Sambutan Najib di Pulau Pinang petanda buruk buat DAP?



Sambutan Najib di Pulau Pinang petanda buruk buat DAP?

JUMAAT dan Sabtu lalu Pulau Pinang, negeri di mana menjadi pusat kekuasaan DAP sejak menawan negeri tersebut pada Pilihan Raya Umum 2008 dilanda fenomena ‘Bossku’.

Media sosial dipenuhi dengan foto dan visual bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diberikan sambutan ‘hebat’ oleh masyarakat setempat terutama kaum Cina yang sebelum ini digambarkan berpatah rotan dan berkerat arang dengan Najib.

Di mana-mana sahaja Ahli Parlimen Pekan itu menjejakkan kaki, beliau menarik perhatian masyarakat Pulau Pinang bak gula dikerumun semut.

Melihatkan sambutan terhadap Najib, kehadiran ‘Bossku’ seolah-olah telah lama ditunggu-tunggu oleh orang Pulau Pinang.




Salam penumbuk dengan Najib di pasar malam Jelutong

Najib berada di Pulau Pinang bagi menghadiri Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan Pulau Pinang (Pibis) anjuran Institut Strategi Antarabangsa (ISI) iaitu sebuah badan tidak berasaskan keuntungan.

ISI terlibat dalam rangkaian perniagaan, kajian perniagaan dan pemadanan perniagaan-pelabur.

Bukan keberadaan Najib dalam sidang kemuncak itu yang menarik perhatian tetapi sambutan luar biasa yang diterimanya ketika bertemu dengan masyarakat Pulau Pinang terutama mereka yang berketuruan Cina menjadi tumpuan.

Antara lokasi yang beliau pergi termasuk Parlimen Jelutong iaitu kawasan Ahli Parlimen DAP, RSN Rayer yang selalu ‘mengacau’ Najib di Dewan Rakyat.




Dalam video yang dikongsi Najib di laman Facebooknya ketika melewati pasar malam di Jelutong kedengaran orang ramai menjerit ‘Bossku… steady bossku”.

Ramai yang mengambil gambar Najib, ada yang minta tandatangan malah ada mengambil kesempatan bersalam ‘penumbuk’ serta berswafoto dengan Najib.

Yang tidak dapat mendekat hanya melambai dari jauh.

Dalam ruang komen di Facebook Najib yang mencecah ribuan, rata-rata kagum dengan sambutan yang diberikan oleh masyarakat Cina di kubu DAP itu terhadap Najib.

Kehadiran yang tidak disenangi




Sambutan luar jangkaan terhadap Najib seolah-olah tidak disenangi oleh Presiden Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang (PCCC), Hong Yeam Wah.

Menurut Yeam Wah, PCCC tidak mungkin menjemput atau mengalu-alukan Najib yang disabitkan kesalahan di mahkamah.

Katanya, ahli-ahli perniagaan mengutamakan integriti melebihi segalanya.

Beliau menolak sambutan Presiden Persekutuan Persatuan Keturunan Zhang Malaysia, Anthony Chang Wei Loon terhadap kedatangan Najib, bagi pihak masyarakat Cina Pulau Pinang.

“Bagaimana dia (Chang) boleh mewakili kami? PCCC mempunyai sejarah lebih seratus tahun dan lebih 10,000 ahli meliputi semua industri di Pulau Pinang.




“Hampir semua ahli perniagaan di sini adalah ahli kami, bukan ahlinya. Jadi pada dasarnya, kami tidak akan menjemput atau mengalu-alukan Najib ke majlis kami atau mengalu-alukan beliau ke Pulau Pinang.

“Kamu telah melakukan jenayah dan kamu datang ke sini untuk menghadiri acara yang bersifat politik. Kami sentiasa menegaskan bahawa pemimpin tidak sepatutnya melakukan rasuah,” kata Hong Yeam yang dilaporkan oleh sebuah portal.

Bukan Hong Yeam sahaja yang menyatakan kurang senang dengan kehadiran Najib terdapat beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) turut mengeluarkan kenyataan yang serupa.

Antaranya termasuk Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong.

Beliau mengulas janji Najib terhadap ekonomi komuniti Cina sekiranya Barisan Nasional kembali berkuasa memerintah negara.

“Apa yang beliau janjikan selama ini, hanya janji kosong. Janji orang yang disabitkan di mahkamah di atas tuduhan pecah amanah ini, dengar boleh, percaya jangan. Langsung tidak boleh dipercayai.

“Masalah janji Najib ini, di Melaka dia janji lain, apabila menang, buat lain pula. Sama juga di Johor, dia janji lain, bila menang, pun lain (dibuatnya).

“Sekarang dia sudah jadi kerajaan pusat, apa yang dia janji nak buat, buatlah sekarang. Apa yang kita nampak, tiada apa-apa yang dia buat pun,” kata Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP yang baru dilantik itu.

Adakah masyarakat Cina mula menerima Najib

Adakah sambutan terhadap Najib di Pulau Pinang yang kelihatan begitu fenomena memberi petanda buruk kepada DAP di negeri itu dalam pilihan raya yang akan datang.

Bagi Penganalisis Politik, Profesor Dr. Wong Chin Huat, sambutan masyarakat dan pertubuhan Cina terhadap Najib di negeri itu boleh dianggap luar biasa.

Bagaimanapun menurut beliau, sambutan itu tidak boleh dianggap sebagai mewakili sentimen keseluruhan masyarakat Cina terhadap Najib.

“Sambutan terhadap beberapa pertubuhan Cina terhadap Najib luar biasa daripada satu segi beliau adalah pesalah yang telah disabit di mahkamah dan dijatuhkan penjara 12 tahun. Biasanya masyarakat Cina memandang rendah kepada penjenayah.

“Akan tetapi, sambutan beberapa pertubuhan ini tidak boleh dilihat sebagai mewakili masyarakat Cina, seperti mana Najib tidak boleh mewakili semua pemimpin politik Melayu,” katanya menerusi WhatsApp kepada MalaysiaGazette.

Tambah beliau, pengukur sebenar sokongan akar umbi kaum Cina terhadap Najib hanya boleh dibuat dalam pilihan raya.

Menurut Chin Huat, jika Najib semenangnya didukung oleh masyarakat Cina maka parti DAP sepatutnya telah tumbang dalam pilihan raya negeri di Johor dan Melaka.

“Akan tetapi ia (DAP) masih mendapat sokongan kuat. Sebaliknya, MCA hilang deposit di Dewan Undangan Negeri Bandar Hilir dan Kota Laksamana di Melaka.

“Kalau DAP tetap boleh menghilangkan deposit MCA yang menjunjung Najib di Melaka maka tiada bukti untuk percaya Najib sudah menjadi popular di kalangan orang Cina, lebih-lebih lagi di Penang,” katanya.

Untuk rekod pada PRN Melaka menyaksikan DAP mengekalkan kerusi Bandar Hilir, Kota Laksamana, Ayer Keroh dan Kesidang. Namun parti itu tewas empat lagi kerusi disandangnya, iaitu Duyong, Gadek, Pengkalan Batu dan Bemban.

Sementara pada PRN Johor DAP menang 10 daripada 14 kerusi yang ditandinginya.

Seperti yang dikatakan oleh Chin Huat, hanya pilihan raya yang dapat mengukur sejauh mana pengaruh ‘Bossku’ di Pulau Pinang.

Mampukah aura ‘Bossku’ meruntuhkan Kerajaan DAP Pulau Pinang yang telah bertahan selama 14 tahun itu pada pilihan raya akan datang? MG

Sambutan Najib di Pulau Pinang petanda buruk buat DAP?


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Amelia Henderson terima lamaran Aedy Ashraff (Video)

Zara dituduh guna duit NGO beli kereta mewah

Sajat bayar teman lelaki untuk ‘melekat’



Leave a Reply

Your email address will not be published.