Bajet 2022 penuhi keperluan Kementerian Pertahanan

SHAH ALAM – Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyambut baik peruntukan yang diumumkan oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk sektor pertahanan dan keselamatan negara dalam pembentangan Bajet 2022 yang inklusif dan menyeluruh, pada Jumaat.

Kementerian Pertahanan menerima peruntukan sejumlah RM16.14 bilion bagi tahun 2022, iaitu meningkat kira-kira 1.78 peratus (%) berbanding peruntukan tahun lalu.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM11.10 bilion diperuntukkan untuk Perbelanjaan Pengurusan (OE) dan RM5.04 bilion diperuntukkan untuk Perbelanjaan Pembangunan (DE).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, peruntukan yang diterima kementeriannya tahun ini merupakan jumlah yang tertinggi sejak Rancangan Malaysia ke-9 (RMke-9).

Menurutnya, peruntukan itu bukan sahaja membolehkan kementerian meneruskan pelaksanaan inisiatif dan projek-projek sedia ada, malah meningkatkan lagi pelaksanaan inisiatif dan projek baharu merangkumi pelbagai agenda di bawah Teras-Teras Utama Kementerian Pertahanan.

 

Naik taraf aset

“Bagi Agenda Kesiagaan, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM4.54 bilion khusus untuk perbelanjaan berkaitan aset. Penting untuk saya maklumkan, peruntukan ini meningkat 87% berbanding RM2.42 bilion tahun lalu.

“Tambahan ini amat penting dan selari dengan perancangan Kementerian Pertahanan untuk meningkatkan lagi usaha dalam memenuhi keperluan aset bagi ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Sabtu.

Mengulas lanjut katanya, selain aset, peruntukan Bajet 2022 turut akan digunakan untuk penggantian peralatan utama Pasukan Khas Laut (PASKAL) dan Pasukan Khas Udara (PASKAU) melibatkan jumlah peruntukan sebanyak RM14 juta.

Kerajaan juga bersetuju memperuntukkan sebanyak RM25 juta bagi program menangani keusangan sistem yang melibatkan aset-aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Sementara itu bagi Agenda Kebajikan, peruntukan Bajet 2022 akan dimanfaatkan sepenuhnya demi meneruskan usaha menyediakan kediaman yang lebih selesa kepada anggota, veteran ATM dan warga awam Kementerian Pertahanan.

“Sebanyak RM23 juta diperuntukkan khusus untuk melaksanakan penggantian perabot di Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT).

“Ia bukan sahaja selari dengan hasrat yang saya suarakan semasa sesi libat urus Bajet 2022 bersama Menteri Kewangan, malah tiada peruntukan seumpama ini dalam Bajet tahun lalu.

“Kementerian Pertahanan juga akan meneruskan inisiatif berkaitan RKAT termasuk senggara dan bina baharu melalui peruntukan RM388 juta dalam Bajet 2022 khusus untuk RKAT.

Sementara itu katanya, Kementerian Pertahanan akan memberi tumpuan terhadap usaha membaik pulih dan menambah infrastruktur baharu di sekolah-sekolah dalam kem ATM menerusi Agenda Pendidikan.

Ujar beliau, ia penting demi menyediakan perkhidmatan pendidikan yang terbaik kepada anak-anak warga ATM.

 

Agenda Sains & Teknologi

Kementerian turut menerima peruntukan sebanyak RM40.7 juta bagi pembangunan penyelidikan sains dan teknologi pertahanan yang akan dilaksanakan oleh Institut Penyelidikan Sains & Teknologi Pertahanan (STRIDE), bagi memenuhi Agenda Sains Dan Teknologi.

“Saya bagi pihak seluruh warga Kementerian Pertahanan dan ATM menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan khususnya YAB Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan atas peruntukan kepada sektor keselamatan dan pertahanan dalam Belanjawan kali ini.

“Ini membuktikan kerajaan prihatin terhadap aspek kebajikan anggota dan veteran ATM yang merupakan sebahagian Keluarga Malaysia sekali gus komited untuk memantapkan lagi sektor pertahanan dan keselamatan negara.

“Saya bersama kepimpinan tertinggi Kementerian Pertahanan dan ATM akan berusaha sedaya upaya agar peruntukan ini dimanfaatkan dengan telus, berhemah dan berintegriti demi kepentingan tanah air tercinta,” tegasnya.

 

Projek Jiwa Murni

Hishammuddin (tengah) diberi penerangan tentang Projek Jiwa Murni Kementerian Pertahanan ketika lawatannya.
Bagi Projek Jiwa Murni Kementerian Pertahanan, sebanyak 107 projek telah disahkan pelaksanaannya di seluruh negara tahun ini, melibatkan kos keseluruhan RM1.68 juta.

Ia termasuklah projek pembinaan baharu, baik pulih dan senggaraan melibatkan kediaman milik individu awam termasuk veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta bangunan komuniti masyarakat setempat.

Bagi melengkapkan Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) 100 hari, beliau turun padang dan merasmikan sebuah Projek Jiwa Murni Kementerian Pertahanan tahun 2021 yang melibatkan kerja-kerja membaik pulih rumah seorang penduduk di Kampung Sri Tambak, Kluang, Johor pada Sabtu.

Bajet 2022 penuhi keperluan Kementerian Pertahanan


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Ada berita gembira kerjasama UMNO, Pas, Bersatu – Tuan Ibrahim

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker