Rumah ustaz pula jadi sasaran toyol

Sebaran :

Rumah ustaz pula jadi sasaran toyol

KOTA BHARU – Kes kecurian wang penduduk di tiga buah kampung di Kubang Kerian di sini dipercayai angkara perbuatan toyol seakan tidak berkesudahan apabila kejadian terbaharu dilaporkan di kawasan itu pada malam kelmarin.

Dalam kejadian itu, lima buah rumah penduduk termasuk seorang guru agama dimasuki makhluk halus tersebut untuk mengambil wang di dalam dompet.

Penduduk, Piji Dollah, 36, berkata, dalam kejadian kelmarin, wangnya berjumlah RM150 di dalam beg galas didapati lesap.



Selain itu, wang RM200 milik ibunya turut lesap dipercayai ang­kara makhluk sama.

“Saya berasa terkejut apabila mendapat tahu rumah milik seorang ustaz turut dimasuki toyol dan kehilangan wang RM100 pada malam yang sama.

“Sebelum ini, saya ada memanggil pengamal perubatan Islam untuk memimpin solat hajat di rumah sebagai ikhtiar untuk menghalang perbuatan tersebut daripada terus berlaku.

“Selain bacaan ayat al-Quran, pengamal perubatan itu turut meletakkan tin biskut di penjuru rumah sebagai pendinding, namun duit di dalam dompet saya tetap hilang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.



Menurut Piji, selain dia dan ustaz tersebut, seorang kakita­ngan kerajaan turut menjadi mangsa apabila wangnya berjumlah RM1,800 lesap.

Ia merupakan kerugian ter­tinggi yang dilaporkan dalam kejadian terbaharu tersebut.

“Saya lihat kejadian angkara toyol ini semakin menjadi-jadi. Duit kami hilang tanpa jejak, malah rumah juga tiada kesan dipecah masuk.

“Kami (penduduk) buntu de­ngan kejadian ini,” katanya lagi.



Piji turut mengakui dia sudah naik jelak dengan kejadian tersebut yang bagaikan tiada kesudahan sejak Februari lalu.

Ini kerana, penduduk kampung terpaksa hidup dalam ketakutan kerana bimbang wang mereka yang disimpan di dalam rumah lesap.

“Kami harap ada pihak yang tampil membantu penduduk kampung agar kejadian (toyol) ini tidak lagi berpanjangan,” katanya.

Kosmo! semalam melaporkan kira-kira 2,000 penduduk di tiga buah kampung di Kubang Kerian tidak dapat tidur lena sejak akhir-akhir ini apabila semakin kerap berlaku kejadian wang yang mereka simpan di dalam rumah tiba-tiba lesap.

Penduduk di Kampung Tok Kenali, Kampung Pulai dan Kampung Polong mendakwa, kehilangan wang itu dipercayai angkara perbuatan toyol yang menyelusup masuk ke rumah mereka pada waktu malam.

Sejak Februari lalu hingga kini, kira-kira 20 buah keluarga di tiga kampung terbabit mendakwa sudah menjadi mangsa apabila duit mereka hilang dalam sekelip mata dengan nilai tertinggi yang hilang mencecah sehingga RM10,000. K Online

Rumah ustaz pula jadi sasaran toyol


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Saya masuk PKR, Guan Eng siapa nak halang


Sebaran :

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *