PRN Melaka perlu ambil kira faktor kewangan negara



PRN Melaka perlu ambil kira faktor kewangan negara

SEPERTI diketahui umum, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 5 Oktober lalu selepas Tun Mohd Ali Rustam selaku Yang di-Pertua Negeri menerima cadangan dikemukakan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) pada sidang media 18 Oktober lalu mengumumkan bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan diadakan pada 20 November ini, selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

Maka, sekali lagi kisah politik Melaka menjadi tajuk utama berita dan perbualan kebanyakan orang selepas reda untuk beberapa hari. Jika dilihat tinjauan pendapat rambang yang dilakukan media sebelum ini, ada yang bersetuju untuk diadakan PRN, namun tidak kurang juga yang menentang.

Sebelum ini, bagi kelompok yang menentang PRN pendirian mereka jelas, iaitu ia bertujuan mengelak berlaku gelombang keempat penularan COVID-19 berdasarkan pengajaran yang boleh diambil daripada PRN Sabah sebelum ini. Bagaimanapun, terdapat satu lagi perspektif lain yang perlu diberikan perhatian, iaitu kos mengendalikan pilihan raya itu.




Sebelum ini SPR pernah mendedahkan anggaran kos keseluruhan PRN Melaka adalah RM46 juta. Perlu ditegaskan bahawa angka RM46 juta itu hanya kos langsung dan tidak mengambil kira kos tidak langsung.

Misalnya, kehilangan jam bekerja akibat perlu keluar mengundi dan kos pengangkutan pengundi, khususnya yang menetap di luar Melaka. Bahkan, kita juga perlu mengambil kira kos rawatan kesihatan jika tercetus gelombang keempat penularan COVID-19 akibat PRN Melaka.

Walaupun lebih 90 peratus penduduk dewasa sudah menerima vaksinasi, risiko untuk mendapat jangkitan kategori dua hingga lima tetap ada. Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini, kos langsung rawatan pesakit kategori tiga ke atas mencecah ribuan ringgit seorang. Ini tidak termasuk kos rawatan susulan serta kos kehilangan produktiviti akibat kesan berpanjangan jangkitan COVID-19.

Jumlah keseluruhan kos langsung dan tidak langsung PRN ini mungkin masih tampak kecil jika dibandingkan dengan peruntukan belanjawan tahunan kerajaan Persekutuan, mahupun kerajaan negeri. Namun, dalam keadaan kewangan kerajaan yang semakin meruncing sekarang, setiap sen harus dibelanjakan dengan berhati-hati dan tidak sewajarnya dibazirkan. Apatah lagi jika peruntukan itu digunakan untuk melayan serakah ahli politik yang tidak mungkin kunjung padam.

Perbelanjaan mengendalikan PRN ini sepatutnya menduduki tempat tercorot dalam senarai keutamaan kerajaan. Lebih baik peruntukan RM46 juta itu dibelanjakan ke jalan yang lebih produktif dan memberikan hasil pulangan berganda kepada ekonomi negeri, misalnya bantuan kewangan bagi mengembangkan perusahaan yang berdaya maju atau disalurkan kepada projek infrastruktur kritikal.




Harapannya dalam mengendalikan belanjawan negara dengan lebih baik, pilihan raya negeri bagi Melaka, Sarawak dan setiap negeri di Malaysia sepatutnya dijalankan serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti. Langkah itu pasti lebih menjimatkan.

Oleh itu, kerajaan sewajarnya mengambil pendirian untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya mengisytiharkan darurat di Melaka sehingga tiba masa untuk PRU-15 kelak.

Darurat diisytiharkan itu nanti hanya akan memberi impak atas tarikh PRN, namun tidak memberi kesan buruk atas ekonomi dan kehidupan rakyat Melaka, sama seperti darurat yang diisytiharkan atas Sarawak. BH

PRN Melaka perlu ambil kira faktor kewangan negara


Baca Artikel Menarik :




Layari Laman Facebook MYKMU


Saya masuk PKR, Guan Eng siapa nak halang



Leave a Reply

Your email address will not be published.