Padah Menteri Lubnan terlajak kata, Saudi usir keluar duta mereka

RIYADH – Pada Jumaat lalu, Lubnan yang sedang mengalami krisis kewangan dan ketidakstabilan politik menerima kejutan apabila Arab Saudi dan Bahrain bertindak mengusir keluar duta dari negara tersebut.

Tindakan itu dilakukan selepas seorang bekas pengacara televisyen, George Kordahi yang kini merupakan Menteri Komunikasi Lubnan membuat kenyataan tentang perang yang diketuai Riyadh ke atas Yemen.

Berikutan kenyataan itu, Arab Saudi turut mengarahkan dutanya di Lubnan kembali ke tanah air dan bertindak melarang semua import dari Lubnan selepas mengharamkan rakyatnya daripada melancong di negara tersebut pada Oktober lalu atas sebab-sebab keselamatan.

Keputusan untuk mengusir duta Lubnan itu dibuat selepas Kordahi dilaporkan tidak mahu meletakkan jawatan dan memohon maaf selepas membuat kenyataan tersebut yang menimbulkan kemarahan Riyadh pada 5 Ogos lalu iaitu sebelum beliau dilantik menjadi Menteri Komunikasi.

Beberapa jam selepas Riyadh membuat tindakan tegas itu, Bahrain turut mengarahkan duta Lubnan supaya meninggalkan negara beraja tersebut dalam tempoh dua hari atas sebab-sebab sama dengan Arab Saudi.

Arab Saudi dan Bahrain marah dengan kenyataan dibuat oleh Kordahi dalam satu wawancara dengan sebuah stesen televisyen pada Ogos lalu dengan berkata bahawa para pemberontak Houthi yang disokong Iran mempertahankan diri ketika mereka diserang dengan menambah bahawa banyak rumah, kampung, majlis pengebumian dan perkahwinan dibom oleh tentera perikatan diketuai Arab Saudi.

Bagaimanapun, wawancara tersebut hanya disiarkan pada Isnin lalu dengan bekas pengacara televisyen terkenal Lubnan tersebut menyatakan bahawa perang Yemen yang sudah berlanjutan selama tujuh tahun itu adalah sia-sia dan sudah tiba masanya untuk menamatkannya.

Kenyataan itu dibuat hampir sebulan sebelum beliau dilantik menjadi Menteri Komunikasi dan awal minggu ini, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Kuwait turut memanggil duta masing-masing dari Lubnan sebagai reaksi terhadap apa yang telah diperkatakan oleh Kordahi.

 

Buah-buahan dan syaur-sayuran dari Lubnan dilarang memasuki Arab Saudi sejak April lalu.
Buah-buahan dan syaur-sayuran dari Lubnan dilarang memasuki Arab Saudi sejak April lalu.

 

Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang dianggotai oleh Arab Saudi, UAE, Kuwait, Bahrain, Qatar dan Oman turut mengutuk kenyataan tersebut.

Ini bukan kali pertama Lubnan menghadapi masalah dengan Riyadh kerana Menteri Luarnya, Charbel Wehbe pernah meletakkan jawatan pada Mei tahun ini kerana membuat kenyataan yang menyalahkan negara-negara Teluk ekoran kebangkitan Daesh di Syria dan Iraq.

Kenyataan itu menyebabkan Arab Saudi, Kuwait, Bahrain dan UAE memanggil perwakilan Lubnan ke negara masing-masing untuk menyuarakan kemarahan mereka berhubung dengan kenyataan Wehbe yang dibuat menerusi satu wawancara televisyen.

Namun, Presiden Lubnan, Michel Aoun dan Perdana Menteri baharu, Najib Mikati dilaporkan menolak kenyataan Kordahi baru-baru ini dengan menyatakan ia tidak menggambarkan pendirian sebenar kerajaan berhubung perang di Yemen.

Najib dilaporkan kesal dengan tindakan Arab Saudi itu dan berharap ia dapat menimbangkan balik keputusan yang dibuat Riyadh itu manakala hubungan Beirut dengan negara-negara Teluk terjejas selama bertahun-tahun ekoran pengaruh Hizbullah yang mendapat sokongan daripada Iran.

Kordahi dilaporkan tidak akan meletakkan jawatan berikutan krisis tersebut dan beliau pernah berkata seperti yang dilaporkan oleh AFP bahawa: “Saya tidak melakukan sebarang kesalahan. Saya tidak menyerang sesiapa. Jadi, kenapakah saya perlu meletakkan jawatan.”

Kordahi sebelum ini terkenal sebagai penyokong kumpulan Hizbullah dan rejim Syria pada masa lalu serta beragama Kristian Maronite selain memulakan kerjayanya sebagai wartawan pada tahun 1970-an di beberapa buah stesen televisyen. Beliau menjadi terkenal kerana menjadi hos program Who Wants to Be a Millionaire? versi Arab iaitu satu pertandingan kuiz pada tahun 2000.

 

George Kordahi
George Kordahi

 

Selain bertugas di televisyen, Kordahi juga pernah berkhidmat sebagai wartawan akhbar dan radio serta dikenali sebagai seorang lelaki berperwatakan serius namun kali ini beliau dilihat sebagai pencetus perbalahan hubungan Lubnan dengan negara-negara Teluk berhubung perang di Yemen.

Perang di Yemen bermula pada tahun 2014 apabila pergerakan Houthi berjaya menguasai ibu kota Sanaa dan menyebabkan presiden negara itu, Abdrabbuh Mansur Hadi yang diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapatkan perlindungan di Arab Saudi.

Arab Saudi kemudian bertindak campur tangan dalam perang itu dengan mengetuai tentera perikatan bagi menyingkirkan pergerakan tersebut yang mendapat sokongan daripada Teheran pada tahun 2015.

Puluhan ribuan orang telah meninggal dunia kebanyakannya orang awam manakala berjuta-juta orang dilaporkan hidup dalam kelaparan sehingga PBB menganggapnya sebagai krisis kemanusiaan paling teruk di dunia.

Pada awal tahun ini, Arab Saudi turut mengumumkan ia menggantung import buah-buahan dan sayur-sayuran dari Lubnan kerana sebahagian penghantaran yang dibuat melalui kapal itu sebenarnya digunakan menyeludup dadah.

Padah Menteri Lubnan terlajak kata, Saudi usir keluar duta mereka


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Tuntutan pengeluaran KWSP gagal, rakyat mengadu pada Bossku

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker