Bolehkah BN menang PRN Melaka?

Sebaran :

SETAKAT ini masih belum ada tanda-tanda Barisan Nasional (BN) terutamanya UMNO akan mewujudkan sebarang kerjasama dengan mana-mana parti politik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Kalau itu berlaku, mungkin pada 8 November nanti kita akan menyaksikan BN bergerak secara solo dan lebih kecil komponennya berbanding ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Jadi bolehkah BN memenangi PRN itu dengan saiz komponen yang semakin mengecil tanpa sebarang kerjasama strategik selepas melihat hasil kerjasama dengan Pas melalui Muafakat Nasional (MN) dan Bersatu dengan Perikatan Nasional (PN) membuahkan hasil dalam beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) dan PRN Sabah tahun lalu?

Kalau diikutkan, ketika PRU14 dengan kekuatan yang asal pun BN kalah di tangan Pakatan Harapan (PH).



Untuk rekod, BN kalah selepas hilang lapan kerusi DUN kepada PH iaitu empat kerusi UMNO di DUN Rembia, Durian Tunggal, Paya Rumput dan Telok Mas; tiga kerusi MCA di DUN Klebang, Bemban dan Machap Jaya serta satu kerusi MIC di DUN Gadek.

Manakala UMNO juga gagal di DUN Bukit Katil (dahulunya dikenali sebagai DUN Bukit Baru) yang dimenangi bekas Ketua Menteri PH, Adly Zahari.

Ketika itu, UMNO dijangka boleh merampas semula kerusi tersebut daripada Pas yang menang majoriti 43 undi pada PRU13.

Jadi secara keseluruhan, sembilan kerusi itulah yang membawa kekalahan kepada BN pada PRU14.



Dengan dua kerusi milik UMNO (DUN Sungai Udang dan Pantai Kundor) dan masing-masing satu Bersatu-PN (Telok Mas) dan Bebas (Pengkalan Batu) dari empat kerusi yang menarik sokongan kepada kerajaan, cabaran terbesar buat UMNO sudah tentulah mengekalkan kerusi sedia ada dan cuba merampas kembali kerusi yang terlepas ketika ‘Formula 24451’ Idris Haron tidak menjadi disebabkan hilang lapan kerusi DUN dan empat Parlimen dalam PRU14.

Secara matematiknya di Melaka, 15 kerusi DUN diperlukan bagi membolehkan mana-mana parti membentuk kerajaan menerusi majoriti mudah.

Kalau kedudukan terkini DUN diambil kira, UMNO memiliki kerusi terbesar dengan 12 kerusi. Itu pun setelah hilang dua kerusi selepas Sungai Undang dan Pantai Kundor tarik sokongan.

 

PENGHALANG



BN-UMNO hanya perlu satu kerusi (dengan jangkaan dua kerusi yang hilang itu kekal milik BN dalam PRN kali ini) untuk memperoleh majoriti mudah sekali gus membentuk kerajaan.

Atas kertas nampak macam mudah. Takkanlah UMNO dengan sentimen semasa dan berkuasa di peringkat Pusat tidak boleh memperoleh satu kerusi.

Persoalannya bolehkah ia dilakukan?Jelas kelemahan komponen bukan Melayu BN menjadi penghalang kepada hal tersebut.

Kalau MCA dan MIC boleh kemukakan calon boleh menang dan membawa isu-isu yang dekat dengan pengundi sasaran mereka, BN berpeluang cerah untuk menang PRN kali ini.

Namun, kekuatan PH terutama PKR dan DAP yang merampas kerusi-kerusi tersebut daripada BN melalui calon kaum Cina dan India yang berketerampilan masih sukar disaingi MCA dan MIC.

BN juga masih menghadapi defisit kepercayaan yang tinggi dalam kalangan pengundi bandar dan separa bandar yang menyaksikan ia hilang kerusi di kawasan-kawasan bandar terutama Parlimen Alor Gajah, Tangga Batu dan Kota Melaka.

Alor Gajah memperlihatkan BN hilang kerusi tradisinya di empat DUN (Machap Jaya, Rembia, Gadek dan Durian Tunggal).

Manakala BN hilang kerusi signifikannya dalam kawasan pembangkang di DUN Telok Mas (Parlimen Kota Melaka), Paya Rumput dan Kelebang (Parlimen Tangga Batu) serta di kubu kuatnya sendiri, DUN Bemban (Parlimen Jasin).

Kesemua kawasan itu, BN tewas melalui pertandingan tiga penjuru yang menyaksikan perpecahan undi kepada parti bertanding yang membawa kelebihan kepada PH.

Maka dengan tindakan BN yang mahu bergerak solo kali ini, kebarangkalian untuk mengulangi situasi serupa sangat tinggi.

Adakah satu kerusi yang sangat signifikan buat BN mampu diperoleh dengan strategi berani mati sebegini?

Mampukah BN melakukannya dengan gandingan dua orang kuat Masjid Tanah yang pertama kali mengepalai BN bertarung pada pilihan raya yang sangat terbuka dan penuh dilema?

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU



Sebaran :

Leave a Reply