Titik panas cetus Perang Dunia Ketiga

Gambar Hiasan***

LONDON: Baru-baru ini, China menegaskan ‘Perang Dunia Ketiga’ (WWIII) boleh berlaku pada ‘bila-bila masa’.

Amaran itu bukan sahaja ditujukan kepada Taiwan, malah seluruh dunia khususnya Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara Barat yang bersekongkol dalam konflik di Selat Taiwan.

Namun bagi penganalisis, konflik China dan Taiwan bukan satu-satunya ‘medan’ WWIII dengan Semenanjung Korea, Selat Hormuz, Kashmir, Turki dan Israel dilihat mampu memicu perang besar-besaran.

Taiwan yang mendapat sokongan Barat khususnya AS, berdepan ‘abang besar’ yang memiliki segala-galanya, daripada sistem persenjataan sehingga jumlah ketenteraan yang besar.



Sam Armstrong dari Henry Jackson Society memberitahu The Sun, China terus bertindak dengan cara mengancam dan membahayakan keamanan, nilai-nilai kebebasan dan undang-undang antarabangsa.

Katanya, Taiwan adalah ‘lambang utama’ Perang Dingin baharu yang terbentuk dan turut melibatkan Beijing dan Barat.

Menurut Armstrong, China mempunyai cita-cita imperialis sementara AS percaya kepada hak sesebuah negara menentukan nasib sendiri.

Jelasnya, konflik masa depan antara China dan AS akan menjadi konflik paling dahsyat yang ‘akan kita lihat’.



Ketegangan yang meningkat di Taiwan muncul beberapa bulan selepas AS berundur dari Afghanistan.

Armstrong berkata, krisis di Afghanistan ‘memberi semangat’ kepada musuh AS seperti China.

KONFLIK PYONGYANG
Sejak 1948, Korea Utara menggambarkan dirinya sebagai ‘musuh utama’ Washington.



Banyak titik konflik yang meningkat terutama pada 1990-an, dan ketika retorik antara Kim Jong-un serta Donald Trump.

Pakar hubungan AS-Korea Utara di Universiti Oxford, Edward Howell berkata, Pyongyang menjadi ancaman kepada keselamatan AS ketika negara itu berusaha mewujudkan ke­tegangan antara Washington dan sekutunya.

Katanya, Pyongyang menunjukkan ‘sangat sedikit niat’ untuk memadam program nuklearnya.

Korea Utara jelas bergabung dengan China dan Rusia dalam perlumbaan mengembangkan senjata hipersonik.



Kim Jong-un terus mencetuskan ketakutan Perang Dunia Ketiga ketika rejim itu melancarkan peluru berpandu Hwasong-8.

Agensi berita Korea Utara melaporkan, pengembangan senjata tersebut meningkatkan kemam­puan pertahanan Pyongyang ‘seribu kali ganda’.

Dr. Jeffrey Lewis dari Institut Kajian Strategik Middlebury berkata: “Kita akan hidup dengan kemampuan Korea Utara untuk menyasarkan AS dengan senjata nuklear”.

China bertindak ‘buli’ Malaysia selepas TUDM buat latihan dengan AS



AS-IRAN-ISRAEL
Hubungan yang semakin buruk antara AS dan Iran dianggap mempunyai kesan ekonomi, politik dan keselamatan yang serius.

Express.co.uk melaporkan, sekiranya kedua-dua negara terlibat dalam konflik ketenteraan, Iran mungkin memilih untuk menyekat Selat Hormuz, di mana 30 peratus bekalan minyak dunia bergerak.

Ini akan mengakibatkan kenaikan harga minyak global dan boleh membahayakan hubungan AS dengan sekutunya.



Sebarang tindakan yang meng­akibatkan perang antara AS dan Iran juga dapat menyaksikan pe­ningkatan ketegangan di negara lain termasuk Syria dan Yaman atau peningkatan serangan peluru berpandu Iran yang menyasarkan tentera AS di Asia Barat.

Iran digelar Axis of Evil (paksi kejahatan) oleh bekas Presiden George W. Bush pada 2002.

Begitu juga ketegangan antara Iran dan Israel yang menggugat seluruh rantau Asia Barat.

KETEGANGAN TURKI-AS
Ketegangan AS dan Turki meningkat dalam beberapa tahun ini, ekoran AS memberikan keizinan Turki membersihkan sempadan Syria daripada Kurdish.

Namun setelah itu, AS me­ngancam Ankara dengan sekatan, menyebabkan ketegangan meningkat.

Selain itu, Presiden Recep Tayyip Erdogan memberitahu, Turki mempunyai aspirasi untuk membangunkan senjata nuklear.

Akibatnya, keadaan hubu­ngan AS-Turki semakin buruk, menyebabkan ketakutan mengenai kesan selanjutnya terhadap pakatan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

KASHMIR
Dalam tempoh 10 tahun ini, hubungan antara India dan Pakistan bertambah buruk, menjadikan kedua-dua negara ini di ambang perang.

Sejak perpecahan British India pada 1947 dan pembentukan India dan Pakistan, kedua-dua negara terlibat dalam sejumlah perang dan pertempuran tentera.

Pada 2019, Perdana Menteri Narendra Modi berusaha mengurangkan autonomi Kashmir dan mengubah dasar kewarganegaraan di seluruh India.

Langkah itu menimbulkan rusuhan di India dan mengetengahkan ketegangan lama antara Delhi dan Islamabad.

Gangguan domestik yang lebih jauh di India dan Pakistan boleh menyebabkan WWIII.

Titik panas cetus Perang Dunia Ketiga


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Filem terbaru ‘James Bond’ gagal tewaskan filem dari China

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker