‘Saya ada fakta kukuh Pulau Batu Puteh milik Malaysia’

PETALING JAYA: Bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mendakwa, beliau mempunyai fakta dan asas kukuh bahawa Pulau Batu Puteh adalah milik Malaysia.

Malah, ketika bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau menegaskan yakin mampu membuktikan perkara tersebut dalam tempoh 60 hari jika Malaysia tidak menarik balik semakan dan pentafsiran penghakiman berhubung kes kedaulatan pulau itu.

Bagaimanapun, menurutnya, beliau kecewa apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad membuat keputusan menarik balik semakan dan pentafsiran penghakiman berhubung kes Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah serta Tubir Selatan pada 2018.

“Saya amat marah dan kecewa dengan keputusan Dr. Mahathir yang membuat ketetapan itu tanpa merujuk kepada Kabinet dan saya ketika itu, Peguam Negara.

“Cukup hairan mengapa bekas Perdana Menteri itu buat keputusan itu tanpa rujuk kepada Peguam Negara. Sedangkan kita ada bukti untuk menunjukkan pulau itu milik Malaysia dan saya boleh selesai dalam tempoh 60 hari jika berbuat demikian,” katanya.

Kelmarin Kabinet akan menubuhkan sebuah pasukan petugas khas bagi tujuan semakan semula undang-undang berkenaan isu Pulau Batu Puteh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pasukan petugas khas itu akan membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan pilihan yang bersesuaian, dengan mendapatkan pandangan pakar undang-undang antarabangsa.

Kata beliau, pasukan petugas khas itu akan dipengerusikan oleh Mohamed Apandi.

Dalam pada itu, Mohamad Apandi memaklumkan kajian perlu dilakukan dengan merujuk pakar-pakar antarabangsa sama ada Malaysia boleh membuat semula undang-undang tersebut walaupun pernah ditarik sebelum ini.

“Sebab itu pasukan ini diwujudkan sama ada kita boleh buat semakan undang-undang atau tidak. Terlalu awal untuk saya ulas lebih lanjut.

“Lagipun saya belum terima surat pengesahan rasmi daripada kerajaan, jadi tidak sesuai untuk ulas lebih lanjut,” katanya.

Sebelum ini, Mohamad Apandi dilaporkan berkata, Malaysia sudah terlepas peluang untuk mendapatkan semula Pulau Batu Puteh selepas Dr. Mahathir membuat keputusan untuk menarik balik semakan dan pentafsiran penghakiman berhubung kes kedaulatan pulau itu serta Batuan Tengah dan Tubir Selatan pada 2018.

Bekas Peguam Negara itu berkata, Dr. Mahathir membuat keputusan itu, beberapa hari sebelum kes itu dijadualkan dibicarakan di ICJ pada 11 Jun 2018.- UTUSAN

‘Saya ada fakta kukuh Pulau Batu Puteh milik Malaysia’


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Pulau Batu Puteh: Najib Dedah Pengkhianatan & Penderhakaan PH Terhadap Negara

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker