Pertemuan Pejuang-PAS, ‘kalau Mukhriz minta kerusi di Kedah saya jammed’ – Sanusi

ALOR SETAR – Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir didakwa telah mengadakan pertemuan bersama kepimpinan tertinggi Pas baru-baru ini.

Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendedahkan pertemuan itu berlaku, namun intipati perbincangan antara dua pihak belum didedahkan setakat ini

Menurutnya, perbincangan itu hanya melibatkan lima kepimpinan tertinggi parti Pas bersama Mukhriz.

“Saya difahamkan Mukhriz ada berjumpa dengan beberapa pemimpin Pas. Tak pasti di mana pertemuan itu dilakukan tetapi ada jumpalah.

“Saya juga tidak pasti apakah intipati perbincangan tersebut kerana saya tiada dalam perjumpaan itu,” katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran Kedah Cashless dan penyerahan hak milik tanah serta sumbangan wang ihsan daerah Kota Setar di sini pada Sabtu.

Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah berharap perbincangan awal yang diadakan itu membawa kepada hasil yang positif.

“Saya pun tak tanya apa yang mereka bincangkan. Mana tahu bila ditanya, pemimpin Pas bagi tahu Mukhriz minta kerusi (di Kedah), jammed saya,” katanya berseloroh.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi mengalu-alukan sekiranya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra itu berhasrat menyertai Pas atau PN.

“Siapa pun kalau nak sertai Pas kita terima. Pas adalah parti terbuka. Mukhriz pun boleh kalau beliau mahu masuk Pas. Cumanya, kalau nak jadi MB susahlah sikit,” ujarnya.

Pada Januari lalu, Mukhriz mengesahkan Pejuang keluar secara rasmi dari Gerakan Tanah Air (GTA) bertujuan untuk memperkukuhkan parti.

Beliau turut tidak menolak kemungkinan Pejuang akan menjalin kerjasama politik sama ada dengan PN atau Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri.

Ini menyebabkan Pengerusi Pejuang yang juga bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan keluar parti, namun kekal sebagai Pengerusi GTA.

Kemelut dua beranak itu dilihat semakin panas apabila Dr Mahathir dikatakan bertindak keluar parti kerana kecewa dengan ketidaksabaran Mukhriz yang mahu membawa Pejuang bergabung di bawah naungan koalisi lebih besar sama ada Kerajaan Perpaduan mahupun PN.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker