Anak hampir maut selepas minum ais berperisa

Anak hampir maut selepas minum ais berperisa

Minuman ringan ais berperisa dengan tekstur lembut dan pelbagai warna atau ‘Slushy’ yang dijual dengan harga murah ternyata digemari oleh kanak-kanak masa kini.

Namun, minuman itu sebenarnya berbahaya dan pakar menasihati ia tidak sesuai untuk kanak-kanak yang berusia empat tahun ke bawah.



‘Slushy’ ialah sejenis minuman yang diperbuat daripada ais berperisa dan minuman manis, sama seperti granita tetapi dengan komposisi yang lebih cair. Ia juga biasa dipanggil slush, slurpee atau minuman beku.

Minuman boleh menjejaskan kesihatan kanak-kanak, dan ia berdasarkan kes terbaharu di United Kingdom membabitkan dua kanak-kanak, iaitu masing-masing berusia tiga dan empat tahun dimasukkan ke hospital selepas meminumnya.

Dalam laporan portal Daily Mail, doktor mengesahkan ada satu bahan tambahan gliserol di dalam minuman berkenaan yang banyak dijual di pawagam, kedai serbaneka dan taman permainan.

Gliserol atau E422 dimasukkan dalam minuman itu untuk memberikan kesan ‘slushy’ iaitu menghentikan minuman ais daripada membeku dan turut bertindak sebagai pemanis tanpa gula.



Minuman itu boleh menimbulkan bahaya kepada orang dewasa dan kanak-kanak.

Dengan hanya meminum ‘slushy’ 350 mililiter (ml) dengan paras gliserol tertinggi ia boleh menyebabkan kesan buruk kepada kesihatan.

Paras gliserol dikesan mampu terkumpul dalam badan sekali gus ia mengakibatkan masalah kesihatan yang serius seperti muntah dan sakit kepala.

Selain itu, minuman itu boleh menjejaskan sistem peredaran darah yang mengepam oksigen dan menyebabkan organ penting kehilangan fungsi.



Antara tanda lain adalah kulit menjadi pucat, badan sejuk, lembap, serta berpeluh, pernafasan menjadi cepat atau lemah, tiba-tiba lemah atau pening, loya dan kemungkinan muntah, dahaga yang melampau dan sentiasa menguap.

Selain itu, ia juga mengakibatkan hipoglisemia (darah rendah), iaitu adalah satu lagi kesan gliserol.

Gejala lain termasuk lapar, pening, perasaan cemas atau cepat marah, berpeluh, menggigil, bibir mencucuk-cucuk, keletihan dan lemah serta penglihatan kabur.

Pada peringkat paling serius, hipoglisemia boleh menyebabkan sawan.



Lebih parah, kejutan dan hipoglisemia boleh mengancam nyawa serta dianggap sebagai ‘kecemasan’ perubatan yang memerlukan rawatan segera.

Dua kes terbaharu

Seorang ibu mendedahkan bagaimana dia berasa takut anaknya akan mati apabila anaknya rebah dan pengsan selepas meneguk minuman slushy.

Beth Green, 24, dari Nuneaton, Warwickshire, berdepan mimpi ngeri itu ketika anak lelakinya, Albie yang berusia empat tahun tidak bertindak balas selepas pulang dari sekolah dalam kejadian yang berlaku pada Oktober lalu.



Sebelum itu, kanak-kanak berkenaan sedang bermain boling dengan seorang rakannya, namun selepas meneguk minuman berperisa strawberi itu, dia tiba-tiba pengsan.

Pada mulanya, Beth berkata Albie yang duduk di kerusi belakang kereta kelihatannya letih dan gelisah.

Ia berlaku selepas ibu warga Scotland, Victoria Anderson berkongsi bagaimana anak lelakinya, Angus yang berusia tiga tahun hampir meninggal dunia pada Januari selepas mengambil minuman berkenaan. Dia jatuh pengsan dalam pelukannya sebelum dikejarkan ke hospital.

Beth semakin bimbang apabila Albie mula halusinasi dan bertindak mencakar mukanya, mendorongnya untuk membawanya ke hospital.



Selepas pengsan, pasukan perubatan mendapati paras gula dalam darahnya menjunam ke paras yang sangat rendah.

Pada satu peringkat, Beth dan pasangannya, Fred Pegg, 24, bimbang anak mereka akan mati kerana degupan jantung Albie yang sangat perlahan.

Doktor berkata, jika mereka tidak membawanya ke hospital, ia akan membawa maut.

Beth berkata, kejadian itu berlaku selepas waktu sekolah pada Jumaat, ketika beliau membawa Albie dan rakannya bermain boling.

“Dia pernah mengambil ‘slushy’ di sana sebelum ini. Albie memang kerap mengambil minuman itu apabila cuaca panas tetapi bukan secara berterusan, sekadar hidangan ringkas yang bagus untuknya.

“Dia dan rakannya sama-sama minum dan selepas itu dia kelihatan gembira dan teruja. Kira-kira jam 4.15 petang dia mula kelihatan agak letih dan gelisah, kemudian dia tidak mahu bermain lagi.

“Kami hanya fikir dia letih kerana mempunyai minggu panjang di sekolahnya. Bila masuk kereta, dia terus cakap dia penat. Secara fizikal, badannya kelihatan tidak bermaya, kepalanya terus menunduk.

“Kami pergi ke McDonald’s kerana terfikir mungkin dia hanya memerlukan makanan ringkas, namun dia juga tidak mahu menjamah makanannya,” katanya.

Selepas menghantar rakan Albie ke rumah, Beth dan Fred menyedari anak mereka mula menunjukkan tingkah laku yang pelik, termasuk menggaru dirinya sendiri dan nampaknya berhalusinasi.

“Ia situasi yang sangat pelik. Dia terus menjerit ‘tidak’ dan ‘tinggalkan saya sendiri’ di kerusi belakang kereta dinaikinya. Dia menjerit kemudian berteriak kuat lagi.

“Saya fikir mungkin dia kena jangkitan virus dan rasa gelisah tetapi dia mula mencakar dirinya sendiri dan bertindak tanpa sedar,” katanya.

Pasangan itu menghubungi nenek Albie yang kemudian menasihatkan membawanya ke unit kecemasan hospital untuk mendapatkan pemeriksaan, selepas keadaannya dilihat semakin teruk.

Beth berkata, pada ketika itu, dia tidak ingat sama ada anaknya sedang bernafas atau tidak, kerana kelihatan seperti tidak sedarkan diri, biarpun cuba mengejutkannya namun masih tidak bertindak balas.

“Mereka membawanya ke bilik rawatan di mana petugas mula memberinya bantuan pernafasan selepas dia kelihatan tidak bernafas sendiri dan degupan jantungnya sangat rendah. Mereka terpaksa mengejutnya.

“Kami tidak tahu apa yang berlaku. Mereka menyangka dia mungkin mengalami sepsis atau jangkitan. Mereka terpaksa cuba segala-gala cara. Mereka juga bertanya kemungkinan sama ada dia mengambil sebarang ubat atau terdedah kepada insulin?.

“Kami diberitahu oleh petugas kesihatan bahawa jika kami membawanya pulang dan bukannya ke hospital, dia akan mati. Ia sesuatu yang sangat menakutkan,” katanya.

Albie kemudiannya dipindah dari Hospital George Eliot di Nuneaton, Warwickshire, ke unit pemantauan rapi di Hospital Universiti Coventry & Warwickshire ketika dia terus kelihatan tidak sedarkan diri.

“Kami tidak tahu keadaan sebenarnya, ia sangat mengerikan. Mereka menyangka dia boleh menghidap diabetes kerana paras gula dalam darahnya sangat rendah,” kata Beth.

Albie telah dimasukkan ke hospital selama tiga hari sebelum keadaannya mula stabil dan dibenar pulang ke rumah.

Selepas ujian lanjut oleh Hospital Kanak-kanak Birmingham, Beth dan Fred diberitahu kejadian dihadapi Albie mungkin disebabkan oleh intoleransi gliserol selepas mengambil minuman berkenaan.

Beth berkata, dia terkejut selepas mengetahui minuman yang dipasarkan kepada kanak-kanak boleh menyebabkan reaksi buruk seperti itu serta yakin usia disyorkan untuk minuman itu seharusnya dinaikkan kepada 10 tahun.

“Kami terkejut. Dia pernah minum ‘slushy’ berkali-kali sebelum ini. Kenapa baru sekarang dia ada reaksi?. Saya marah dengan perkara remeh ini. Saya ibu bapa yang sedar apa yang dimakan anaknya.

“Sebagai ibu bapa, ini sesuatu yang dinikmati setiap kanak-kanak, di mana ia banyak dipasarkan kepada kanak-kanak di taman tema, boling, pawagam. Minuman ini sentiasa ada. Mereka perlu menaikkan had garis panduan. Saya rasa ia tidak patut dijual kepada usia bawah 10 tahun.

“Kami hampir kehilangan nyawa anak kami. Kami tidak pernah mengalami perkara seperti ini sebelum ini, dia sentiasa menjadi anak yang cergas dan sihat,” katanya.

Kejadian sama turut berlaku ke atas seorang ibu dari Port Glasgow, Victoria yang membawa anak bongsunya, Angus berusia tiga tahun dan kakaknya, keluar membeli-belah.

Tidak lama selepas ketiga-tiga mereka keluar, Angus meminta ‘slushy’ berperisa raspberi selepas melihat minuman ais berwarna merah jambu ketika berada di sebuah kedai.

Tanpa berfikir dua kali, Victoria membeli minuman itu untuk anaknya, yang tidak pernah meminumnya sebelum ini.

Kira-kira 30 minit kemudian, ketika berada di kedai lain, kanak-kanak berusia tiga tahun itu tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri, menyebabkan Victoria panik dan bimbang akan nyawanya.

Ibu kepada lima anak itu berkata selepas mengambil minuman itu, mereka mahu mengunjungi kedai lain sebelum Angus tiba-tiba memintanya mahu pulang.

“Saya sangka dia rebah di atas lantai kerana marah, tetapi apabila saya lihat matanya, kelihatan dia mengalami sawan. Dia menjadi lemas. Saya mula menjerit meminta seseorang untuk memanggil ambulans. Saya fikir saya telah kehilangan dia. Badannya juga menjadi sejuk,” katanya.

Victoria menyifatkan bagaimana tubuh Angus kekal lemas dan sejuk ketika paramedik bergegas ke tempat kejadian dan cuba memulihkan anaknya itu, selepas gula darahnya menjadi sangat rendah.

Beberapa bulan kemudian, ibu bapanya diberitahu Albie mengalami ‘intoleransi gliserol’ selepas menghirup minuman ‘slushy’.

Sementara itu, Agensi Piawaian Makanan (FSA) mengeluarkan panduan baru kepada industri mengenai gliserol dalam minuman ‘slushy’ pada Ogos 2023, menasihatkan supaya ia tidak dijual kepada kanak-kanak berumur empat tahun ke bawah.

Pada tahap pendedahan yang sangat tinggi, kandungan berlebihan gliserol boleh mengakibatkan kejutan, hipoglisemia dan kehilangan kesedaran, menurut agensi kerajaan itu. AGENSI

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Benarkah Fatiya Latiff dibuang keluarga?

Rafizi dan Tony adalah kembar “Raja Formula Temberang”

Tengku Zafrul bidas Isham, tak tahu jangan pandai komen

Kalau tak dapat, saya naik hantu – Nabila Huda

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker