Usul tetap penggal Parlimen langkah menafikan kuasa budi bicara Agong

Penetapan penggal Parlimen bermaksud tarikh pembubaran Parlimen ditetapkan undang-undang. Parlimen tidak boleh dibubarkan sebelum tarikh ditetapkan undang-undang.

Walaupun begitu, undang-undang berkenaan boleh mewujudkan pengecualian untuk membolehkan Parlimen dibubarkan sebelum tempoh ditetapkan.

Contohnya, Parlimen boleh meluluskan resolusi dipersetujui dua pertiga ahli Parlimen untuk pembubarannya atau undang-undang boleh membuat pengecualian bahawa Parlimen boleh dibubarkan apabila usul undi tidak percaya diluluskan Parlimen terhadap kerajaan.

Dua situasi ini pernah dinyatakan dalam Fixed Term Parliaments Act 2011 di United Kingdom (UK).

Di negara kita, penetapan penggal Parlimen sudah lama diperkata pelbagai pihak, bahkan pernah dibincangkan di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Penetapan penggal Parlimen ini juga antara janji atau manifesto parti politik ketika kempen pilihan raya umum (PRU) sebelum ini. Namun, kita belum membahaskan secara jelas dan terbuka mengenai inti pati cadangan penetapan penggal Parlimen.

Justeru, adalah baik untuk Parlimen membahaskan perkara ini bersungguh-sungguh. Sementara itu, baik buruk penetapan penggal Parlimen ini perlu dikaji dan diperhalusi sewajarnya demi kepentingan amalan demokrasi serta kedudukan institusi beraja di negara kita.

Kita juga harus mengambil kira perkembangan di negara lain. Kita boleh belajar daripada pengalaman mereka.

Penetapan penggal Parlimen ini dianggap perlu dan baik bagi memastikan kerajaan dibentuk menjadi stabil yang Parlimen tidak dibubarkan dan kerajaan mempunyai tempoh mencukupi bagi menunaikan segala hasrat dan khidmat.

Kerajaan stabil dan mempunyai masa mencukupi akan secara langsung dapat menumpukan perkhidmatan ke arah kemakmuran rakyat serta negara.

Bagi membolehkan penetapan penggal Parlimen diwujudkan, ia memerlukan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan.

Antara lain, pindaan hendaklah dibuat ke atas peruntukan Perlembagaan Persekutuan menetapkan usia Parlimen dan memansuhkan frasa membolehkannya dibubarkan lebih awal dari tempoh ditetapkan undang-undang.

Seterusnya pindaan juga mungkin diperlukan bagi menjelaskan pengecualian kepada penggal tetap bagi Parlimen. Begitu juga dengan pindaan ke atas kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong untuk tidak memperkenan permintaan bagi pembubaran Parlimen.

Sebelum mengambil keputusan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan, kita hendaklah benar-benar pasti mengenai kesan pindaan berkenaan kepada amalan dan perjalanan demokrasi berparlimen serta peranan institusi beraja.

Walaupun kita perlukan perubahan, perubahan itu hendaklah demi kebaikan. Pada masa sama, kita juga inginkan kestabilan kepada peruntukan Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara.

Natijah penetapan penggal Parlimen 

Bagi tujuan pembubaran Parlimen menurut peruntukan yang ada kini ialah Perdana Menteri mempunyai keistimewaan untuk meminta pembubaran Parlimen (Dewan Rakyat) bagi tujuan mengadakan PRU lebih awal daripada usia lima tahun Parlimen dikira dari tarikh mesyuarat Pertama Dewan Rakyat selepas PRU umum seperti peruntukan dalam Perkara 55(3).

Perdana Menteri juga berhak untuk membuat permintaan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi pembubaran Parlimen sekiranya beliau percaya sudah hilang kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Pada kedua-dua keadaan, sekiranya Perdana Menteri membuat permintaan untuk pembubaran Parlimen sebelum tarikh Parlimen terbubar dengan sendiri, Yang di-Pertuan Agong mempunyai budi bicara untuk memberi perkenan atau menolak permintaan itu. Perkara ini dinyatakan pada Perkara 40(2)(b) Perlembagaan Persekutuan.

Maksudnya di sini, peruntukan sedia ada membolehkan Parlimen terbubar dengan sendiri tanpa pembabitan peranan Yang di-Pertuan Agong selepas mencapai usia lima tahun.

Amalan sedia ada membenarkan Perdana Menteri meminta Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen bagi tujuan PRU awal. Seterusnya, peruntukan sekarang membolehkan Perdana Menteri membuat permintaan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk pembubaran Parlimen selepas beliau hilang kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Natijahnya, sekiranya kita mahu menetapkan masa atau keadaan membolehkan Parlimen dibubarkan seumpama dalam Fixed-Term Parliaments Act 2011, ia akan menafikan kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong sekiranya pengecualian sama diwujudkan, iaitu Parlimen boleh terbubar sekiranya ahli Parlimen dengan undi dua pertiga meluluskan resolusi untuk pembubaran Parlimen atau Dewan Rakyat meluluskan undi tidak percaya kepada kerajaan.

Justeru, sekiranya kita mahu menetapkan penggal Parlimen melalui peruntukan undang-undang, iaitu menerusi pindaan Perlembagaan dan sekiranya pindaan berkenaan menyebabkan kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong dimansuhkan, maka pindaan berkenaan hendaklah terlebih dahulu mendapat perkenan Majlis Raja-Raja.

Ini kerana undang-undang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja hanya boleh diluluskan dengan perkenan Majlis Raja-Raja. Hal ini diperuntukkan di bawah Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan.

Walaupun Yang di-Pertuan Agong tidak boleh membubarkan Dewan sesuka hati dan baginda hanya boleh membubarkan apabila ada permintaan Perdana Menteri, penetapan penggal Parlimen berkenaan akan memansuhkan kuasa Yang di-Pertuan Agong berkenaan pembubaran Parlimen.

Yang di-Pertuan Agong tidak lagi mempunyai kuasa budi bicara kerana undang-undang sudah menetapkan tarikh pembubaran berkenaan menerusi peruntukan undang-undang dan ahli Parlimen mempunyai keistimewaan untuk menentukan pembubaran Parlimen.

Kita juga perlu berhati-hati dalam usul meminda Perlembagaan bagi mewujudkan peruntukan mengenai ketetapan penggal bagi Parlimen. Ini kerana pengalaman di UK dan Britain mengesahkan terdapat juga kesan tidak baik pada penggal Parlimen ditetapkan.

Antara keburukan menetapkan penggal Parlimen ialah suatu kerajaan lemah dan tidak berupaya akan dikekalkan sehingga akhir penggal sedangkan kerajaan lebih berwibawa diperlukan untuk berupaya menyelesaikan konflik dihadapi negara.

Justeru, pada 2022, Parlimen Britain meluluskan Dissolution and Calling of Parliament Act 2022 yang memansuhkan Fixed-term Parliaments Act 2011. Akta 2022 ini mendapat perkenan diraja pada 24 Mac tahun lalu.

Pada masa sama, pemansuhan Akta 2011 itu mengembalikan kuasa prerogatif diraja berkaitan pembubaran Parlimen.

Prof Madya Dr Shamrahayu A Aziz

Penulis adalah Pensyarah Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM)

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Meerqeen dah ‘level’ lain

Ini ke penyondol kacau rumah tangga Hafidz Roshdi?

‘Lepas Cerai, Sha Nak Something Different’ – Shila Amzah

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker