Muhyiddin perlu direhatkan, serah kepada tokoh lain terajui PN

Muhyiddin perlu direhatkan, serah kepada tokoh lain terajui PN

Oleh Dr Mohammad Tawfik Yaakub

PERJUANGAN gabungan Perikatan Nasional (PN) dilihat mula menempuhi liku politik mencabar selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).



Ia bermula apabila pembentukan kerajaan selepas PRU15 tidak memihak kepada mereka, disusuli hubungan dingin antara kerajaan negeri pimpinan PN dengan Pusat dan terbaru pendakwaan ke atas pemimpin BERSATU khasnya Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berdepan tujuh pertuduhan di mahkamah atas dakwaan rasuah serta salah guna kuasa.

Namun, pendakwaan terhadap Presiden BERSATU dilihat sebagai cabaran paling besar dan sukar ditempuhi PN, terutama ketika bakal berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan.

Pelbagai reaksi terhadap Muhyiddin muncul selepas Pengerusi PN itu didakwa di mahkamah dengan ada pihak mula mendesak beliau meletakkan jawatan sebagai Presiden BERSATU, manakala penyokong BERSATU dan PN masih mahu Muhyiddin kekal menerajui parti serta gabungan berkenaan.

Walaupun timbul pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat, Muhyiddin dan BERSATU perlu mengambil beberapa tindakan untuk menangani segera serangan daripada seteru politik yang sentiasa berusaha mencipta persepsi politik negatif sehingga mampu mempengaruhi tahap sokongan terhadap PN dalam PRN akan datang.



Pertama, Muhyiddin perlu berjiwa besar seperti mengambil tindakan untuk berehat sementara waktu sebagai Presiden BERSATU dan Pengerusi PN.

Seluruh negara sedia maklum Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU kali kelima pada 12 Mac lalu meluluskan usul mengekalkan Muhyiddin sebagai Presiden dan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti bersetuju menolak peletakan jawatan beliau sebagai Presiden.

Meskipun parti dengan jelas mengekalkan Muhyiddin sebagai Presiden, tindakan berkenaan dilihat masih tidak mampu menyekat kritikan dan desakan daripada musuh politik masih berhasrat melumpuhkan karier politik beliau.

Malah, Muhyiddin terus dikritik sesetengah pihak sambil mendakwa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi lebih ‘gentleman’ apabila memutuskan untuk berehat daripada menjalankan tugas sebagai Presiden UMNO selepas didakwa di mahkamah, sebelum ini.



Justeru, bagi mengelakkan perbandingan watak politik yang boleh mencalarkan imej dan persepsi terhadap Muhyiddin, maka pilihan terbaik ialah beliau perlu mengambil cuti ‘sabatikal politik’ bagi mengekalkan momentum sokongan terhadap PN.

Sabatikal politik tidak menghalang Muhyiddin untuk terus terbabit aktif dalam politik seperti beliau menyerahkan posisi Ketua Pembangkang kepada Datuk Seri Hamzah Zainuddin, meskipun jawatan berkenaan lebih sesuai disandang pengerusi gabungan parti.

Malah, PN masih boleh bersuara lantang menyuarakan isu rakyat di Parlimen dan meningkatkan momentum sokongan daripada rakyat, walaupun pengerusinya tidak menyandang jawatan Ketua Pembangkang di Parlimen.

Ketengahkan muka baharu



Kedua, PN perlu mengetengahkan muka baharu untuk menggantikan Muhyiddin sementara waktu sekiranya beliau bersetuju memilih untuk berehat daripada jawatannya.

Terdapat ramai pemimpin BERSATU berpotensi untuk diketengahkan untuk menjalankan tugas sebagai Presiden sementara waktu antaranya Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Hamzah dan Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Namun, politik BERSATU akan lebih dinamik dan segar jika peluang diberikan kepada Ahli MPT BERSATU merangkap Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menggalas sementara tugas Presiden BERSATU dan Pengerusi PN.

Pertembungan politik Malaysia pada PRN akan menjadi semakin rancak jika Mohamed Azmin menerajui sementara PN dan BERSATU. Mungkin inilah masanya kepada kedua-dua gabungan menampilkan jaguh politik sebenar antara Mohamed Azmin dan bekas ‘bosnya’ di PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk beradu kekuatan dan mengukur tahap sokongan politik masing-masing.



Peluang sewajarnya diberikan kepada Mohamed Azmin, walaupun tewas pada PRU15 memandangkan beliau berpengalaman sebagai orang nombor dua dalam PKR dan pengaruh itu boleh digunakan untuk menarik sokongan pengundi dan ahli PKR di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Benar, beliau kini mengambil keputusan berehat sementara daripada arena politik, namun pengalaman luas dalam pentadbiran negeri dan Persekutuan sebelum menjadi kelebihan utama berbanding calon lain sama ada dalam BERSATU mahupun PAS.

Ketiga, PN terpaksa memperkukuhkan jentera politik menerusi kekuatan tambahan dengan mempelawa parti dan pemimpin berwibawa untuk bersama dalam sebuah gabungan.

Hal ini kerana, PN pada ketika ini perlu mengumpulkan kekuatan baharu dan tidak sewajarnya mengetepikan tokoh mampu memberi saingan sengit kepada gabungan PH-BN.



Antara nama besar pemimpin parti Melayu sebelumnya musuh ketat dalam politik dan boleh diketengahkan sebagai ‘panglima’ baharu kepada PN seperti Tan Sri Annuar Musa, Tan Sri Noh Omar, Khairy Jamaluddin.

Malah, PN juga sewajarnya meluluskan permohonan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) diterajui Datuk Seri Mukhriz Mahathir untuk menganggotai gabungan parti itu bagi mewujudkan sebuah blok politik Melayu paling kuat di Malaysia.

Sekiranya pemimpin ini mampu bekerjasama di bawah gabungan PN, keadaan ini akan melonjakkan lagi ‘gelombang hijau’ yang mampu membadai politik negara sehingga selatan tanah air.

Justeru, Muhyiddin selaku Presiden BERSATU dan Pengerusi PN perlu mempertimbangkan secara serius pendekatan politik baharu bagi berhadapan dengan PH-BN menjelang PRN akan datang.

Tindakan ini sebenarnya tidak merugikan beliau dan parti, malah dapat membuka laluan baharu PN untuk mencapai kemenangan lebih besar pada PRN dan mematahkan pelbagai polemik negatif terhadap dirinya menerusi sikap jiwa besar bagi mencipta gelombang baharu kemenangan. BH

Penulis adalah Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya

Muhyiddin perlu direhatkan, serah kepada tokoh lain terajui PN

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Uqasha kesal dituduh pembuli zaman sekolah

Pelanggan mabuk pukul pekerja Restoren Pelita [VIDEO]

Checklist Ramadhan Yang Patut Diamalkan

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker