PKRC Salor tempatkan pelajar dijangkiti Covid-19

Asrama Putera dan Puteri SMK Salor dijadikan pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 berisiko rendah (PKRC) baru yang akan dikhaskan untuk menempatkan pelajar yang dijangkiti virus SARS-CoV-2.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata PKRC berkenaan yang merupakan PKRC kelima di Kelantan, mula beroperasi petang semalam.

“PKRC Salor hanya menempatkan pelajar – pelajar yang dijangkiti Covid-19 sahaja. Kapasiti permulaan adalah 168 katil, 84 lelaki dan 84 perempuan.

“Kapasiti maksimun ialah 350 akan dibuka secara berperingkat,” kata Noor Hisham dalam catatan di Facebook.

PKRC bertujuan merawat pesakit Covid-19 berisiko rendah yang tidak menunjukkan gejala serius yang memerlukan rawatan di hospital.

Kerajaan negeri Kelantan pada 19 April lalu berkata fasiliti hospital dan PKRC di penuh selepas berlaku peningkatan ketara kes baru Covid-19 di negeri itu.

Kes baru juga meningkat selepas sekolah dibuka semula pada bulan Mac.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata, antara 1 Januari dan 20 April, sejumlah 4,868 orang dalam sektor pendidikan dijangkiti Covid-19.

Beberapa pentadbir sekolah juga menyatakan keluhan bahawa semakin sukar untuk membendung virus berkenaan.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker