Mini Cooper Clubman S menjadi milik Bell Ngasri

Mini Cooper Clubman S menjadi milik Bell Ngasri

Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Paling Popular BH (ABPBH) Ke-35, Bell Ngasri, 43, menerima hadiah kereta jenis Mini Cooper Clubman S sumbangan pengedar kenderaan import milik Bumiputera, DTC Motors Sdn Bhd di premis syarikat berkenaan di Jalan Ampang di sini, hari ini.

Kereta bernilai kira-kira RM200,000 itu diserahkan kepada Bell oleh Penyampai Hot FM, Khairy Jamaluddin atau KJ dengan disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) DTC Motors, Afendy Wahid.



Yang turut hadir Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzaman dan Pengarah ABPBH 35 merangkap Pengarang Berita Hiburan BH, Shamshul Azree Samshir.

Mengulas hadiah yang diterimanya itu, Bell atau nama sebenarnya Nasrizal Ngasri berkata beliau tidak menyangka akan menerima hadiah sebesar itu.

“Saya langsung tidak sangka akan dapat kereta kerana hadiah yang saya terima iaitu Bintang Paling Popular itu sudah cukup besar buat saya.

“Walaupun ada yang mempersoalkan kenapa saya tak dapat hadiah kereta seperti yang pernah diterima pemenang terdahulu, saya tak pernah ambil peduli pun kata-kata seperti itu.



“Apabila saya diberitahu ada pihak hendak hadiahkan kereta, saya terima sahaja kereta apa yang mereka nak beri. Kereta kancil pun saya terima.

“Alhamdulillah, saya sangat suka dengan kereta ini kerana menepati cita rasa, selain menjadi kereta idaman saya dan isteri,” katanya ketika pada sidang media selepas acara penyerahan kereta itu di sini, hari ini.

Pada 24 Julai lalu, melalui segmen Bekpes Hot dikendalikan penyampai stesen radio Hot FM iaitu KJ, Johan, Fara Fauzana dan AG, Afendy menyatakan kesudian menghadiahkan Bell sebuah kenderaan sebagai sumbangan peribadi atas kejayaan beliau merangkul trofi Bintang Paling Popular.

Pada malam kemuncak ABPBH 35 bertemakan Ekspresi Legasi Seni pada 21 Julai lalu, Bell diumum Bintang Paling Popular menewaskan pemenang daripada 11 kategori utama lain.



Terdahulu, pada acara berprestij yang disiarkan secara langsung dari Panggung Sari, Istana Budaya (IB) oleh TV3 dan strim ‘live’ di Tonton, Bell atau nama sebenar, Nasrizal Ngasri diumum Artis Komedi Popular.

Bell yang mula berlakon sejak 1986, menewaskan Zizan Razak, Johan, Jaa Suzuran dan Syahmi Sazli dalam kategori itu.

ABPBH 35 diajaibkan penaja utama, Fellera Skin.

Pada majlis itu, DTC Motors mengumumkan diskaun istimewa sehingga RM50,000 bagi semua jenis kenderaan mulai esok hingga 31 Ogos depan, sempena Bulan Kemerdekaan Negara.



Sementara itu, Shamshul Azree berkata, BH berbesar hati Syarikat DTC Motors menghadiahkan Bell kereta mewah bernilai kira-kira RM200,000.

“Kami di BH ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Syarikat DTC Motors atas hadiah yang diberi kepada Bell.

“Kami harap pemberian hadiah ini tidak terhenti di sini sahaja. Kami amat mengalu-alukan kerjasama Syarikat DTC Motors untuk menjadi rakan penaja pada ABPBH 36,” katanya.

Mengulas mengenai hadiah dimenangi Bell pada ABPBH 35, Shamshul Azree berkata, pada malam kemuncak ABPBH 35, Bell menerima hadiah trofi, pakej Umrah sumbangan penaja utama Fellera Skin dan produk Fellera Skin X ABPBH 35.



“Pada ABPBH 35, kami tidak terima sebarang tajaan kenderaan daripada mana-mana syarikat.

“BH selaku penganjur sedia maklum ramai mempertikai hadiah kemenangan Bell. Apa yang kami mahu tekankan adalah trofi berprestij Bintang Paling Popular dimenangi Bell tidak ternilai.

“Anugerah tertinggi ini dapat mengangkat reputasi Bell ke peringkat yang lebih tinggi, sesuai dengan legasi seni yang diciptanya sejak bertapak sebagai pelakon di Malaysia pada 37 tahun lalu,” katanya.

Shamshul Azree berkata, BH mengambil inisiatif menganjurkan ABPBH sejak lebih tiga dekad lalu bagi menyediakan platform untuk penggiat industri kreatif memperkenalkan diri dan berkongsi bakat serta kepakaran dalam bidang masing-masing.



“ABPBH juga dipentaskan agar peminat dapat menilai dan menghargai bakat penggiat seni kreatif, lantas, menterjemahkannya dalam bentuk undian agar kemenangan diperoleh anak seni, mampu menjadi azimat untuk mereka terus berkarya dan melebarkan sayap seni ke peringkat tertinggi.

“Kami di BH sangat terharu dan teruja atas kemenangan Bell yang berjaya mencetuskan fenomena dalam kalangan masyarakat dan peminat.

“Mereka yang tidak pernah ambil tahu dan terbabit dalam pengundian calon ABPBH sebelum ini, sanggup meluangkan masa sehingga ada yang sakit jari kerana hendak menekan butang untuk mengundi Bell,” katanya.

Shamshul Azree berkata, sejak dilancarkan pada 1987, ABPBH mengiktiraf beratus-ratus penggiat seni kreatif merangkumi pelbagai disiplin.

“ABPBH juga mengangkat martabat dan mengiktiraf sumbangan bintang legenda melalui anugerah khas termasuk Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat,” katanya.

Shamshul Azree berkata, BH berbangga kemenangan Bell pada ABPBH 35 masih lagi diperkatakan.

“Sana sini, orang memperkatakan tentang kemenangan Bell. Ini secara tidak langsung ABPBH menerima tempias yang positif di mana banyak pihak di luar sana yang memberikan perhatian kepada ABPBH 35,” katanya. BH

Mini Cooper Clubman S menjadi milik Bell Ngasri

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Puteri Sarah Masih Diganggu Walaupun Dah Cerai

Bekas Pengacara TV3 Didakwa Pukul Staf Guna Kayu & Langgar Pondok Pengawal

Pemandu degil MPV tersangkut lalui jalan tar masih basah

Hubungan seks empat minit setiap hari, kurangkan risiko kanser – kajian

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker