Kenapakah UAE batalkan Jumaat sebagai cuti umum?

EMIRIAH Arab Bersatu (UAE) yang menjalin hubungan diplomatik dengan Israel pada tahun lalu telah mengumumkan pembatalan cuti umum pada hari Jumaat yang dianggap sebagai ‘penghulu segala hari’ mulai tahun depan.

Berdasarkan jadual waktu baharu pekerjaan, cuti hujung minggu untuk sektor awam akan bermula pada tengah hari pada hari Jumaat manakala hari Sabtu dan Ahad ialah cuti umum di UAE sekali gus mengikut negara-negara Barat.

Mulai tahun depan, negara beraja itu akan menjadi satu-satunya negara Teluk yang tidak menetapkan hari Jumaat sebagai cuti umum.

Buat masa ini, negara-negara Teluk dan UAE menetapkan Jumaat sebagai cuti umum bagi membolehkan penduduk beragama Islam mengerjakan solat Jumaat.

Dalam pengumuman yang dibuat pada Selasa lalu itu, negara berkenaan juga mengurangkan minggu bekerja rasminya kepada empat setengah hari sahaja yang mana kakitangan-kakitangan kerajaan perlu menamatkan tugas mereka pada waktu tengah hari Jumaat.

Walaupun perubahan cuti umum itu hanya untuk sektor awam dan sekolah-sekolah, para penganalisis menjangkakan syarikat-syarikat swasta akan mengikutinya dengan sekurang-kurangnya menetapkan cuti hujung minggu pada hari Sabtu dan Ahad.

Peralihan itu bijak, kata para penganalisis itu kerana ia akan membawa UAE selaras dengan amalan global dan juga menjadikannya lokasi yang lebih diingini untuk para pekerja dan perniagaan asing di negara berkenaan.

Emiriah Arab Bersatu mahu menjadi hab pilihan utama untuk ahli perniagaan, ekspatriat dan pelancong. - Foto AFP
Emiriah Arab Bersatu mahu menjadi hab pilihan utama untuk ahli perniagaan, ekspatriat dan pelancong. – Foto AFP

 

Persaingan semakin sengit ekoran negara jiran UAE, Arab Saudi berusaha untuk mempelbagaikan ekonominya yang bergantung kepada minyak dan cuba menjadikan ibu kotanya sebagai pusat antarabangsa dengan mengikut acuan Dubai.

Pada tahun lalu, Arab Saudi mengatakan ia tidak akan menandatangani kontrak dengan syarikat-syarikat yang mempunyai ibu pejabat serantau di luar negara beraja itu.

Menurut Robert Mogielnicki iaitu seorang ahli akademik kanan di Institut Negara Arab Teluk di Washington, keputusan yang dibuat UAE itu akan menyelaraskan ekonomi negara berkenaan dengan lebih baik mengikut standard perniagaan global.

“UAE mahu mengekalkan kedudukannya sebagai hab pilihan utama rantau ini untuk ahli-ahli perniagaan antarabangsa, ekspatriat dan pelancong. Melaraskan minggu bekerja hanyalah satu daripada pelbagai cara UAE cuba mengekalkan kelebihan daya saingnya,” kata Mogielnicki kepada AFP.

Sebelum ini, cuti hujung minggu negara itu ialah hari Khamis dan Jumaat sehingglah tahun 2006 apabila ia bertukar kepada hari Jumaat dan Sabtu.

Sehubungan itu, mulai tahun depan, kakitangan awam akan bekerja separuh hari pada hari Jumaat diikuti cuti penuh pada hari Sabtu dan Ahad.

Didorong dengan kekayaan minyaknya, bekas negeri naungan British itu telah meninggalkan pemandangan yang biasa dilihat di negara tersebut iaitu khemah-khemah dan rumah-rumah bata lumpur yang ringkas kira-kira lebih lima dekad sejak penubuhan UAE pada tahun 1971 dengan menjadi salah satu pemain terbesar di Timur Tengah.

Negara beraja itu melakukan banyak pindaan undang-undang sejak beberapa tahun kebelakangan ini sekali gus menampilkannya sebagai kuasa pemodenan.

Ia telah menarik balik larangan ke atas pasangan yang belum berkahwin untuk tinggal bersama, melonggarkan sekatan ke atas alkohol, menawarkan kediaman jangka panjang dan mencapai perjanjian normalisasi dengan Israel untuk memanfaatkannya sebagai kuasa ekonomi.

“UAE akan menjadi global, dan sejajar dengan apa yang berlaku di kebanyakan negara di dunia”, kata seorang profesor sains politik di negara itu, Abdulkhaleq Abdulla.

Kelonggaran yang sama, jika lebih terhad, sedang dilakukan di Arab Saudi yang kini membenarkan wanita memandu dan telah mengurangkan kod berpakaian Islamnya.

“Memandangkan liberalisasi sosial yang berterusan di Arab Saudi, keputusan baru-baru ini mencerminkan percubaan (UAE) untuk kekal berada beberapa langkah di hadapan Arab Saudi,” kata Mogielnicki.

Nasser Saidi iaitu pengasas firma perunding ekonomi serantau berkata, peralihan cuti hujung minggu itu mewakili pembaharuan besar yang akan menghasilkan integrasi antarabangsa yang lebih besar khususnya integrasi ekonomi dan ekonomi kewangan UAE.

Walaupun menjadi satu-satunya negara di Teluk yang tidak mempunyai cuti hujung minggu pada hari Jumaat dan Sabtu, UAE kini seiring dengan dunia yang bukan Arab.

“Ini (perubahan cuti umum) bermakna penyelarasan antarabangsa untuk perniagaan,” kata Nasser yang juga bekas ketua ekonomi Pusat Kewangan Antarabangsa Dubai.

Melalui cara itu, cuti umum penuh UAE adalah sama dengan majoriti negara-negara di dunia seperti AS, benua Eropah dan kebanyakan negara di Asia. – Agensi

Kenapakah UAE batalkan Jumaat sebagai cuti umum?


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


JPJ lanjut tempoh diskaun saman sehingga Rabu

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker