5 tahun tergantung, Najib mohon DNAA kes SRC RM27 juta

5 tahun tergantung, Najib mohon DNAA kes SRC RM27 juta

Bekas perdana menteri Najib Razak memohon dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada tiga lagi pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) berjumlah RM27 juta yang dihadapinya di Mahkamah Tinggi di sini.

Peguam Shafee Abdullah, mewakili Najib membuat permohonan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Ashrof Adrin Kamarul memaklumkan Hakim K Muniandy bahawa keputusan representasi yang dihantar pihak pembelaan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 31 Julai lepas masih belum diperoleh.

“Kes telah dikemukakan lebih lima tahun sejak 2019 dan telah beberapa kali disebut di mahkamah ini. Oleh itu, untuk tidak memprejudiskan kedua-dua pihak terutamanya anak guam, saya mohon mahkamah memberikan perintah DNAA mengikut Seksyen 173 Kanun Prosedur Jenayah kerana kes langsung tidak berjalan.

“Sekiranya pendakwa raya ada keputusan berlainan di masa akan datang, pihak pendakwaan boleh membuat keputusan untuk kes dikemukakan semula di mana kita berhenti…kes ini sudah tergantung begitu lama,” kata Shafee.

Hakim Muniandy kemudian bertanya kepada pihak pendakwaan mengapa AGC terlalu lambat untuk membuat keputusan berhubung representasi berkenaan.

Ashrof berkata kes itu membabitkan individu berprofil tinggi yang melibatkan banyak dokumen untuk diteliti selain masih terdapat kes lain, International Petroleum Investment Company (IPIC) dihadapi Najib yang masih belum dibicarakan.

“Semua pihak sebelum ini juga bersetuju bahawa tiga tuduhan itu hanya akan dibicarakan selepas kes penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta diputuskan dan semakan kes itu berakhir pada 31 Mac lalu di Mahkamah Persekutuan.

“Mengikut rekod saya selepas 31 Mac, hanya ada tiga sebutan kes termasuk prosiding hari ini. Oleh itu, saya mohon satu tarikh pengurusan kes akhir bagi mengetahui perkembangan berhubung representasi tersebut,” katanya dan menambah beliau mendapat arahan untuk memohon masa tambahan tiga bulan bagi AGC meneliti kandungan representasi.

Hakim Muniandy menetapkan 19 Jan 2024 sebagai tarikh akhir untuk peguam negara membuat keputusan berhubung representasi itu.

Pada 3 Feb 2019, Najib mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 31 Mac lepas, Najib, 70, gagal dalam usaha terakhirnya untuk menyemak sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta atas kesalahan menyeleweng dana SRC International dan beliau sedang menjalani hukuman itu di Penjara Kajang.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu juga sedang dibicarakan bagi kes penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB dengan pihak pendakwaan telah memanggil seramai 48 saksi di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan).

Najib juga berdepan satu lagi kes pecah amanah jenayah berjumlah RM6.6 bilion berhubung pembayaran kepada IPIC di hadapan Hakim Jamil Hussin, yang kini masih di peringkat pengurusan kes. FMT

5 tahun tergantung, Najib mohon DNAA kes SRC RM27 juta

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

PAS ‘melompat’ dengan sokongan MP Bukit Gantang kepada PM

Tok Ram punya pasal, Alyah yang kena

Bersatu berpecah, menunggu karam – Mohd. Sharkar

Saya bukan muka T20 – Shuib

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker