Yuna mula jadi perhatian

Sebaran :

Yuna mula jadi perhatian

Sebut saja nama Yuna, pasti lebih ramai peminat akan teringatkan kehebatan vokal dan pencapaian sudah dimiliki penyanyi lagu Terukir Di Bintang, Yunalis Zarai yang kini semakin menempa nama di Amerika Syarikat.

Namun, selain Yuna yang terkenal sebagai penyanyi itu, sekarang dalam bidang lakonan di tanah air juga ada pelakon muda meningkat naik dikenali Yuna Rahim, 26.

Wanita bertubuh kecil ini mula membuat kemunculannya di persada industri hiburan pada 2017 lalu menerusi lakonan dalam telefilem Rasuk dan Kasut. Ternyata, lakonan mantap Yuna membawa impak buatnya.



Semakin mendapat peluang mengukuhkan bakat seni, Yuna yang juga graduan Universiti Kolej Damansara Utama (KDU), kampus Glenmarie, Shah Alam ini sudah beberapa kali menjadi ‘heroin’ dalam drama.

Terbaharu, Yuna atau nama sebenarnya Sharifah Husna Rahim ini muncul sebagai watak Neesa dalam drama Diari Seorang Suami, yang kini disiarkan slot Lestary TV3, setiap Rabu hingga Sabtu, jam 9 malam, sebanyak 13 episod.

Berbicara mengenai wataknya, Yuna berkata dia berpasangan dengan pelakon Afieq Shazwan sebagai suami isteri muda. Mereka berkahwin lari akibat cinta yang tidak direstu keluarga.

“Menjadi Neesa ini, satu cabaran besar buat saya kerana perlu melakonkan karekter gadis berusia 18 tahun yang mabuk cinta dan sanggup lari dari rumah semata-mata untuk berkahwin dengan kekasihnya, Hairi, 19, dilakonkan Afieq.



“Kurang matang dan hanya impikan kehidupan indah, Neesa melihat dirinya sebagai isteri harus taat dengan suami saja, namun banyak aspek lain kurang diambil kira. Malah, kebahagiaan yang diimpi Neesa jadi sebaliknya kerana dalam hubungan suami isteri ada pasang surutnya.

“Ditambah, saya juga muncul dengan dua watak berbeza dalam drama ini. Jadi, permainan emosinya sangat berat yang membuat saya serabut juga. Drama Diari Seorang Suami ini sangat-sangat mencabar,” katanya.

Yuna berkata dia gembira dan syukur kerana digandingkan dengan Afieq dan juga Keith Foo. Menurutnya, banyak sisi positif dalam drama ini yang boleh dijadikan pengajaran oleh penonton.

Berasal dari Pulau Pinang, Yuna dilihat semakin mendapat perhatian penonton selepas beberapa drama lakonannya seperti Sweet Dreams, Lara Syakila, The Gadis, Syurga Untukmu, Angkara Cinta, Kanvas dan Tikam.



Mengulas juga mengenai momentum kariernya, Yuna berkata alhamdulillah, perjalanan kerja itu agak bagus. Ini kerana, dia semakin kenal dengan rentak cara penggiat seni bekerja.

“Bila berlakon bukan saya seorang yang bekerja tetapi membabitkan satu pasukan terus. Dulu, ketika saya mula-mula berlakon ada juga yang tak faham dengan cara kerjanya.

“Tapi, sekarang insya-Allah saya dah jadi sangat tahu macam mana nak membezakan watak sendiri dengan karekter-karekter lain sepanjang kita berlakon. Pengalaman ditimba sangat membantu saya,” katanya lagi.

Justeru, Yuna mengharapkan agar drama Diari Seorang Suami akan mendapat sambutan baik penonton. Katanya, kisah drama ini kena ditonton teliti untuk lebih memahami kerana ada pelbagai konflik berlaku.

Muka sombong, kasar

Pertama kali menemubual Yuna pada sidang media secara virtual baru-baru ini, melihatnya dari segi perwatakan diri dan raut wajah, dia kelihatan semacam sombong serta kurang mesra.

Mengulas mengenainya, Yuna tidak menafikan perkara itu, namun katanya dia sebenarnya individu yang mudah mesra dan sama sekali tidak bersikap sombong dengan orang lain.

“Bagi mereka yang tidak kenal saya dengan rapat, pasti berpandangan begini dengan mendakwa saya sombong. Tapi, saya okey saja sebab kalau dah kenal nanti akan tahulah betapa saya ramah dan mesra.

“Selain itu, saya juga mengaku berperwatakan kasar kerana itulah diri saya sebenar. Kehidupan saya memang macam budak lelaki sebab dari kecil saya memang dah kasar.

“Ditambah, dalam keluarga saya membesar dengan empat orang adik-beradik lelaki yang membuatkan kehidupan diwarnai dengan corak pergaulan yang agak lasak dan saya juga tak ramai kawan perempuan,” katanya lagi.

Apapun, Yuna berkata dia tidak terasa hati apabila dirinya dikatakan seorang yang sombong. Ujarnya, setiap orang ada pendapat dan pandangan masing-masing. Malah, baginya itu perkara biasa. HM

Yuna mula jadi perhatian


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Gelagat Mak Nubhan Masuk Butik Mewah Buat Ramai Terhibur (Video)

Pas nak lawan UMNO atau PH, tanya Asyraf


Sebaran :

Leave a Reply