Harga ayam mungkin terus naik – Bos Mydin

Harga ayam mungkin terus naik – Bos Mydin

Kerajaan perlu mengambil tindakan segera bagi menangani isu kenaikan harga ayam, kata pemilik rangkaian pasa rraya besar Mydin, Ameer Ali Mydin.

Beliau berkata, pembekal mendakwa kenaikan harga berpunca daripada peningkatan harga dedak dan kekurangan tenaga buruh serta bekalan ayam itu sendiri.



Katanya, rangkaian pasar raya itu hanya memperolehi 60% sahaja bekalan berbanding biasa.

“Ini begitu membimbangkan terutama apabila kenaikan berlaku di luar musim. Pembekal memaklumkan harganya akan terus naik disebabkan harga dedak yang mahal dan kekurangan pekerja asing,” katanya kepada FMT.

Pada awal September Ameer berkata, harga ayam hanya sekitar RM8 sekilogram (kg) dan sejak itu ia terus meningkat kecuali ketika perayaan Deepavali apabila harga kawalan dilaksanakan.

Katanya, menjelang minggu depan harga akan naik kepada RM9.39/kg, iaitu kenaikan sebanyak RM1.40 hanya dalam tempoh dua bulan setengah.



Sementara itu, seorang penternak yang enggan dikenali berkata, isu bekalan timbul khususnya di rangkaian pasar raya adalah kerana ternakan lambat membesar berikutan cuaca sejuk dan hujan lebat.

“Jadi banyak ternakan tidak mencapai syarat yang sepatutnya untuk membolehkan ia dibekalkan kepada rangkaian pasar raya dan disebabkan itu terdapat tanggapan bahawa berlaku kekurangan bekalan.”

Bagaimanapun penternak itu berkata, masalah kekurangan tenaga buruh lebih merisaukan kerana ia bukan hanya menjejaskan operasi ladang tetapi juga kilang pemprosesan, sekali gus meningkatkan kos operasi termasuk bayaran kerja lebih masa.

Ameer berkata, kekurangan tenaga kerja menyebabkan produktiviti menurun bukan hanya dalam industri ternakan tetapi industri makanan dan minuman serta runcit secara keseluruhannya.



“Sejak pandemik melanda, ramai pekerja asing terpaksa pulang ke negara asal dan syarikat tidak dapat membawa masuk pekerja baharu disebabkan larangan pengambilan pekerja asing.

“Di Mydin sahaja, kita kehilangan lebih 1,000 pekerja yang tidak dapat diganti. Program rekalibrasi pekerja asing dilaksanakan kerajaan tidak berhasil,” katanya.

Katanya, kerajaan tidak sedar betapa teruknya perniagaan dan ekonomi terjejas akibat keadaan itu.

“Ia tidak ada kena mengena dengan Covid-19, sebaliknya ini membabitkan penurunan dari segi produktiviti.”



Beliau menggesa kerajaan supaya membenarkan pengambilan baharu pekerja asing dengan berkata, pemilik perniagaan akan patuh kepada syarat kerajaan termasuk membabitkan kos yang perlu ditanggung mereka untuk kuarantin dan vaksinasi.

“Beri kelulusan terus kepada pemilik perniagaan yang memerlukan pekerja asing. Jangan beri kelulusan kepada sindiket yang membawa masuk pekerja asing,” katanya. FMT

Harga ayam mungkin terus naik – Bos Mydin


Baca Artikel Menarik :



Layari Laman Facebook MYKMU

PH sudah tersilap, jangan buat lagi dalam isu calon KM Melaka – Guan Eng

Nik Abduh, Khairuddin kalah kerana bukan team presiden?



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker