Logik ke TPM tak tahu?

Pembangkang dakwa ada draf perjanjian peruntukan untuk pembangkang yang telah diberikan Anwar, kerajaan pula nafikannya.

oleh Hishamuddin Aun

Sekeping foto yang tular baru-baru ini membayangkan satu konflik berlarutan sejak tertubuhnya kerajaan perpaduan selepas PRU15 hampir menuju pengakhirannya.

Dengan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof di kerusi pengerusi bersama Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin, Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) Takiyuddin Hassan dan Ahli Parlimen Beluran Ronald Kiandee, kemesraan yang dipertontonkan nampak bukan dibuat-buat. Tapi orang politik berkemungkinan apa sahaja.



Berlatarbelakangkan pejabat timbalan perdana menteri di Bangunan Parlimen dan topik perbincangan pula berkait peruntukan untuk Ahli Parlimen pembangkang yang selama ini berbahang dan membara, mana mungkin Fadillah meleretkan senyuman, begitu juga Hamzah dan Kiandee, sambil Takiyuddin lebih tertumpu kepada kertas notanya jika tiada rasa hormat dan persefahaman sesama mereka.

Itu yang dapat dimengertikan daripada senario di pejabat berkenaan pada 19 Mac lalu. Namun, di luarnya pula, suasananya jauh berlawanan apabila keadaan gegak-gempita dengan pertelingkahan, cuma pelakunya sama-sekali berbeza.

Mungkin kesimpulan yang boleh dibuat ialah butir-butir perbincangan seperti yang tergambar dalam foto berkenaan tidak sampai kepada pemimpin peringkat bawahan PN hingga timbulnya tuduh-menuduh dan bermacam sangkaan.

Isnin lalu, Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim menerusi “wakilnya” sudah menyerahkan dokumen perjanjian berkaitan agihan peruntukan untuk pembangkang kepada Hamzah.



Dakwaannya itu seperti mengulangi kenyataan Ahli Parlimen Ketereh Khlir Mohd Nor pada 15 Mac lalu bahawa kerajaan menawarkan kepada Hamzah satu perjanjian keyakinan dan perbekalan (CSA) sebagai membuka peluang kepada wakil rakyat pembangkang untuk menerima peruntukan yang telah lama mereka nanti-nantikan.

Masalahnya ia tidak pun seperti didakwa. Fadillah sendiri, dalam satu kenyataannya pada 24 Mac, menegaskan tidak timbul draf perjanjian baharu itu seperti yang didakwa. Pertemuan di Parlimen 19 Mac lalu, tambahnya, hanya mendengar permohonan PN dan apa yang mereka tawarkan.

Tiada lebih, tiada kurang. Malah, tiada perbincangan mengenai apa-apa ‘perjanjian’ pun. Apa yang disahkan oleh timbalan perdana menteri ialah tiada sebarang dokumen diberi atau pun diterima. Jadi, dari mana datangnya cerita ‘wakil’ Anwar ada beri draf kepada Hamzah?

Melanjutkan lagi perdebatan mengenai perkara itu, jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil turut menafikan wujudnya draf perjanjian seperti didakwa.



Semakan yang dilakukannya dengan Pejabat Perdana Menteri (PMO), Ketua Setiausaha Politik Anwar Shamsul Iskandar Mohd Akin dan beberapa pegawai lain juga mendapati tiada draf diserahkan seperti didakwa Wan Fayhsal.

Fahmi bukan sekadar menafikan wujudnya draf perjanjian itu, malah turut menyindir Wan Fayhsal sebagai mungkin mencetak draf perjanjiannya sendiri.

Ini merujuk kepada Wan Fayhsal ketika menganggotai pentadbiran PN pada November 2020 yang melontarkan ‘teori cetak duit’ dan pengampunan hutang bagi mengatasi isu ekonomi, yang dijelaskan beliau kemudian telah diputar-belitkan, namun terus dipersendakan.

“Adakah Ahli Parlimen Machang mencetak drafnya sendiri? Sebab sebelum ini beliau pernah cadang untuk selesai masalah ekonomi kena cetak wang. Tetapi TPM (Fadillah Yusof) yang duduk bersama dengan ketua pembangkang apabila melaporkan kepada Kabinet menyatakan tidak ada sebarang draf dan perkara ini telah disahkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri,” kata Fahmi pada sidang media di Parlimen, Isnin lalu.



Di Dewan Rakyat pada Khamis sebelum itu (21 Mac), Hamzah memaklumkan pihaknya sudah menerima suatu draf dokumen yang memperincikan cadangan pemberian peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.

Ini dituruti oleh Ahli Parlimen Hulu Terengganu Rosol Wahid dari Bersatu yang menyatakan Ahli Parlimen PN menuntut peruntukan RM3.5 juta setahun dalam “draf tawaran perjanjian baharu” itu — jumlah sama pernah disalurkan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pasca PRU14.

Jumlah itu, katanya, wajar dipersetujui bersama tambahan peruntukan RM300,000 setahun bagi perbelanjaan pengurusan pejabat pusat khidmat Ahli Parlimen.

“Seorang Ahli Parlimen boleh memohon sehingga RM3.5 juta setahun mengikut nilai disalurkan kerajaan PH pada 2019. Jumlah itu dibahagikan kepada RM2 juta untuk tujuan pembangunan kawasan serta RM1.5 juta untuk geran, sumbangan dan perbelanjaan mengurus kawasan Parlimen. Peruntukan ini penting untuk membantu orang miskin, ibu tunggal, tujuan pendidikan serta membiayai projek membuat jalan dan sebagainya,” kata Rosol.



Ramai yang ternanti-nanti huraian lanjut daripada Hamzah mengenai draf perjanjian yang didakwa diterimanya. Kecuali kenyataan ringkasnya di Dewan Rakyat itu, wakil rakyat pembangkang turut dalam keadaan tertanya-tanya kandungannya, lebih-lebih lagi ia turut mengaitkan kepentingan langsung mereka di samping ia menjadi alasan enam Ahli Parlimen PN menyatakan sokongan kepada Anwar sebelum ini.

Tapi Fadillah mengukuhkan hujahnya terhadap ketiadaan draf perjanjian itu apabila meminta Rosol mendapatkan kepastian mengenainya. Tidak logiklah Fadillah, yang diberi tanggungjawab oleh Anwar berunding dengan pembangkang berhubung peruntukan Ahli Parlimen, tidak dirujuk atau dimaklumkan mengenainya. Sebaliknya, Wan Fayhsal mendakwa perkara itu tidak diketahui sesiapa termasuk Fadillah. Masuk akalkah?

“Bukan semua benda PMX nak cerita dengan kamu macam dia buat ‘deal’ dengan Bagan Datuk dulu. Memanglah timbalan perdana menteri dan kamu tak tahu. Bukan ‘fake news’,” katanya dalam satu hantaran di platform X bagi menjawab kenyataan Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari, yang mendakwa tiada apa-apa perjanjian atau perbincangan mendalam mengenai perjanjian dengan pembangkang. Malah, pembangkang didakwanya mula ‘menjual’ cerita yang tidak sahih dan menyifatkan mereka sinonim dengan berita palsu.

Persoalannya, jika benar wujud draf perjanjian seperti didakwa, mengapa begitu berahsia?



“Adakah Rosol sudah lihat ‘draf’ itu?” soal Fadillah kepada Ahli Parlimen Hulu Terengganu itu. “Jika belum, mintalah ‘draf’ itu daripada ketua pembangkang. Cuba lihat ‘draf’ itu wujud atau tidak.” Dalam pada itu, Fahmi berkata kerajaan belum mendapat “apa-apa yang substantif” daripada pembangkang pada waktu ini. “Kita kena ‘go back to the drawing board’. Kalau ada Ahli Parlimen pembangkang merasakan perjalanan perbincangan lambat atau lembab jangan salahkan kerajaan. Kena tanya ketua pembangkang kenapa ia lambat,” katanya.

Penjelasan lanjut Hamzah harus ditunggu-tunggu di sebalik Rosol kata setakat ini belum ada arahan daripada ketua pembangkang itu untuk memanggil semua Ahli Parlimen Bersatu atau gabungan bagi membincangkan draf berkenaan.

Namun, kata Rosol lagi, tiada keperluan untuk perkara itu kerana Hamzah sudah diberi mandat oleh mereka dan dua wakil delegasi untuk menelitinya.

“Setakat ini, belum ada apa-apa mesyuarat atau maklumat yang kami terima sebagai Ahli Parlimen PN. Kami hanya dapat tahu bahawa Datuk (Hamzah) sudah mendapat draf peruntukan itu ketika sidang Dewan Rakyat pada Khamis. Namun, saya berasa tiada keperluan untuk memaklumkan perkara berkenaan kerana kami sudah menyerahkan mandat kepada pimpinan tertinggi bagi membuat sebarang keputusan. Apa saja yang mereka persetujui, kami terima,” katanya.

Anwar sebelum ini dilaporkan berkata beliau secara prinsipnya bersetuju dengan pemberian peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang, dengan nilai sama seperti diberikan kepada Ahli Parlimen kerajaan.

Bagaimanapun, ia perlu dimulakan dengan proses rundingan oleh kedua-dua pihak terlebih dahulu dalam membincangkan kaedah persetujuan terbaik selain mencari titik persefahaman.

Terdahulu, Kiandee yang juga Naib Presiden Bersatu pada 18 Mac lalu berkata pembangkang menaruh harapan agar kerajaan dapat mengagihkan peruntukan kepada semua Ahli Parlimen secara adil dan tanpa syarat.

Itu bakal jadi habuan jika mereka mampu berunding dengan sebaik-baiknya. FMT

Logik ke TPM tak tahu?

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Bekas isteri Safee Sali dedah cerita sebenar

Mia Khalifa gaduh dengan Makcik Israel

Saya dah pindah ke Mongolia – Abby Abadi

Farhash rakan perniagaan Sultan Muhammad V

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker