Klon Rita Rudaini

Klon Rita Rudaini

Biarpun sudah beberapa kali menafikan mempunyai hubungan cinta dengan penyanyi Chubb-E, namun pelakon Rita Nadira tetap tenang dan tidak mudah melatah dengan gosip yang bertebaran.

Rita yang mula rapat dengan penyanyi itu sejak 2021 dikatakan semakin akrab apabila kerap memuat naik kandungan bersama hingga dikatakan sebagai pasangan secocok.



Menerima segala usikan peminat dengan hati terbuka, Rita bagaimanapun menjelaskan hubungan mereka sekadar kawan baik.

“Kami berdua hanya berkawan dan tiada sebarang hubungan istimewa pun.

“Apabila orang luar mendakwa kami sedang bercinta, kami layankan saja malah lebih seronok memuat naik kandungan baharu.

“Setakat ini kami berdua nak fokus kerja dulu. Saya pun belum terfikir ke arah itu lagi.



“Kalau ada yang nak berkenalan, saya awal-awal akan tolak sebab saya belum bersedia melalui fasa percintaan. Banyak lagi impian yang ingin saya capai dalam bidang ini,” katanya pada majlis pelantikannya sebagai wajah baharu suplemen kesihatan milik penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza, BeauSiti baru-baru ini.

Ditanya pernahkah Chubb-E meluahkan rasa cintanya sebelum ini, Rita dengan pantas menjawab tidak dan menegaskan hubungan mereka sekadar rakan.

“Dia tak pernah luah apa pun. Saya seronok berkawan dengan dia sebab mungkin kami dalam bidang yang sama. Jadi, banyak persamaan dan perkara yang kami boleh berkongsi.

“Ketika awal perkenalan saya ingatkan dia seorang yang sombong, tapi lama-kelamaan dia sama seperti saya ‘gila-gila’,” katanya.



Tambah Rita, seandainya dia terbuka hati untuk bercinta kemungkinan dia tidak memilih yang sama industri dengannya.

“Saya sebenarnya tak kisah dengan siapa pun lelaki yang bakal menjadi peneman hidup saya.

“Tapi, kalau boleh saya tak nak individu itu dalam industri yang sama. Cukup saya saja yang berada dalam bidang ini. Tapi, soal jodoh ini rahsia Allah, kita tak tahu,” katanya.

Persis Rita



Memiliki wajah yang anggun persis Rita Rudaini, ramai yang menyamakan dirinya dengan ibu kepada dua cahaya mata itu.

Kata Rita, sejak di bangku sekolah lagi, dia sudah terbiasa disamakan wajahnya dengan pelakon itu.

“Kisah muka sama dengan pelakon itu dari sekolah lagi sudah dengar.

“Waktu itu Rita Rudaini sangat terkenal dengan filem Mami Jarum, jadi saya pun bangga apabila disamakan.



“Sehingga ketika saya melakukan ujian memandu ketika berumur 18 tahun, ada pegawai tanya adakah adik pelakon itu,” katanya.

Tidak pernah bertentang mata dengan aktres jelita itu, Rita bagaimanapun berkata, mereka pernah berbual melalui telefon.

“Ada satu hari itu saya menjalani penggambaran dengan pelakon Kartina Aziz, dia hubungi Rita Rudaini dan minta saya bercakap dengannya.

“Jadi, kami pun saling berkenalan dan masing-masing kaku tak tahu nak bual apa. Tapi, pengalaman itu tak boleh dilupakan.



“Jujurnya saya tak kisah disamakan dengan pelakon itu, sebab bagi saya kami adalah dua individu yang berbeza,” katanya.

Ditanya mengenai perkembangan terbaharu, Rita berkata, dia bakal terbabit dalam drama pendek enam episod berjudul Sampai Bila usai pelantikannya sebagai wajah baharu produk BeauSiti.

“Drama ini bukan sekadar untuk hiburan, tetapi sarat mesej mengenai makna revolusi yang ingin kita lakukan dalam hidup.

“Berpeluang bekerjasama dengan Siti Nurhaliza ibarat mimpi menjadi kenyataan. Saya sangat terkejut apabila Siti berminat menjadikan saya sebagai wajah produknya selain terbabit dalam drama bersiri Sampai Bila.

“Sepanjang pertemuan dengan Siti banyak perkara yang kami bualkan. Beliau berkongsi mengenai bagaimana nak terus bangkit daripada kegagalan dan terus bertahan dalam setiap apa yang kita perjuangkan,” katanya. HM

Klon Rita Rudaini

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

FD3: ‘Wahab’ jadi usikan Mas Idayu

GV10: Liza Hanim dapat ‘5M’ daripada Hetty Koes Endang

FD3: Syarif dan Syaiful juara minggu ke enam

GV10: Noryn Aziz tersingkir

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker