Ben Amir si peguam seksi

BERADA dalam kategori antara hero pilihan ramai ketika ini, Ben Amir tidak pernah culas meminjamkan pesonanya dalam apa jua persembahan di layar kaca,

Campaklah apa sahaja watak kepadanya, semuanya pasti ditangani dengan cemerlang. Aura seksi yang terpancar tubuhnya mudah membawa pengaruh tular.

Terbaharu, pemilik nama lengkap Muhammad Amir Sabaruddin itu mengunci perhatian khalayak menerusi lakonannya sebagai seorang peguam bernama Rahimin menerusi drama bersiri Tetuan Ang & Rahimin.



Menerusi drama tersebut, Rahimin berkawan baik dengan Ang lakonan Rashidi Ishak dan menubuhkan sebuah firma guaman bersama, Tetuan Ang & Rahimin.

Rahimin bagaimanapun mempunyai sikap gemar mengambil kesempatan dan terlalu mata duitan. Sikap tamak tersebut menjadi satu dilema yang meruncing dia menerima tawaran melindungi kegiatan jenayah daripada seorang ketua samseng.

PENGGAMBARAN drama Tetuan Ang & Rahimin mengingatkan Ben terhadap memori pahit semasa perceraian ibu bapanya satu ketika dahulu

Peguam seksi?

Sejak menemui penonton pada 14 Februari lalu, naskhah terbitan KL Motion Pictures tersebut pantas memicu perhatian penonton kerana disifatkan berbeza berbanding drama sedia ada.



Selain faktor jalan cerita berbeza dan jarang diketengahkan dalam drama tempatan iaitu dunia guaman, nama popular yang membarisi senarai pelakon membuatkan peminat bertambah teruja.

Selain Ben, Tetuan Ang & Rahimin turut dibintangi Daiyan Trisha, Rashidi Ishak, Anita Baharom, Ellyas Abdullah dan ramai lagi.

Kemunculan Ben itu pasti membuatkan peminat setianya bertambah teruja kerana ini merupakan kali pertama Ben menjadi peguam.

Sebagaimana mungkin diharapkan pihak produksi, pesona yang dicernakan pelakon itu dalam naskhah berkenaan mengundang pelbagai reaksi, antaranya ada peminat melabelkan dirinya sebagai seorang peguam yang ‘seksi’.



Tertawa kecil saat diajukan soalan sebegitu, ini jawapan Ben.

“Saya tak tahu apa yang mereka maksudkan (ketawa).

“Tapi, jika ditanya saya tentang terma seksi bagi seorang lelaki, bergantung kepada dari segi keyakinan dan cara pembawaan diri, baik dari segi cita rasa fesyen, mentaliti, disiplin serta kelakuan seseorang,” jawabnya ringkas.

Bagi Ben, istilah seksi sama seperti cantik, sangat subjektif untuk diterjemahkan.



Ditebak dengan ciri-ciri seksi yang ada pada dirinya, pelakon berusia 32 tahun itu menyenaraikan beberapa kriteria.

“Kalau tentang saya, seksi saya sebagai seorang lelaki itu mungkin ada pada sikap sentiasa bermotivasi, yakin diri dan pandai berjenaka,” ujar Ben.

BEN AMIR berpendapat, tarikan seksi dirinya mungkin terletak pada sikap yang selalu bermotivasi, yakin diri dan pandai berjenaka.

Didik penonton

Sebagai pelakon, pastinya banyak perkara dititikberatkan sebelum menerima pelawaan membintangi sesebuah naskhah.
Begitu juga Ben yang mengakui sangat teruja ketika mengetahui tawaran yang datang daripada syarikat KL Motion Pictures untuk Tetuan Ang & Rahimin.



Kata Ben, dia tidak berfikir panjang selepas melihat tawaran daripada syarikat tersebut, selain itu ada beberapa sebab membuatkan dia terus bersetuju berlakon dalam Tetuan Ang & Rahimin.

“Tengok nama KL Motion Pictures, saya terus setuju. Saya masih ingat, drama Dunia Generasi Baru (tayangan 2015), itulah kali pertama berlakon bersama mereka.

“Sekarang dapat jadi peguam pula, memang lain dari yang lain. Memang fokus tentang cerita seorang peguam.

SEJAK disiarkan, Ben teruja melihat respons dan pujian penonton yang gemarkan jalan cerita Tetuan Ang & Rahimin lakonannya bersama Daiyan Trisha dan Rashidi Ishak.

“Kalau naskhah lain contohnya pegang watak jadi doktor, tapi tak tunjuk pun kisah sebenar kehidupan dan pekerjaan seorang doktor, bercinta saja lebih. Tapi drama ini memang fokus terhadap politik dunia guaman.



“Apabila kami sebagai pelakon boleh buat benda yang perlu banyak belajar tentang sesuatu pekerjaan, secara tidak langsung pada masa sama boleh didik penonton juga,” jelasnya panjang lebar.

Drama Tetuan Ang & Rahimin yang masih bersiaran ketika ini menerusi saluran Astro Ria diarahkan oleh Wan Alauddin dan Wan Hasliza yang turut berperanan dalam penghasilan skrip.

Sebelum menutup perbualan, Ben sempat berkongsi perkembangan terkininya yang baru sahaja menamatkan penggambaran naskhah Honeymoon bersama pelakon Zara Zya.

“Selepas ini, saya akan berlakon dalam sebuah supertele berjudul Rebel. Mengisahkan seorang ‘street fighter’ yang mempunyai sejarah hitam.

“Kemudian ada beberapa drama yang masih dalam proses pemilihan. Penggambaran akan bermula selepas sambutan hari raya kelak,” tutupnya.

BEN terpaksa menunda keinginan bercuti disebabkan peningkatan kes harian Covid-19 ketika ini, bagi mengisi lapang tanpa penggambaran, Ben banyak menghabiskan masa terluang dengan berlatih suka muay Thai.

Ben Amir si peguam seksi


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Empat Sekeluarga Maut, Nahas 2 Kenderaan Kemalangan Di Lebuhraya Sultan Iskandar [VIDEO]

Fitnah keji, Zahid telah hantar surat saman pada Mahathir dan Muhyiddin

Zul Yahya bodohkan KJ (Video)

PRN Johor: Pengundi Cina Mula Tinggalkan DAP

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker