Kes rasuah projek GLC lebih RM2.3 bilion, CEO antara ditahan

Kes rasuah projek GLC lebih RM2.3 bilion, CEO antara ditahan

Ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat dan pemilik syarikat antara lapan individu yang kini ditahan bagi membantu siasatan kes rasuah berkaitan projek milik sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan nilai kontrak dianggarkan melebihi RM2.3 bilion.

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mereka disyaki terlibat dalam perlakuan rasuah dalam projek-projek GLC berkenaan, antara 2017 hingga 2021.

Sumber itu berkata, CEO itu bersama lima yang lain ditahan di ibu pejabat SPRM, di sini, manakala dua lagi termasuk seorang pemilik syarikat ditahan di SPRM Sarawak, semalam, selepas hadir memberikan keterangan berhubung kes berkenaan.

SPRM, hari ini, membuat permohonan reman terhadap enam individu di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini, dan dua individu di Mahkamah Majistret Kuching, Sarawak.

CEO itu dan seorang lagi individu ditahan reman selama empat hari, bermula hari ini, manakala empat lagi direman lima hari selepas permohonan reman itu dibenarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Sementara di Mahkamah Majistret Kuching, Majistret Zubaidah Sharkami membenarkan permohonan reman lima hari terhadap pemilik syarikat, dan reman dua hari terhadap seorang pengarah syarikat kejuruteraan.

Susulan penahanan itu, sumber SPRM itu berkata 12 akaun syarikat dan individu dibekukan selain beberapa sitaan dilakukan antaranya melibatkan 10 kenderaan mewah, pelbagai mata wang tunai, jongkong emas, jam tangan mewah dan beg tangan mewah.

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim yang mengesahkan penahanan tersebut berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17 Akta SPRM 2009. FMT

Kes rasuah projek GLC lebih RM2.3 bilion, CEO antara ditahan


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Bazar Ramadan 2022: Ini senarai 18 bazar yang terbaik seluruh negara

Bayar atau tak boleh keluar dari Malaysia

‘Tiga beradik’ Juadah Istimewa Menjadi Rebutan Di Bulan Ramadan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker