Bayi 3 bulan maut dalam jagaan bapa panas baran

Bayi 3 bulan maut dalam jagaan bapa panas baran

ALOR SETAR: “Sebagai isteri saya maafkan, namun berharap dia (suami) mendapat hukuman setimpal atas perbuatan dilakukannya terhadap anak kami,” kata seorang wanita yang hanya mahu dikenali Kamalia, 22, ibu kepada bayi lelaki yang ditemukan meninggal dunia di sebuah rumah di Mukim Padang Hang, dekat sini kelmarin.

Bayi berusia tiga bulan itu dipercayai dibunuh bapa sendiri selepas Kamalia melarikan diri kerana tidak tahan dipukul suaminya yang dipercayai seorang penagih dadah pada 4 Oktober lalu.

Menurut Kamalia, dia membuat laporan polis sebelum menumpang di rumah saudaranya kerana takut dengan suami yang mengancam mahu membunuhnya.

“Saya terpaksa meninggalkan tiga anak, masing-masing dua perempuan berusia setahun dan enam tahun serta bayi lelaki yang baru berusia tiga bulan.

“Sejak itu, hampir setiap hari saya ke balai polis untuk meminta pertolongan supaya anak-anak diselamatkan kerana bimbang sikap panas baran serta suami yang mungkin bertindak luar kawalan berikutan berada bawah pengaruh dadah,” katanya ditemui di rumah saudaranya, hari ini.

Menurutnya, selepas beberapa hari merayu dan meminta tolong kerana bimbang dengan keselamatan anak, sepasukan polis ke rumahnya kelmarin, sebelum menerima panggilan mengatakan suaminya sudah ditahan dan dia dipanggil ke balai polis.

“Sebaik tiba di balai polis, saya dimaklumkan bayi lelaki ditemui meninggal dunia atas katil dalam bilik rumah dan ketika itu saya sudah tidak mampu berfikir.

“Bagaimanapun, saya dimaklumkan dua lagi anak diserahkan kepada keluarga mentua untuk dijaga buat sementara waktu,” katanya.

Menurutnya, sejak berkahwin pada 2019 lalu, suami sudah menunjukkan sikap panas baran serta cemburu buta, selain kerap mengesyaki dia mempunyai hubungan dengan orang lain.

“Saya mengesyaki suami berperangai begitu kerana dia berada di bawah pengaruh dadah, malah saya pernah menerima 27 jahitan di kepala akibat dipukul, mata dicungkil dan ditikam tangan serta peha.

“Semua itu berpunca daripada sikap cemburu suami sedangkan sejak kahwin saya hanya berada di rumah yang turut dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dipasangnya bagi memantau pergerakan saya,” katanya.

Kamalia berkata, baru-baru ini dia lari meninggalkan rumah kerana suami mahu membeli motosikal berkuasa besar, namun dia diminta mencari penjamin.

“Pemilik kedai memberitahunya yang isteri boleh dijadikan penjamin, namun ketika pulang rumah suami mempertikai dan menyoal kenapa saya perlu menjadi penjamin untuknya.

“Suami mula membuat pelbagai tuduhan terhadap saya sebelum berlaku pertengkaran sehingga dia memukul kepala dan mengugut mahu membunuh saya,” katanya.

Sejak berkahwin Kamalia sudah membuat enam laporan polis sehingga suaminya ditangkap, namun kerana kasihan selain suami berjanji mahu berubah membuatkan dia terpaksa menarik kembali semua laporan terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, berkata suspek berusia 28 tahun sudah ditahan dalam serbuan dilakukan di rumahnya jam 2.50 petang, semalam.

“Ketika serbuan, polis menemui mayat seorang bayi lelaki dan pemeriksaan lanjut mendapati suspek turut positif methamphetamine.

“Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat dan suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Difahamkan, hasil siasatan awal suspek mengaku memukul kepala, menampar muka serta memulas telinga mangsa kerana mendakwa bayi terbabit enggan minum susu dan kerap menangis.

Selain itu, suspek turut mendakwa dia tahu bayinya itu sudah meninggal dunia dua hari sebelum ditahan. BH

Bayi 3 bulan maut dalam jagaan bapa panas baran


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Isteri mengamuk tampar suami leka menyanyi bersama wanita lain [VIDEO]

Model jelita disuntik racun, mayat disimen dan dibuang di gurun

Bomoh dicekup berkhalwat dengan isteri orang

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker