Kepulangan ‘Raja Formula’ dalam PKR, Anwar enggan ulas

Anwar Ibrahim mengetepikan soalan apabila ditanya mengenai kemungkinan kepulangan semula bekas ahli parlimen, Rafizi Ramli ke dalam politik.

Bagaimanapun dia berjanji akan mengulas isu berkenaan di kemudian hari.

Presiden PKR itu ketika ditemui di Universiti Selangor (Unisel) di Shah Alam pagi tadi berkata, dia mahu memberi tumpuan kepada majlis pelancaran buku bekas presiden Angkatan Islam Malaysia (Abim), Allahyarham Siddiq Fadzil.

“Saya hanya akan membincangkan isu ini (buku yang dilancarkan hari ini), jika tidak ia akan melencong kepada isu lain,” katanya kepada pemberita semasa merasmikan Institut Pemikiran dan Kepimpinan Siddiq Fadzil.

Anwar diminta mengulas gesaan agar Rafizi, yang merupakan naib presiden PKR, kembali aktif dalam politik dan bertanding jawatan kepimpinan dalam pemilihan parti itu.

Bekas ahli parlimen Pandan itu berundur daripada politik pada 2019 selepas kemenangan bersejarah Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum ke-14 dan kegagalannya menyingkirkan Azmin Ali sebagai orang nombor dua dalam PKR.

Pandangan kritisnya berhubung keputusan-keputusan yang dibuat bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad juga mendapat kritikan pelbagai pihak, termasuk penyokong PH.

Bagaimanapun, impian PH musnah selepas 22 bulan berkuasa apabila ia tumbang dan kebanyakan penyokong PH meletakkan tanggungjawab itu di bahu Mahathir.

Sebelum menarik diri, Rafizi dilihat sebagai tokoh berpengaruh dalam PKR dan dianggap sebagai salah seorang penasihat terdekat Anwar.

Dia juga dikenali ramai kerana mendedahkan beberapa skandal berkaitan kerajaan BN sebelum ini, yang turut mengheretnya ke mahkamah.

Mengulas kemungkinan kembali ke dunia politik, Rafizi memberitahu Malaysiakini bahawa dia perlu memastikan langkah sedemikian berbaloi.

Rafizi berkata PKR dan sekutunya mungkin tidak menerima pendekatan dan idea “radikal” yang dibawanya.

“Saya belum buat keputusan, tetapi saya memang memberi perhatian kepada orang ramai dan parti yang mahu saya membuat pertimbangan.

“Saya akan pertimbangkan dan berunding dengan semua pihak yang berkaitan, termasuk Tuhan,” katanya kepada Malaysiakini baru-baru ini.

‘Dialukan-alukan tapi tak bermakna saya suka dia’

Sementara itu, bekas pembantu Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menyifatkan kepulangan Rafizi sebagai perkara yang “sensitif” untuk dijawab.

“Saya mengalu-alukan (jika Rafizi mahu kembali aktif), tidak bermakna saya suka dia,” katanya kepada FMT.

Manakala timbalan pengarah komunikasi PKR Selangor Zainol Abidin Mohamed berpendapat Rafizi “keluar gelanggang” pada saat parti memerlukan khidmatnya ketika kerajaan PH dibentuk.

Rafizi tidak bertanding pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada 2018 selepas Mahkamah Sesyen Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan ke atasnya kerana membocorkan butiran perbankan sulit milik National Feedlot Corporation (NFC) pada Mac 2012.

Selepas PRU14, Rafizi gagal menyingkirkan Azmin dalam pemilihan PKR pada tahun yang sama. Dia kemudiannya dilantik sebagai naib presiden namun mengambil sikap ‘low profile’.

Azmin pula kemudian berpaling tadah daripada PKR bersama ahli parlimen yang menyokongnya dan menyumbang kepada kejatuhan kerajaan PH.

Walaupun Rafizi sesekali mengulas mengenai isu semasa dan politik di akaun Twitternya, dia menegaskan bahawa ia merupakan pendapat seorang warganegara.

Kepulangan ‘Raja Formula’ dalam po, Anwar enggan ulas


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Ibu Puteri Balqis hisap dadah, ini penjelasannya

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker