Rebut kuasa binasa umat

oleh Dr Ahmad Sanusi Azmi

KEMELUT politik yang melanda Muslim pada hari ini seharusnya menjadi titik muhasabah buat umat Islam. Benarlah apa yang disabdakan Rasulullah SAW bahawa perebutan kuasa, cintakan dunia dan pertelagahan dengan pemimpin menjadi faktor merosakkan umat Islam.

Nasihat ini pernah disampaikan Rasulullah SAW kepada sahabat. Baginda menjelaskan kepada mereka bahawa umat Islam satu hari nanti menjadi buih di lautan.

Mereka diratah oleh umat yang lain. Sahabat bertanya: “Apakah umat Islam ketika itu sedikit.” Rasulullah menjawab: “Tidak.” Bahkan menurut hadis berkenaan, umat Islam ketika itu ramai, tetapi mereka seperti buih di lautan.

Mereka dihanyutkan ke sana dan ke mari kerana lemahnya jiwa mereka. Rasulullah lalu menjelaskan bahawa yang menjadikan umat Islam lemah kerana terlalu mencintai dunia dan takut mati. Hadis Riwayat Abu Daud

Perhatikan bagaimana Rasulullah SAW mendidik kita bahawa dek kerana gilakan dunia dan kuasa pemerintahan, umat Islam menjadi lemah dan binasa.

Bahkan di dalam hadis berkenaan, Rasulullah SAW memberikan amaran apabila umat Islam lemah, Allah mencabut rasa takut musuh kepada umat Islam. Ini bererti, umat Islam menjadi satu bangsa yang dipandang rendah dan tidak dihormati.

Jika ditelusuri sejarah umat Islam yang lalu, kita dapati bagaimana perebutan kuasa menjadikan mereka umat berpecah dan lemah.

Mereka lupa kuasa pemerintahan satu amanah. Perkara ini disampaikan Rasulullah SAW kepada Saidina Abu Zar.

Menurut sebuah hadis, Abu Zar pernah meminta kepada Rasulullah SAW agar diberikan jawatan dalam pemerintahan. Rasulullah dengan tenang menasihatkan Abu Zar agar jangan meminta-minta kuasa pemerintahan bahkan Rasulullah menegaskan: “Sesungguh kuasa pemerintahan ini adalah amanah dan ia menjadi kehinaan (buat mereka yang gagal menunaikannya) di hari akhirat kelak.” Hadis Riwayat Muslim

Dalam sebuah hadis yang lain pula, Rasulullah SAW menjelaskan bahawa umat terdahulu pernah menjadi binasa disebabkan pertelagahan mereka dengan pemimpin mereka. Mereka terlalu banyak mempersoalkan tindakan pemimpin dan bertelagah dengan pemimpin mereka.

Bagi memastikan perkara ini tidak berlaku di kalangan umat Islam, Rasulullah SAW berpesan kepada kita bahawa: “Sesungguhnya binasa umat terdahulu dari kamu atas perbuatan mereka yang banyak mempersoal serta bertelagah dengan pemimpin mereka.” Hadis Riwayat Muslim

Menghayati hadis di atas, sebahagian sarjana Muslim amat bimbang untuk memegang apatah lagi berebut untuk menjadi pemimpin.

Mereka sedar bahawa kuasa pemerintahan adalah amanah yang besar yang menyebabkan mereka terjerumus ke dalam kebinasaan sekiranya tidak ditangani dengan baik.

Atas dasar itu, seorang tokoh sufi yang terkenal berpesan bahawa sifat gilakan kuasa ini merosakkan peribadi seseorang.

Sifat gilakan kuasa menyebabkan seseorang menjadi hasad dengki bahkan suka mencari keaiban manusia lain. Kata Fudail ibn Iyyad: “Tidak ada seorang lelaki yang gilakan kuasa kepimpinan melainkan dia terjebak dengan hasad dan kejahatan, suka mencari keaiban manusia dan dia benci untuk menyebut kebaikan orang lain.”

Malah, al-Imam Abu Daud al-Sijistani, seorang tokoh hadis yang terkenal, melihat sifat ini sebagai satu daripada penyakit atau menggelarkan sebagai syahwat tersembunyi.

Beliau pernah ditanya apakah yang dimaksudkan dengan nafsu syahwat yang tersembunyi. Lalu dia berkata: “(mereka yang) cintakan kuasa.” Atas dasar itu al-Imam Abu Ayyub al-Sakhtiyani berpesan bahawa mereka yang cintakan kemasyhuran dan kepimpinan ini adalah mereka yang sukar dipercayai.

Jangan mementingkan posisi dan kedudukan kita sendiri sehingga mengabaikan tanggungjawab yang paling utama bagi seorang pemimpin iaitu memelihara Islam dan Muslim. Semoga Allah membimbing kita.

Penulis adalah Timbalan Pengarah Institut Sains Islam Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker