Serah semula kepada rakyat pilih kerajaan baharu Melaka

KUALA LUMPUR: Tidak adil untuk tidak melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dengan mengisytiharkan darurat setempat di negeri itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, kejatuhan pentadbiran kerajaan negeri Melaka adalah akibat tindakan ahli politik yang berebut kuasa.

Justeru, katanya, mandat kerajaan negeri mesti dikembalikan kepada rakyat melalui pilihan raya dengan kadar segera dan pengisytiharan darurat tidak akan menyelesaikan kemelut politik dalam jangka masa panjang.

Menurutnya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mesti tampil dengan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat dengan menghalang pemimpin politik daripada negeri lain memasuki sempadan Melaka untuk tujuan berkempen.

“Kaedah berkempen dan penamaan calon mesti diubah secara dalam talian dan hanya membenarkan pemilih dari luar negeri membuang undi bagi memastikan tidak berlaku penularan jangkitan Covid-19 secara drastik ketika keadaan pandemik sudah beransur terkawal.

“Undang-undang yang ketat perlu dikuatkuasakan. Tidak boleh tidak, pilihan raya mesti dibuat untuk menjunjung prinsip demokrasi berperlembagaan kerana pemimpin sendiri yang menghancurkan demokrasi,” katanya ketika dihubungi semalam.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memutuskan untuk menasihatkan Pemangku Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzudin Shah sama ada mengisytiharkan darurat atau meneruskan PRN Melaka.

Walau bagaimanapun, hampir seminggu selepas beliau memaklumkannya, masih tiada petanda kerajaan memuktamadkan keputusan berkenaan.

Kemelut politik di Melaka tercetus ekoran empat ADUN yang dikepalai oleh ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron bersama tiga ADUN lain iaitu ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan; Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) menarik sokongan terhadap kepemimpinan Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

Mengulas lanjut, kata Mohamed Haniff, seandainya kerajaan mengisytiharkan darurat setelah mempertimbangkan keadaan yang menuntut kepada pelaksanaannya, urus tadbir kerajaan negeri mesti dikawal selia oleh badan yang bebas daripada pengaruh politik.

Katanya, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka (SUK) sewajarnya memainkan peranan dalam mengurus hal ehwal kerajaan negeri bagi mengelakkan ahli politik terus melanggar demokrasi.

“Letak sahaja peranan ini di bawah Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri baharulah darurat itu bersifat adil. Dalam hal pilihan raya pula, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh mengumumkan untuk menjalankan proses undi lebih daripada sehari.

“Kita boleh menggunakan pelbagai kaedah yang dirasakan munasabah bagi memastikan pilihan raya ini berjalan lancar tanpa gangguan akibat pandemik Covid-19,” katanya.

Sementara itu, Felo Penyelidik Undang-Undang dan Perlembagaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Muhammad Fathi Yusof pula percaya, kerajaan dan Seri Paduka akan membuat pertimbangan yang sewajarnya berlandaskan prinsip keluhuran Perlembagaan.

“Penilaian ini perlu mengambil kira keperluan melaksanakan tanggungjawab demokrasi seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan.

“Sebarang keputusan perlu dibuat secara bersekali dan langkah yang terbaik ialah menyerahkan pentadbiran negeri kepada pihak yang dapat melaksanakan tanpa timbul kekeruhan dari sudut pertembungan politik,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Serah semula kepada rakyat pilih kerajaan baharu Melaka


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Zahid tolak MN di PRN Melaka, BN akan bertanding solo

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker