Warga Emas Maut Ketika Menyemai Padi

MELAKA – Seorang lelaki warga emas meninggal dunia dalam keadaan menyayat hati apabila ditemukan tertiarap berhampiran anak padi yang baru disemainya di Kampung Batang Tiga, Klebang di sini malam tadi.

Mangsa, Ramli Samat, 68, dipercayai meninggal dunia akibat lemas di dalam lumpur sebelum ditemukan ahli keluarga yang keluar mencarinya pada pukul 7.40 malam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu, Penolong Penguasa Bomba Roslan Jalil berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.44 malam sebelum sembilan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Pasukan bomba cuba memberikan bantuan pernafasan kepada mangsa sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.



“Berdasarkan maklumat awal, mangsa dikatakan pergi ke kawasan sawah bersama dua lagi rakannya, namun mereka pulang lebih awal selepas selesai kerja di sawah masing-masing.

“Mangsa bagaimanapun dikatakan tidak pulang ke rumah walaupun hari sudah gelap membuatkan keluarga yang risau terus keluar mencarinya di sawah dan menemukannya dalam keadaan tertiarap dengan bahagian muka terbenam dalam lumpur, ” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambahnya, keluarga turut memaklumkan mangsa menghidap penyakit jantung, tekanan darah tinggi dan kencing manis.

Roslan berkata, pasukannya cuba membuat penyelamatan awal dengan memberi bantuan pernafasan, namun mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.



“Kita percaya mangsa cuba bangun selepas terjatuh, namun faktor tanah yang lembap dan berair menyukarkannya,” katanya.

Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Melaka untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – K! ONLINE

Gambar Sawah Padi Di Sabak Bernam ‘Viral’ Selepas Menjadi Pilihan Instagram Apple



Mukhriz setuju dengan saranan bapanya tanam padi waktu malam.

 



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker