Selepas 70 tahun ditubuhkan, ke mana hala tuju Pas?

Abdul Hadi menyampaikan Ucapan Dasar dan Perasmian Muktamar Pas ke-67 di Duyong Marina & Resort di Kuala Terengganu pada Sabtu.
Abdul Hadi menyampaikan Ucapan Dasar dan Perasmian Muktamar Pas ke-67 di Duyong Marina & Resort di Kuala Terengganu pada Sabtu.

MUKTAMAR Pas kali ke-67 yang berlangsung selama dua hari bermula 6 November di Duyong Marina & Resort, Kuala Terengganu dengan tema ‘Islam Menyatukan Ummah’ sudah pun melabuhkan tirainya.

Sama seperti sebelum ini, muktamar Pas berlangsung dengan lancar dan sempurna hasil kerja kuat petugasnya.

Bezanya kali ini parti itu bermuktamar sebagai sebuah kerajaan yang memimpin Putrajaya, bukan lagi parti pembangkang.

Selepas 70 tahun ditubuhkan, Pas mencipta kejayaan dengan bukan sekadar memimpin Kelantan, Terengganu dan Kedah malah mentadbir Kerajaan Pusat bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO.

Tiada cerita hangat, panas dan mengujakan yang boleh diketengahkan sepanjang dua hari muktamar berlangsung kecuali kegagalan anak bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahankan jawatannya sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat.

Nik Mohamad Abduh yang merupakan Ahli Parlimen Bachok ditolak oleh perwakilan untuk berada dalam kepimpinan tertinggi parti dan nasib sama turut menimpa Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

 

Agak mengejutkan apabila anak Tok Guru, Nik Abduh gagal mempertahankan jawatan AJK Pas Pusat bagi sesi 2021-2023.
Agak mengejutkan apabila anak Tok Guru, Nik Abduh gagal mempertahankan jawatan AJK Pas Pusat bagi sesi 2021-2023.

 

Mohd Khairuddin gagal mengekalkan kedudukan sebagai AJK Pas Pusat bagi sesi 2021-2023 dan keputusan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan beberapa isu melibatkan bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu sendiri.

Antaranya rakaman audio berdurasi satu minit 52 saat mengaitkan dirinya yang ditularkan di media sosial sebelum ini, namun pemimpin itu menyatakan kegagalan tersebut tidak dipengaruhi anasir luar.

Mohd Khairuddin yang juga bekas Menteri turut gagal menempatkan diri dalam AJK Pas Pusat bagi sesi 2021-2023.
Mohd Khairuddin yang juga bekas Menteri turut gagal menempatkan diri dalam AJK Pas Pusat bagi sesi 2021-2023.

 

“Kalah menang perkara biasa dalam setiap pertandingan kerana ia menggambarkan suara para perwakilan.

Apa yang pasti kita akan terus bekerja untuk parti.

“Faktor kekalahan ini tiada kaitan dengan perkara dari luar. Dalam politik apa sahaja boleh berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Muktamar Pas ke-67 selain enggan mengulas apabila ditanya kesahihan dakwaan yang mengatakan dirinya sebagai individu di sebalik audio tersebut.

 

HADI, TUAN IBRAHIM TIADA PENCABAR

Sudah diumumkan dari awal sebelum muktamar, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalannya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengekalkan jawatan masing-masing sehingga 2023 berikutan tiada pencabar yang mahu merebut kedudukan tersebut.

Ia memberi signal bahawa Pas memberi sepenuh kepercayaan kepada kedua-dua pemimpin itu untuk meneruskan perjuangan dan menetapkan hala tuju parti lebih-lebih lagi selepas kejayaan kerjasama kerajaan PN serta menguasai kerajaan Persekutuan.

Seperti yang dijangka, tiga penyandang Naib Presiden Pas berjaya mempertahankan jawatan masing-masing apabila diumumkan sebagai pemenang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad mendapat undi paling tinggi iaitu 1,164 diikuti Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah sebanyak 956 undi.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pula memperoleh 778 undi, sekaligus menyingkirkan bekas Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki yang mendapat 623 undi.

Kemenangan tiga figura besar itu bukanlah perkara menghairankan kerana selain dilihat mempunyai ‘haluan’ sama dengan Abdul Hadi, mereka juga bebas daripada kontroversi yang boleh mencetuskan kebencian ahli Pas.

Mungkin kecemerlangan melaksanakan tugas dan bertanggungjawab, kepimpinan baharu parti itu turut melantik dan mengekalkan khidmat Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebagai Setiausaha Agung.

Selain Takiyuddin, Datuk Iskandar Abdul Samad dan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor turut dilantik semula sebagai Bendahari serta Pengarah Pilihan Raya parti itu.

Abdul Hadi, ketika menyampaikan menyampaikan Ucapan Dasar dan Perasmian Muktamar Pas ke-67 menyifatkan muktamar ini adalah terpenting bagi menetapkan hala tuju Pas menuju Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ia untuk memastikan Islam terus memimpin dengan mengekalkan kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri yang dimenangi oleh Pas dan menambah bilangan kerusi serta pengaruh parti itu di negeri lain.

Menghampiri PRU15, Muktamar Pas Kali ke-67 bukan sahaja dinanti oleh ahli parti itu sendiri malah pelbagai pihak lain yang mahu melihat ke mana arah sebenar Pas terutama melibatkan kerjasama PN dan Muafakat Nasional (MN).

PRN Melaka: Muafakat Nasional Pasti Bangkit Semula Jika Tiada Kerajaan Stabil

 

AKAR UMBI GESA TETAP PENDIRIAN PN ATAU BN

Timbalan Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang, Abdul Razib Abdul Rahim sebagai perwakilan dari negeri itu ada menggesa kepimpinan tertinggi parti menyatakan pendirian tetap berhubung kerjasama MN dan PN memandangkan wujud perpecahan di negeri itu menyebabkan agenda penyatuan ummah gagal mencapai matlamat asal.

Hakikatnya, masalah kerjasama MN bukan hanya melibatkan sebuah negeri, ia turut berlaku di Terengganu apabila UMNO secara terang-terangan mengakui tiada MN di negeri ini dan parti itu mahu bertanding semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU15 nanti.

Sikap UMNO itu ditegur oleh perwakilan Terengganu, Satiful Bahri Mamat agar tidak melihat siasah dalam ruang sempit sebaliknya penyatuan parti-parti politik Melayu perlu dijayakan dengan melihat konteks yang lebih besar dan masa depan serta perpaduan rakyat di negara ini.

Namun malangnya, sepanjang dua hari muktamar berlangsung, hala tuju kerjasama PN dan MN tidak dinyatakan secara jelas oleh kepimpinan tertinggi Pas terutama selepas berlaku pertembungan antara Pas dan UMNO dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ketika ditemui selepas muktamar, Tuan Ibrahim berkata, Pas melahirkan rasa kecewa dengan keputusan Barisan Nasional (BN) yang mengumumkan bertanding di semua kerusi DUN di Melaka namun menganggap pintu rundingan sudah tertutup.

Bagaimanapun kata Pas, PRN Melaka yang akan berlangsung pada 20 November depan akan menjadi kayu ukur penentu hala tuju parti itu bersama PN pada PRU15 nanti.

Semoga dengan keputusan PRN Melaka kelak, Pas, UMNO dan Bersatu yang merupakan tiga parti Melayu besar dapat menilai, merenung dan membuat keputusan tepat ke mana ‘haluan’ mereka demi kepentingan ummah dan memastikan Islam terus memimpin.


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Kemungkinan ahli Pas sabotaj calon Bersatu

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker