Tunku Idris beri gambaran bertanding PRU15

Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar memberi gambaran melalui media sosial kemungkinan akan bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Dalam kiriman Instagram Story, Tunku Idris, 31, berpakaian rasmi diraja, memuat naik pilihan antara parlimen Muar atau Mersing dengan keterangan“I am running #PRU15” (saya bertanding PRU15).

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada baginda sekadar bergurau tentang perkara itu.

Berdasarkan kiriman itu, jumlah peratusan undian yang mahukan baginda bertanding di Muar adalah 75 peratus, sementara di Mersing 25 peratus, seperti dilapor Sin Chew Daily.

Untuk rekod, penyandang parlimen Muar ketika ini ialah Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sementara parlimen Mersing disandang ahli parlimen dari Umno, Latiff Ahmad.

Perkembangan terbaru itu hadir selepas Syed Saddiq mempertikaikan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim ketika mempertahankan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dalam kiriman berasingan, Tunku Idris memuat naik gambarnya memakai pakaian rasmi sama tanpa keterangan berkaitan PRU ke-15 seperti kiriman sebelumnya.

Kiriman itu disambut pengguna media sosial yang antara lain menggalakkan Tunku Idris bertanding, terutamanya di Muar.

Bagaimanapun, ada juga pengguna media sosial yang berpandangan bahawa sekiranya Tunku Idris menyertai politik, baginda terdedah kepada fitnah.

Salah seorang pengguna media sosial dengan nama @andrewrazaly berkata: “Jika Tunku bertanding, Tunku perlu tumpukan 100 peratus dan tidak habiskan masa naik helikopter atau kereta lumba.”

Tunku Idris kemudian menjawabL: “Salah, saya akan terus dengan hobi saya. Itu yang membuatkan orang kekal waras.

“Anda boleh tumpukan 100 peratus dan masih gagal. Saya akan naik helikopter bila-bila saya mahu kerana itu bukan helikopter kerajaan,” katanya.

Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker