Adam Radlan didakwa minta, terima rasuah 3.5 hingga 7 peratus nilai projek

Adam Radlan didakwa minta, terima rasuah 3.5 hingga 7 peratus nilai projek

Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM500,000 berkaitan Jana Wibawa.

Bagaimanapun, Adam Radlan, 42, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim Suzana Hussain.
Mengikut pertuduhan, CEO itu didakwa meminta suapan iaitu wang tunai antara 3.5 hingga tujuh peratus daripada nilai projek yang akan diperoleh daripada Pengarah Urusan syarikat MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd, Mat Jusoh Mamat.

Is sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan surat setuju terima bagi projek di bawah program Jana Wibawa daripada Kerajaan Malaysia.

Adam Radlan juga didakwa menerima suapan RM500,000 menerusi akaun CIMB Bank Berhad miliknya daripada individu sama sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan surat sama bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada Kerajaan Malaysia secara rundingan terus yang bernilai RM47.8 juta.

Kedua-kedua kesalahan itu dilakukan sebuah restoran di Dutamas dan CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, di sini, pada Mac dan 26 November 2021, mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau denda RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh, menawarkan jaminan RM300,000 terhadap tertuduh dengan dua penjamin.

“Syarat tambahan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan, selain pasport diserahkan sehingga kes selesai,” katanya.

Bagaimanapun, peguam bela tertuduh, Datuk Seri Rajan Navaratnam, memohon jaminan RM100,000 dengan alasan anak guam memberi kerjasama baik sepanjang siasatan SPRM dan tidak pernah didakwa dalam kes jenayah.

“Anak guam ada empat anak yang berusia antara sembilan hingga 16 tahun.

“Semalam, anak guam dihubungi SPRM dan beliau sendiri hadir ke pejabat SPRM untuk keterangannya diambil dan ketika itu dimaklumkan akan dituduh di mahkamah hari ini,”katanya.

Hakim kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin RM120,000 dengan dua penjamin serta syarat seperti dimohon pendakwaan, selain 23 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Terdahulu dalam prosiding berasingan, Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM6.9 juta berhubung projek Jana Wibawa.

Dua pertuduhan ke atas Wan Saiful, 48, yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuknya membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek ‘Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur’ daripada kerajaan Malaysia secara prakelayakan yang jumlah keseluruhannya RM232,000,000.

Wan Saiful juga dituduh menerima bagi dirinya suatu suapan iaitu wang tunai sejumlah RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Syarikat Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek tersebut.

Bekas pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu didakwa melakukan kedua-dua perbuatan tersebut di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini, sekitar April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini antara 8 Julai 2022 hingga 30 Sept 2022.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, manakala Wan Saiful diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik. BH

Adam Radlan didakwa minta, terima rasuah 3.5 hingga 7 peratus nilai projek

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Viral perarakkan pemuda PAS dengan ‘lembing dan perisai’, Ketua Pemuda PAS cuba menjarakkan diri

Tergamak sungguh buang Quran dalam longkang

Mahathir perjelas kenapa beliau tak serah kuasa kepada Anwar

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker