mempunyai pendapat berbeza kerana dia yakin kuasa untuk membatalkan dan membebaskan tertuduh merupakan sebahagian daripada bidang kuasa mahkamah sedia ada.

“Ia adalah bidang kuasa sedia ada, ia tidak dinyatakan (dalam undang-undang).

“Pandangan saya dalam melaksanakan bidang kuasa sedia ada ialah mahkamah tidak dihalang daripada membebaskan (tertuduh).

“Tiada apa-apa yang menghalang mahkamah daripada membebaskan seseorang,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Dia berkata Seksyen 254 CPC tiada perkaitan dengan kes ini kerana bukan pendakwa raya yang meminta untuk menarik balik pertuduhan.

“Pasukan (peguam) Muhyiddin yang meminta mahkamah melaksanakan bidang kuasanya.

“Dalam permohonan itu, mahkamah boleh memberikan pembebasan penuh,” katanya.

Beberapa peguam lain yang dihubungi Malaysiakini enggan mengulas mengenai kes ini kerana penghakiman bertulis penuh belum dikeluarkan dan oleh itu, mereka tidak mempunyai butiran keseluruhan mengenai alasan penghakiman.

Muhyiddin masih menghadapi tiga pertuduhan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan program Jana Wibawa.

Sementara itu, Peguam Negara Idrus Harun berkata pihak pendakwaan telah memohon ke Mahkamah Rayuan untuk membatalkan keputusan mahkamah tinggi hari ini yang membebaskan Muhyiddin atas empat pertuduhan salah guna kuasa. Mk

Pembebasan Muhyiddin cetus persoalan bidang kuasa mahkamah – Peguam

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Punca penceraian Aziz M Osman

Bakal doktor dicekup melacur

“Ya aku sakit”, Mimi Lana tarik perhatian netizen

Dakwaan Syasya Dolla minum arak, ini jawapan tuan punya badan

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker