Kekecohan DAP Perak: polis buka kertas siasatan

IPOH – Polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 22A Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit) Pindaan 2021 susulan kekecohan yang berlaku semasa Konvensyen DAP Perak, Ahad lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, penganjur konvensyen itu telah dipanggil bagi melengkapkan siasatan selepas menerima laporan yang dibuat di Balai Polis Sungai Senam di sini.

“Polis telah memanggil penganjur untuk mendapatkan maklumat lengkap serta mendapati kehadiran perwakilan seramai 1,731 orang dan ia kurang daripada kapasiti maksimum dewan iaitu 4,500 orang.

“Polis sedang menganalisa video dan foto-foto yang diperoleh bagi mengenal pasti individu-individu serta kesalahan-kesalahan yang berkaitan dengan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) terutama ketika insiden kekecohan dan konvensyen berlangsung,” katanya.

Menurutnya, kertas siasatan akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk arahan selanjutnya.

“Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi dan kenyataan tidak bertanggungjawab kerana dikhuatiri akan mengganggu proses siasatan polis,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Konvensyen DAP Perak kecoh dengan dakwaan berlaku penipuan mengenai jumlah perwakilan yang dibenarkan untuk mengundi bagi memilih ahli jawatankuasa DAP negeri.

Dakwaan itu ditimbulkan oleh kumpulan daripada gandingan Ahli Parlimen Kampar, Thomas Su dan Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kula Segaran apabila pihak penganjur terus membenarkan perwakilan membuat pendaftaran untuk mengundi lebih daripada masa ditetapkan.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker