Tolak ideologi ekstrem, iktiraf budaya berbeza demi perpaduan kaum, kata Tok Mat

Menolak ideologi ekstrem, bertoleransi dan mengiktiraf perbezaan budaya serta agama ialah resepi untuk mengukuhkan perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini, kata Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan menjelang Hari Kebangsaan ke-63 esok.

Beliau berkata, kemerdekaan negara tidak dikecapi melalui konflik persenjataan atau pertumpahan darah berpanjangan, tetapi ditebus dan diisi dengan semangat permuafakatan tulen.

“Muafakat Malaysia bukannya ‘win some, lose some’, tapi ‘everyone win and no one lose’. Jika tidak, yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu.

“Muafakat Malaysia tidak boleh dicapai melalui paksaan dan penguatkuasaan undang-undang. Kesetiaan pada tanah air adalah kualiti yang lahir dari hati. Ini bukan tugas mudah, ia adalah perjalanan yang payah, tetapi ini sahajalah satu-satunya jalan untuk Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.



Adun Rantau itu yang lebih mesra dengan panggilan Tok Mat berkata, rakyat perlu menolak sepenuhnya fahaman ekstrem, sempit dan bercanggah dengan kepentingan serta perpaduan nasional, selain menerima dan menghormati perbezaan budaya serta agama.

“Akurlah Malaysia memang sebuah negara yang berwajah majmuk dan kemajmukan itulah yang menjadikan Malaysia istimewa.

“Hiduplah dengan mengamalkan toleransi, tolak ansur dan pendekatan sederhana. Adat bernegara seharusnya matang dan bersusila tinggi.

“Kita mesti belajar berlebih kurang dan berbahagi. Yang lemah dibantu dan diupayakan, yang terbuang dilindungi dan dibela, dan yang buntu dipimpin dengan jalan keluar cerah.”



Katanya, tiada keamanan tanpa tolak ansur, tiada kesejahteraan tanpa toleransi tinggi dan tiada kesepaduan nasional tanpa mengambil pendekatan sederhana.

“Marilah kita memperbaharui azam kita dalam bulan kemerdekaan ini untuk mengukuhkan muafakat Malaysia demi tanah air tercinta.

“Sempena peristiwa besar ini, marilah kita mengukuhkan kesepaduan nasional kita. Jangan sesekali kita membiarkan kesepaduan kita, sebagai sebuah negara dan bangsa, merapuh dan meluntur. Kita mesti hidup bersama dengan aman dan sejahtera, sekalipun dikelilingi seribu satu perbezaan dan kelainan.” FMT



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker