Bakal calon Perdana Menteri dari PN bertambah

Bakal calon Perdana Menteri dari PN bertambah

Kemenangan besar Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di kerusi Parlimen Kemaman semalam dilihat memberikan pelbagai kesan kepada senario politik di masa akan datang.

Dengan jumlah majoriti 37,220 undi, kemenangan pakar kejuruteraan aeroangkasa itu membuka ruang kepada Pas untuk mengetengahkan calon Perdana Menteri mereka sendiri pada masa hadapan dan bukan hanya semata-mata daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sahaja.

Ia juga sedikit sebanyak memberikan kegusaran dalam kalangan kepimpinan Bersatu, kerana sebelum ini hanya pemimpin daripada parti itu yang digembar-gembur mempunyai kelayakan untuk menjadi Perdana Menteri.

Perkara ini diakui oleh penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali yang menyatakan pada awalnya naratif Ahmad Samsuri sebagai calon Perdana Menteri ini hanya dibawa semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman.

“Saya fikir pada awalnya naratif di peringkat PRK ini sahaja. Tetapi sekarang (calon Perdana Menteri) ideal itu mungkin menjadi lebih besar pada masa akan datang.

“Jadi, nampaknya ada sedikit kegusaran dalam kalangan kepimpinan Bersatu ini.

“Selain Tan Sri Muhyiddin Yassin, bakal pengganti akan datang (di parti Bersatu) adalah Datuk Seri Hamzah Zainudin, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Dr Radzi Jidin sebagai calon Perdana Menteri,” katanya.

Mazlan berkata, calon Perdana Menteri daripada Perikatan Nasional (PN) itu juga semakin bertambah serta akan ada persaingan antara Pas dan Bersatu di masa hadapan demi menjaga survival parti masing-masing.

Di samping itu, PRK Kemaman ini turut memberikan kesan mendalam kepada parti Umno yang kini sedang bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan.

Dengan jumlah 27,778 undi yang diterima oleh calon BN, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, dapat dilihat peralihan undi oleh penyokong Umno dan Barisan Nasional (BN) kepada calon Pas.

Mazlan berpandangan, berlakunya undi protes oleh penyokong parti itu, selain ada yang tidak turun untuk mengundi kerana kerjasama parti itu bersama Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan.

“Kita rasa orang Umno sendiri sama ada dia sokong Pas atau tak turun mengundi. Ini sebagai protes kepada Umno kerana menyertai Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Beliau juga menyifatkan Umno kini melalui zaman sukar dan hakikatnya perlu diterima oleh kepimpinan parti itu.

“Umno sekarang ini kena menerima hakikat bahawa dia melalui zaman sukar. Sebab apa? Perubahan zaman.

“Kalau dahulu Perdana Menteri mesti daripada Umno. Sekarang sudah tidak lagi. Sekarang daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR). Ini disebabkan PH (semasa PRU15) menang lebih banyak kerusi daripada BN,” katanya.

Oleh yang demikian, satu tindakan segera seharusnya dilakukan oleh kepimpinan Umno mengambil iktibar daripada kekalahan PRK Kemaman ini.

Antaranya adalah dengan melakukan bedah siasat bagi mengenalpasti punca kemenangan besar calon parti lawan.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Sivamurugan Pandian mencadangkan supaya kepimpinan parti itu meneliti peralihan undi oleh pengundi parti itu kepada pihak lawan.

“Puncanya perlu diteliti. Adakah kerana kemahuan, keperluan dan juga pemikiran pengundi itu. Kerana saya percaya jentera Umno sudah bergerak ketika berkempen.

“Tetapi mereka masih gagal mendampingi bukan sahaja pengundi mereka sendiri, juga pengundi atas pagar. Kita tidak tahu apa puncanya,” katanya.

Penelitian itu katanya, perlu dilakukan secara jujur, bahkan bedah siasat seharusnya dibuat di peringkat bawahan.

“Untuk melihat apa sebenarnya kegagalan (kemenangan) kerana calonnya bagus tetapi seolah-olah kesetiaan kepada parti semakin longgar. Kenapa kesetiaan kepada parti itu semakin longgar? apa puncanya?

“Mungkin juga adanya isu. Adakah masih gagal menangani kos sara hidup, isu penyatuan orang Melayu, isu kepimpinan, semua itu perlu dirungkai,” katanya.

Katanya, walaupun bedah siasat ini tidak dapat merubah keadaan kini, tetapi satu perubahan lebih besar dapat dilihat pada pilihan raya akan datang. HM

Bakal calon Perdana Menteri dari PN bertambah

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Siapa cium Siti Saleha?

Individu dakwa Fatin Umaidah dibuang keluarga kerana kahwin dengan Alif Teega

Cium Mimi, Meerqeen beri penjelasan

Tony Eusoff nafi video lucah itu miliknya

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker