Pearly mohon maaf terpaksa tarik diri Piala Uber akibat cedera belakang

Pearly mohon maaf terpaksa tarik diri Piala Uber akibat cedera belakang

Pearly mohon maaf terpaksa tarik diri Piala Uber akibat cedera belakang
PEARLY (kanan) terpaksa menarik diri daripada skuad Piala Uber akibat kecederaan belakang di BAC, baru-baru ini. FOTO ARKIB NSTP

Kuala Lumpur: Skuad Piala Uber negara menerima tamparan hebat menjelang saingan bermula 24 April sehingga 3 Mei ini di Horsens, Denmark selepas pemain beregu utama wanita negara, Pearly Tan mengumumkan terpaksa menarik diri daripada menyertai kejohanan berpasukan berprestij itu.

Ia berikutan Pearly mengalami kecederaan belakang ketika di Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China, minggu lalu.

Menerusi perkongsian di media sosial miliknya, rakan sepasukan kepada M Thinaah itu berkata, dia memohon maaf kepada semua pihak terutama penyokong kerana mengecewakan mereka berikutan situasi terkini yang dialaminya itu.

“Saya memohon maaf kerana mengecewakan semua. Baru-baru ini saya mengalami kecederaan belakang ketika kejohanan terakhir saya (BAC) dan saya kecewa kerana sekali lagi mengalami kecederaan.

“Saya benar-benar kecewa dengan perkara ini. Dengan berat hati sangat sedih untuk mengatakan bahawa saya tidak dapat menyertai Piala Uber kali ini.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Agama Bukan Alat Untuk Raih Sokongan Politik Murahan – Shaiful Hazizy


“Tiada perkara yang lebih saya inginkan selain berada di gelanggang, berjuang untuk setiap mata dan bersama pasukan saya.

“Namun, disebabkan kecederaan belakang, saya terpaksa berehat buat sementara waktu,” katanya.

Pemain yang menduduki ranking kedua dunia itu berkata, tiga tahun lalu kecederaan sama berlaku serta hampir meragut segalanya dan kenangan itu masih kekal, sekali gus sesuatu yang tidak boleh diabaikan olehnya.

“Beberapa hari kebelakangan ini bukan mudah. Saya tidak dapat tidur dan fikiran saya sentiasa bercelaru, berharap masih ada pilihan lain.

“Sesiapa yang mengenali saya tahu saya tidak akan sesekali meninggalkan gelanggang. Saya akan berjuang hingga mata terakhir. Tetapi kali ini…tubuh saya memberi isyarat untuk berhenti dan saya perlu mendengarnya.

“Saya tidak mahu keluarga terus risau mengenai keadaan saya. Jadi buat masa ini, saya perlu menjaga diri dan memberi tubuh saya masa untuk pulih sepenuhnya,” katanya.

Pearly turut memohon maaf kepada rakan sepasukan yang terpaksa berjuang pada edisi Piala Uber kali ini tanpa ada penampilannya.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

UMNO Cawangan Perlu Jadi “Rumah Bangsa”, Dekat Dengan Isu Rakyat


“Sangat mengecewakan apabila tidak dapat bersama rakan sepasukan dan melalui perjalanan ini bersama-sama.

“Saya benar-benar minta maaf kerana tidak dapat bersama untuk untuk berjuang.

“Ketahuilah hati saya sentiasa bersama pasukan dan saya akan terus memberi sokongan kepada setiap seorang daripada anda dengan sepenuh jiwa, walaupun dari jauh.

“Saya berjanji akan melakukan segala yang termampu untuk kembali lebih kuat. Buat masa ini, apa yang saya harapkan hanyalah tubuh yang sihat untuk kembali ke gelanggang.

“Saya minta maaf kerana membuat semua orang risau dan sekali lagi saya benar-benar memohon maaf kepada pasukan saya.

“Terima kasih atas segala kebaikan dan sokongan anda semua. Ia amat bermakna buat saya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Beregu negara, Rexy Mainaky berkata, keputusan itu dibuat selepas melakukan penilaian lewat terhadap keadaan Pearly.

“Pearly tidak berada pada tahap yang diperlukan untuk bersaing.

“Kami terpaksa membuat keputusan bagi memastikan pasukan benar-benar bersedia,” katanya.

Pearly mohon maaf terpaksa tarik diri Piala Uber akibat cedera belakang

 


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Jangan Perlekeh Keadaan Semasa, Simpati Nasib Rakyat – Mohd Razlan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker