Rancangan baharu AS ‘peningkan kepala’ Israel

ISRAEL yang dipimpin oleh Perdana Menteri baharu, Naftali Bennett kini berdepan dengan rancangan baharu kerajaan Amerika Syarikat (AS) pimpinan Presiden Joe Biden daripada parti Demokrat tentang isu Palestin.

Rancangan itu yang dilihat tidak menyebelahi rejim Zionis tetapi menyebabkan Bennett ‘pening kepala’ apabila Washington tetap tidak berganjak untuk membuka semula Pejabat Konsulat AS Untuk Penduduk Palestin di Baitulmaqdis.

Isu pembukaan pejabat konsulat AS itu merupakan satu tamparan hebat politik buat Perdana Menteri tersebut yang kerajaannya dibentuk daripada gabungan lapan buah parti yang terdiri daripada pelbagai pendirian.



Kerajaannya itu yang dianggotai oleh parti kebangsaan Yahudi berhaluan kanan, parti prokeamanan dan Arab-Israel berjaya dibentuk pada Jun lalu bagi menumbangkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu sebelum ini.

Jika Bennett membenarkan Washington meneruskan rancangan untuk membuka pejabat konsulat tersebut, ia akan memperkuatkan lagi tuntutan Palestin terhadap Baitulmaqdis yang kini berada dalam jajahan Israel.

Rejim Zionis menjajah Baitulmaqdis melalui Perang Enam Hari yang berlaku pada tahun 1967 dan menjajahnya sehingga kini.

Namun, Palestin turut menuntut Baitumaqdis Timur yang turut menempatkan Masjid al-Aqsa sebagai bakal ibu negaranya pada masa depan.



Ketika di bawah pemerintahan Presiden AS Ke-45, Donald Trump daripada parti Republikan, beliau membuat keputusan menutup pejabat konsulat tersebut dan memindahkan Kedutaan AS ke Baitulmaqdis dari Tel Aviv.

 

Amerika Syarikat mahu membuka semula pejabat konsulatnya untuk penduduk Palestin di Baitulmaqdis. - Foto AFP
Amerika Syarikat mahu membuka semula pejabat konsulatnya untuk penduduk Palestin di Baitulmaqdis. – Foto AFP

 

Keputusan Trump itu yang turut mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel telah menggembirakan Israel kerana tindakan tersebut seolah-olah menyebabkan Palestin tidak mempunyai hak politik untuk menuntut semula Baitulmaqdis bagi menjadi miliknya.



Buat masa ini kebanyakan pejabat perwakilan asing Israel terletak di bandar raya Tel Aviv.

Bagaimanapun ketika era pemerintahan Biden, pentadbirannya dengan tegas menyatakan ia akan membuka

semula pejabat konsulat untuk warga Palestin di Baitulmaqdis.

Ia sekali gus menunjukkan terdapat usaha-usaha AS bagi memperbaiki semula hubungan AS dengan Palestin.



Walaupun pembukaan pejabat konsulat itu sudah ‘dicanang-canangkan’ oleh pentadbiran baharu AS tetapi tarikh sebenar ia beroperasi masih belum diketahui setakat ini.

Sebelum ini pun, Bennett pernah berkata baru-baru ini bahawa tidak ada tempat untuk sebuah pejabat konsulat AS yang memberikan perkhidmatan kepada penduduk Palestin di Baitulmaqdis.

Berikutan kenyataan Bennett itu, Menteri Luar negara haram itu, Yair Lapid telah mencadangkan supaya pejabat konsulat tersebut dibuka di bandar Ramallah, Tebing Barat iaitu wilayah yang turut dijajah oleh rejim Zionis.

Cadangan itu kemudiannya ditentang oleh Palestin menerusi Nabil Abu Rideineh iaitu jurucakap kepada Presiden Palestin, Mahmoud Abbas yang menyatakan Palestin bersetuju jika pejabat konsulat AS itu hanya dibuka di Baitulmaqdis dan tidak di tempat lain.



Perbalahan tentang isu pejabat konsulat itu kelihatan masih tidak menunjukkan sebarang tanda bahawa ia akan berakhir.

Sebelum ini, Bennett terkenal dengan pendiriannya yang menentang penubuhan sebuah negara Palestin.

Beliau pernah menyatakan adalah satu kesilapan besar jika tertubuhnya negara tersebut.

Baru-baru ini beliau turut berkata bahawa penubuhan sebuah negara Palestin bermakna sebuah negara ‘pengganas’ telah ditubuhkan.



Pendirian Bennett itu dikatakan mendapat sokongan yang besar di Israel seperti yang diperjelaskan oleh Ketua Pusat Kajian AS di Universiti Tel Aviv, Yoav Fromer .

Fromer berkata kepada AFP bahawa pendirian Bennett itu mendapat sokongan meluas dalam kalangan penduduk Israel.

Tambahnya, rejim Zionis juga tidak mahu AS menarik balik keputusan untuk menutup pejabat konsulat tersebut di Baitulmaqdis.

 

ISRAEL CUBA MENYAHUDIKAN BAITULMAQDIS

Rejim Zionis, katanya, mahu mendapatkan keuntungan diplomatik seperti apa yang diperoleh oleh Israel semasa AS berada dibawah pemerintahan Trump.

Walau apa pun, komen Bennett itu turut mendapat bantahan daripada Kementerian Luar Pihak Berkuasa Palestin.

Kementerian itu menuduh Israel cuba untuk ‘menyahudikan dan mengisraelkan’ Baitulmaqdis dan memisahkan kota tersebut daripada dikelilingi oleh penduduk Palestin.

Kenyataan Bennett tersebut juga menunjukkan bahawa kerajaan Israel ialah sebuah kerajaan penempatan dan peneroka Yahudi yang cuba untuk dipelihara dengan mengorbankan hak-hak penduduk Palestin.

Bagaimanapun, keputusan pentadbiran Biden untuk membuka balik pejabat konsulat AS untuk penduduk Palestin di Baitulmaqdis itu diterima dengan nada yang gembira oleh Palestin.

Pembukaan pejabat konsulat AS itu juga menunjukkan satu pengiktirafan bahawa Baitulmaqdis Timur bakal menjadi ibu negara Palestin, kata seorang pegawai Pihak Berkuasa Palestin yang tidak mahu namanya didedahkan oleh AFP. – Agensi

Rancangan baharu AS ‘peningkan kepala’ Israel


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Asteroid berbahaya 4660 Nereus hampiri Bumi [VIDEO]

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker