Betulkah PAS tepu tanpa PN?

Betulkah PAS tepu tanpa PN?

oleh Mohsin Abdullah

Jika anda penyokong, apa lagi ahli PAS, anda pasti tidak setuju dengan kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional merangkap Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin bahawa sokongan rakyat kepada PAS sudah “tepu” sebelum ia bergabung dengan parti pimpinannya bawah PN yang melonjak kedudukan PAS pada PRU15.



Mengambil contoh sebelum PRU November lalu, Muhyiddin berkata PAS yang bergerak solo tidak merekodkan jumlah kemenangan majoriti besar seperti dinikmati sekarang dengan adanya PN.

Ayuh imbas kembali secara ringkas sejarah pembabitan PAS dalam temasya demokrasi negara. Pada 27 Julai 1955 satu-satunya pilihan raya umum diadakan sebelum Malaya merdeka. Ia adalah bagi memilih Ahli Majlis Perundangan Persekutuan atau Federal Legislative Council, badan yang mendahului Parlimen. PAS mengemukakan 11 calon. Hanya seorang berjaya. PRU 1955 dilihat ujian pertama buat PAS dalam proses pilihan raya negara ini.

PRU 1959, pilihan raya umum pertama selepas Malaya merdeka PAS memberi fokus kepada kawasan “rural” yakni luar bandar yang penduduknya majoriti Melayu Islam. Tiga belas calonnya menang untuk duduk di Dewan Rakyat, dan PAS menubuhkan kerajaan negeri di Kelantan juga Terengganu.

Ertinya pilihan raya 1955 dan 1959 PAS bertanding solo. Tidak berjaya satu (1955), berjaya satu (1959).



Anjak hadapan ke tahun 1974. PAS sudah menganggotai Barisan Nasional. Lantas pilihan raya tahun itu menyaksikan PAS bertanding bawah panji panji BN. Ia menang 14 kerusi Parlimen. Rakannya Umno menang 62 kerusi. Di Kelantan di mana kerajaan negeri sebelum ini ditubuh PAS dengan sendiri, kali ini diperintah bersama dengan rakan dalam BN. PRU 1974 PAS tidak bertanding solo tetapi prestasi boleh disifatkan baik dan berjaya.

PRU 1978 PAS kembali bergerak sendirian. Hanya lima kerusi Parlimen mampu dimenanginya. Di Kelantan PAS kalah teruk di tangan gabungan Umno – Berjasa, parti yang ditubuhkan Muhammad Nasir pemimpin yang dipecat oleh PAS sendiri. Ini susulan krisis politik Kelantan 1977.

PRU pertama ditandingi PAS bawah kepimpinan Fadzil Noor selaku presiden ialah pada 1990. PAS menyertai gabungan dikenali sebagai Angkatan Perpaduan Ummah atau APU bersama parti serpihan Umno iaitu Semangat 46 dipimpin Tengku Razaleigh Hamzah. Mereka menang tujuh kerusi Parlimen dan menang besar di Kelantan menumbangkan BN untuk memerintah. Sehingga hari ini PAS menguasai kerajaan Kelantan.

Untuk PRU 1999 PAS sekali lagi menjalin kerjasama politik. Kali ini dengan DAP dan PKR yang ditubuhkan Dr Wan Azizah Wan Ismail isteri Anwar Ibrahim. Ketika itu sentimen anti-BN terutama Pengerusinya Dr Mahathir Mohamad memuncak terutama dalam kalangan orang Melayu kerana tindakan Mahathir ke atas Anwar. PAS menang 27 kerusi, pencapaian terbaiknya (setakat waktu itu) di samping “membelasah” BN di Kelantan dan Terengganu untuk merampas tampuk pemerintahan. Ketika itu PAS ialah sebahagian gabungan yang dipanggil Barisan Alternatif atau BA tetapi koalisi itu tidak sempat didaftar sebelum PRU 1999 diadakan.



Pada 2008 BA diperkukuh dan tampil Pakatan Rakyat. PAS bersama DAP dan PKR memberi tamparan hebat kepada BN yang buat kali pertama hilang majoriti dua pertiga di Parlimen walaupun kekal sebagai kerajaan persekutuan. PAS menang 23 kerusi Parlimen. BN ditumbangkan di Kedah, Perak dan Selangor. Di Kedah PAS memerintah seperti di Kelantan. Wakilnya juga dilantik menteri besar kerajaan PR Perak.

November tahun lalu yakni PRU15 PAS menang 43 kerusi Parlimen. Di peringkat negeri ia menakluk Perlis yang sekian lama kubu kuat BN. Pada PRN enam negeri Ogos lalu PAS kekal memerintah Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Pencapaian atau kerajaan itu mencetuskan istilah “gelombang hijau” mengambil warna hijau PAS yang memberi erti kemaraan parti itu dalam arena politik tanah air. Tidak dinafikan Bersatu tidak senang dengan istilah itu kerana bagi mereka kejayaan dicapai hasil kerjasama PAS dengan mereka. Dalam lain perkataan Bersatu mahu PAS tahu mereka juga adalah penyumbang kepada kejayaan dicapai setakat ini.

Pada pandangan saya mungkin itu sebabnya Muhyiddin bercakap mengenai sokongan “tepu” PAS sebelum PN wujud. Saya lihat itu satu peringatan oleh Muhyiddin kepada PAS bahawa kejayaan yang mereka nikmati sekarang tidak akan diperoleh tanpa kerjasama Bersatu menerusi PN.



“Mereka (PAS) tak boleh sendirian…boleh tetapi kesannya tak sebegini (menang besar) contoh dalam PRU lepas majoriti mereka biasa 10,000 ke 15,000 undi tetapi (presiden PAS) Hadi (Awang) contohnya sampai 40,000 undi,” kata Muhyididn dalam temu bual bersama FMT disiarkan semalam. (Sila rujuk laporan FMT bertajuk Sokongan PAS ‘tepu’, tak menang besar tanpa PN, kata Muhyiddin).

Ada benarnya apa dikata Muhyiddin jika dilihat kesan PAS bertanding solo sepanjang pembabitan parti itu dalam pilihan raya negara seperti dihurai tadi. Lazimnya ia mencapai kejayaan apabila menjalin kerjasama dan menganggotai sesuatu gabungan politik baik dengan APU, BA, PR mahupun PN.

Namun, dalam konteks PN, tidak dinafikan ramai dalam kalangan PAS yang percaya parti mereka berada pada tahap kekuatan hebat yang membolehkan ia berdiri teguh tanpa tongkat, bergerak tanpa bantuan. Hakikatnya PAS lebih kuat daripada Bersatu. Tidak boleh disalahkan jika orang menggelar PAS, “the big brother” dalam PN. Itu bagi saya realitinya. Tanpa PAS, PN dengan Bersatu dan Gerakan tidak ke mana.

PAS sememangnya mahu memerintah negara. Hasrat ini bukan rahsia. Sama ada bersendirian atau tidak itu persoalannya. Tetapi jika bergabung pun PAS mahu menerajui gabungan yang memerintah. “PAS wants to lead”. Tidak dinafikan juga ahli PAS sememangnya melihat Hadi, pemimpin yang mempunyai ciri seorang perdana menteri.



Oleh itu, boleh difahami Muhyiddin mengeluarkan “peringatan” kepada PAS Bersatu pun ada jasanya lalu jangan dilupai. Apatah lagi mengambil kira perkembangan empat Ahli Parlimen Bersatu menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang “mengecilkan” kekuatan partinya di Parlimen.

Kesediaan Anwar menerima PAS dalam kerajaan perpaduan juga boleh menyukarkan Muhyiddin walaupun PAS “tidak berminat”. Apa tidaknya kerana tiada yang mustahil dalam politik.

Pun begitu kata Muhyiddin: “Bagaimana mereka nak ke sana, puak-puak tu bukan sehaluan dari segi ideologi dan pegangan agama berbeza.” Adakah itu satu keyakinan? Atau satu pengharapan?

Betulkah PAS tepu tanpa PN?



Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Rampas Anna daripada Meerqeen, ini jawab Amir Ahnaf

Imam Turkiye ditangkap di Mekah sebab sebut tentang Gaza & Palestin

Jalan ‘glow in the dark’ pertama di Malaysia

A letter to Sarawakian Christian Zionists: The evangelicals will not save us

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker