Mossad sasar pemimpin Hamas, profesional Palestin berlindung di Malaysia

KUALA LUMPUR: Penganalisis keselamatan serta perisikan percaya pemimpin utama Hamas dan golongan profesional yang berasal dari Palestin yang berlindung atau berada di negara tertentu termasuk Malaysia, sedang menjadi sasaran utama untuk dihapuskan oleh ejen perisikan Israel yang dikenali sebagai Mossad.

Kenyataan terbuka seorang Ahli Parlimen Israel sebelum serangan secara besar-besaran terhadap Gaza pada Oktober tahun lalu bahawa rejim Zionis itu mahu menghapuskan semua pemimpin Hamas yang berada di Gaza, Lubnan, Qatar dan Malaysia, dilihat mempunyai kaitan dengan penahanan seorang warga Israel di sebuah hotel dekat Jalan Ampang, di sini pada Rabu lalu.

Ketika ditahan polis, lelaki disyaki ejen perisikan itu dikesan memiliki enam pucuk pistol bersama 200 butir peluru kaliber 9mm yang dibeli daripada pembekal yang menyeludup senjata api itu dari Thailand.



Penasihat keselamatan yang juga penganalisis pertahanan dan geostrategis, Muhammad Fuad Mat Noor, berkata Mossad sebelum ini bertanggungjawab dalam pembunuhan pemimpin Hamas yang berada di Gaza serta pemimpin Hizbullah di Lubnan yang menjalin hubungan dengan Hamas.

“Pemimpin Israel sendiri sebelum ini dalam temu bual bersama stesen televisyen antarabangsa mendedahkan rancangan Mossad menghapuskan semua pemimpin Hamas yang dipercayai mereka berlindung di Gaza, Lubnan, Qatar dan Malaysia. Kini saya yakin penangkapan lelaki Israel yang menggunakan identiti kewarganegaraan Perancis ini adalah antara satu misi menjayakan agenda berkenaan.

“Mereka sudah lama membuat kerja perisikan dan kajian untuk mengumpul segala maklumat yang ada mengenai setiap pemimpin Hamas yang ada di negara kita, termasuk merekrut sel tertentu, sama ada dalam kalangan warga asing dari negara lain yang memasuki negara ini sebagai pelancong atau menggunakan rakyat negara ini sendiri.

“Berdasarkan maklumat yang ada, sel berkenaan tidak mengenali di antara satu sama lain serta tidak mengetahui peranan di antara setiap sel, akan melaksanakan peranan masing-masing termasuk mendapatkan senjata api,” katanya kepada BH semalam.



Muhammad Fuad berkata, setiap perancangan mengenai usaha menghapuskan pemimpin Hamas dilakukan dengan penuh teliti, termasuk faktor geopolitik semasa di negara ini untuk mengalihkan kesalahan mereka kepada keadaan dan situasi semasa yang sedang berlaku di Malaysia.

“Pada masa ini, Malaysia berhadapan dengan isu stoking kalimah Allah membabitkan sebuah syarikat kedai serbaneka, selain berlakunya masalah ketegangan kaum akibat daripada isu stoking berkenaan.

“Dengan mengambil kita faktor dan situasi semasa yang boleh saya letakkan dalam konteks tidak harmoni ini, maka ia adalah masa dan waktu yang sesuai untuk Mossad melakukan serangan, sama ada terhadap pemimpin Hamas atau pemimpin negara kita sendiri seperti Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang lantang bersuara memperjuangkan nasib Palestin termasuk dalam ucapannya di Jerman, baru-baru ini.

“Dari segi konteks perisikan, ancaman terhadap pemimpin Hamas atau Anwar sendiri boleh dilakukan ejen Mossad iaitu warga Israel sendiri atau sel yang terdiri daripada rakyat negara asing lain yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia atau ancaman dari rakyat Malaysia yang direkrut ejen Mossad,” katanya.



Yakin perisikan PDRM

Katanya, pada masa ini beliau yakin dengan maklumat dan perisikan yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertindak pantas memberkas suspek terbabit sebelum situasi bertukar menjadi lebih buruk.

“Kita sudah melalui pelbagai pengalaman mengenai kewujudan ejen Mossad di negara ini, termasuk pembunuhan seorang pensyarah dan imam Palestin, Dr Fadi Mohammed Al Batsh, di Danau Kota, Setapak pada 21 April 2018 serta penculikan seorang jurutera Palestin di Jalan Yap Kwan Seng, pada September 2022.

“Apa yang dinyatakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini bahawa ancaman Mossad tidak harus dipandang ringan adalah tepat dan situasi yang berlaku (penangkapan warga Israel) menjadi bukti bahawa mereka (Israel) sudah bersedia untuk melakukan sesuatu yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman negara ini.



“Dengan mengambil kira sambutan perayaan Aidilfitri yang semakin hampir, saya tidak menolak kemungkinan mereka (Mossad) akan mengambil kesempatan melakukan serangan ketika Perdana Menteri atau pemimpin Hamas yang berada di negara ini menunaikan solat Aidilfitri atau sewaktu mengadakan kunjungan ketika musim perayaan itu.

“Ini kerana pada masa berkenaan, Perdana Menteri akan bertemu dengan segenap lapisan masyarakat dari pelbagai bangsa yang mungkin akan mengambil kesempatan,” katanya.

Mengulas mengenai enam pucuk pistol yang dirampas dari warga Israel yang ditahan itu, Muhammad Fuad percaya, senjata api berkenaan akan digunakan oleh lima atau enam lagi individu lain yang akan mendalangi serangan tembak mati.

Katanya, adalah di luar logik akal seseorang warga Israel akan menggunakan semua enam senjata dan 200 butir peluru yang dirampas darinya untuk melakukan serangan secara bersendirian.



“Seperti yang saya tegaskan, dalam konteks perisikan, tidak mungkin suspek warga Israel terbabit akan melakukan serangan sebaliknya dia mungkin berperanan sebagai handler atau orang yang memberikan arahan kepada sel-sel yang sudah direkrut dan dalam hal ini berkemungkinan senjata yang dibeli akan digunakan oleh lima atau enam lagi individu lain yang mampu mendekati sasaran mereka,” katanya.

Sementara itu, Pakar Keselamatan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof Dr Mohd Mizan Mohammad Aslam mengakui Mossad mempunyai jaringan rangkaian yang besar dalam menjayakan sesuatu misi di lokasi yang menjadi sasaran mereka termasuk Malaysia.

Beliau berkata, selain menggunakan warga Israel sendiri, Mossad juga mempunyai sel-sel yang direkrut terdiri daripada warga dari pelbagai negara yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, selain menggunakan rakyat yang berasal dari negara yang menjadi lokasi sasaran.

“Ejen perisikan Mossad ini mempunyai pelbagai cara untuk menyusup masuk ke Malaysia, tambahan pula mereka mampu memperoleh dua kewarganegaraan, selain Israel dengan bantuan negara sekutu seperti Amerika Syarikat, Perancis dan negara Eropah.



“Malah, mereka mempunyai ‘tentera-tentera’ mereka sendiri yang berkemungkinan terdiri daripada rakyat dari negara jiran yang mempunyai hubungan rasmi dengan Israel sebagai ejen,” katanya.

“Katakanlah Israel merekrut orang daripada Thailand, Filipina, Singapura, ini menjadi satu kesukaran untuk kita pantau. Agensi risikan kita kena sentiasa ke hadapan dan aktif serta mempunyai rangkaian yang padu daripada pelbagai sumber,” katanya.

Mohd Mizan berkata, usaha harus dipertingkatkan di kalangan agensi perisikan dan penguatkuasaan di negara kita dalam mengekang sebarang anasir Mossad dan subversif dari luar negara.

“Kalau tidak, bermakna negara akan terus menjadi sasaran kerana polisi kita dan dispora Palestin yang ramai di Malaysia. Ia memang sukar, tetapi kita kena teruskan usaha jaga keselamatan dan kedaulatan negara.

“Kini bukan masa sesuai untuk pemimpin bertelagah mencari salah orang lain, sebaliknya bersatu-padu dan memperkukuhkan keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Shidee yang ditahan polis

Safee Sali mengaku kahwin lain

Hans Isaac tak malukah – PN

Lantikan penjawat awam baharu setara sistem pencen

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker