5 ADUN Sabah lompat belum tentu selamatkan Gagasan Rakyat

5 ADUN Sabah lompat belum tentu selamatkan Gagasan Rakyat

Tindakan lima Ahli Dewan Undangan (ADUN) UMNO Sabah, mengumumkan keluar parti itu dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) dilihat masih tidak mampu mengukuhkan kedudukan gabungan parti baharu itu.

Penganalisis politik percaya, tindakan lima ADUN itu keluar UMNO dan menyertai Gagasan Rakyat, hanya sebagai tindakan sementara dan tidak dapat bertahan lama.

Mereka percaya, Gagasan Rakyat belum mampu mencontohi Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang berjaya membentuk gabungan yang tidak dipengaruhi parti di peringkat Persekutuan.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abdul Muis, menyifatkan Gagasan Rakyat cuba meniru langkah GPS, namun ia tidak sama dan semudah itu.

Katanya, pakatan parti politik di Sarawak terbentuk sudah lama kerana ia hanya membabitkan perpindahan dari gabungan dalam Barisan Nasional (BN) kepada GPS, namun corak cara dan pendekatannya masih sama.

“Di Sabah, ia lebih sukar memandangkan Gagasan Rakyat parti baharu yang terpaksa bersaing dengan beberapa parti yang sudah mantap seperti BN dan Parti Warisan (WARISAN) dengan kemunculan parti lokal lain dan faktor individu tertentu yang masih kuat,” katanya kepada BH.

Beliau mengulas mengenai perkembangan politik di Sabah berikutan tindakan lima ADUN UMNO Sabah, mengumumkan keluar parti itu berkuat kuasa serta merta, semalam.

Lima ADUN itu adalah Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin); Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit); Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk); Datuk Hamid Awang (Balung) dan Datuk James Ratib (Sugut).

Serentak tindakan itu, lima ADUN berkenaan turut mengumumkan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang dipimpin Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Mujibu yang juga Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, berkata perlu difahami, di Sarawak faktor gabungan elit berjaya menyatukan mereka dalam GPS, berbanding di Sabah yang mana elit politik terpecah dan berlaku persaingan sengit antara mereka dalam keadaan yang sangat fleksibel.

Katanya, faktor wilayah tidak menjadi unsur penyatuan menjadikan mana-mana parti lebih cenderung untuk mempertahankan kepentingan masing-masing berbanding wilayah/negeri.

“Dalam konteks terkini, ia masih memperlihatkan bagaimana dinamika politik Sabah masih kuat dipengaruhi politik Persekutuan, lihat saja nanti ia berubah jika Kerajaan Persekutuan berubah.

“Sejauh mana Gagasan Rakyat ini mampu bertahan bergantung kepada hayat kerajaan campuran di Putrajaya. Namun, bagi melihat kesepaduan di peringkat Persekutuan ketika ini, akan membawa kepada kesepakatan ala GPS di Sabah masih sukar berlaku,” katanya.

Turut bersetuju dengan pandangan itu, Felo Kanan Institut Kajian Orang Asal Borneo (BoRIIS), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Mohd Noor Yazid, berkata sememangnya model dibawa GPS menjadi contoh untuk diikuti Gagasan Rakyat, namun ia agak sukar dan tidak selancar berlaku di Sarawak.

Katanya, ini kerana GPS ada komposisi parti asas lebih kukuh, kepemimpinan juga mantap dengan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berjaya mengetuai parti lain di negeri itu.

Berbeza di Sabah, katanya tiada parti asas seperti PBB kebanyakannya parti baharu dan berasaskan etnik dan kumpulan tertentu.

Namun, katanya beliau melihat tindakan lima ADUN UMNO itu kerana mereka mahukan kestabilan untuk politik di Sabah bagi meneruskan pembangunan di negeri itu.

“Lagipun, ketika ini sokongan diberikan kepada Ketua Menteri besar dengan 44 ADUN menyokongnya serta mendapat restu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Jika lima ADUN itu terus memihak ke UMNO di tambah dengan Parti Warisan yang tidak memihak kepada Hajiji maka ia mewujudkan perpecahan,” katanya.

Beliau menegaskan sokongan untuk Kerajaan Sabah tidak boleh bertentangan dengan Kerajaan Pusat.

“Jika bertentang maka politik Sabah akan terasing dan ini akan menggugat pembangunan di Sabah,” katanya.

Beliau menegaskan sokongan untuk Kerajaan Sabah tidak boleh bertentangan dengan Kerajaan Pusat.

“Jika bertentangan, maka politik Sabah akan terasing dan ini akan menggugat pembangunan di negeri itu,” katanya.

Semua pihak, katanya perlu melihat tindakan lima ADUN ini bagi sebagai tindakan jangka panjang mengekal kestabilan dan keterjaminan pembangunan Sabah.

“Sokongan kepada pelan Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin hanya mewujudkan politik pertembungan sedangkan Sabah memerlukan politik kesamaan selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong mengenai kepentingan kestabilan politik.

“Kestabilan ini penting supaya hidup rakyat Sabah terjamin, tidak jauh ketinggalan berbanding pembangunan di Semenanjung dan ekonomi rakyat terjamin,” katanya. BH

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Agong tepuk dahi kena ‘prank’ [VIDEO]

Nasi lemak janda muda tepi jalan laris

Filem Coast Guard sasar kutip RM7 juta lagi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker