Rakyat boleh balik kampung, ke luar negara mulai hari ini

PUTRAJAYA: Selepas hampir setahun disekat pergerakan, akhirnya 32 juta rakyat Malaysia bebas untuk merentas negeri termasuk ke luar negara mulai hari ini dengan syarat sudah mendapat dua dos vaksin.

Berita gembira itu diumumkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas kadar vaksinasi lengkap Covid-19 bagi populasi dewasa di bawah Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) mencapai 90 peratus.

Perdana Menteri berkata, kelonggaran itu turut dibuka untuk pergerakan ke luar negara bukan hanya melibatkan kes kecemasan atau urusan rasmi, malah dibenarkan untuk tujuan pelancongan tanpa perlu lagi melalui My Travel Pass Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).



Bagaimanapun, menurut beliau, pintu sempadan negara bagi kemasukan warganegara asing kecuali urusan rasmi dan kecemasan masih belum dibuka dan tertakluk kepada penilaian dari semasa ke semasa oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Namun, saya ingin mengingatkan Keluarga Malaysia agar tidak bersikap sambil lewa terhadap kelonggaran yang diberikan. Ini penting dalam usaha membantu negara dalam pembukaan semula ekonomi serta persediaan menjalani kehidupan fasa endemik dengan selamat.

“Walaupun tiada lagi sekatan jalan raya (SJR) untuk mengawal pergerakan rentas negeri, tetapi SJR untuk jenayah dan keselamatan masih diteruskan. Pemeriksaan secara rawak akan tetap dilaksanakan oleh pihak berkuasa di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” kata beliau pada sidang media khas di pejabat beliau semalam.

Ismail Sabri berkata, kebenaran pergerakan rentas negeri ini tidak terpakai ke atas kawasan atau lokaliti yang diisytiharkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), manakala pengembara yang melakukan pergerakan ke luar negara masih perlu menjalani kuarantin wajib sebaik pulang ke tanah air.



Beliau berkata, walaupun ujian saringan Covid-19 tidak diwajibkan sebelum melakukan perjalanan, namun setiap individu digalakkan berbuat demikian apatah lagi mereka yang bergejala seperti demam, batuk, selsema dan sesak nafas, dinasihatkan untuk menangguhkan perjalanan.

“Di sebalik semua kelonggaran diumumkan, hakikatnya kita terpaksa hidup bersama virus Covid-19. Situasi ini bukan sahaja menuntut rakyat untuk terus mematuhi SOP, malah penting untuk meningkatkan penilaian kendiri demi melindungi Keluarga Malaysia,” katanya.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, kebenaran pergerakan itu turut terpakai kepada semua peringkat golongan rakyat termasuk kanak-kanak walaupun mereka belum divaksin, namun kewajipan melindungi mereka adalah tanggungjawab ibu bapa.

Dalam pada itu, beliau berkata, bagi memastikan proses peralihan negara ke fasa endemik lancar dan selamat, rakyat kini memikul tanggungjawab besar untuk menjayakan usaha tersebut.



Menurut beliau, walaupun kerajaan belum menetapkan tarikh khusus peralihan negara ke fasa endemik, namun pihak KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang merangka SOP berkaitan ke arah persediaan itu iaitu dengan mengurangkan jumlah SOP yang sebelum ini mempunyai lebih 180 perkara melibatkan semua aktiviti.

“Apabila pembukaan ini dilaksanakan, maka ia terus dilaksanakan walaupun jika terdapat peningkatan kes, sebagai contoh kalau berlaku penularan di hotel tertentu, kita tak tutup seluruh Langkawi misalnya tetapi ditutup berdasarkan lokaliti.

“Kita akan kenal pasti bermakna tidak akan mengganggu aktiviti ekonomi di mana-mana kawasan sebaliknya kita fokus kawasan tertentu yang mempunyai kes positif sahaja. Jangan bimbang, kalau kes meningkat, kita tak tutup seperti dahulu,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri menyarankan semua agar mengambil langkah mengukuhkan tindakan kesihatan awam kendiri dengan mengamalkan TRIIS iaitu Test – melakukan ujian pengesanan Covid-19 secara kendiri sekiranya mengalami simptom-simptom jangkitan.



“Report- Laporkan keputusan ujian pengesanan secepat mungkin di MySejahtera; Isolate – Lakukan kuarantin atau pengasingan kendiri dengan segera dan penuh disiplin sekiranya didapati positif supaya tidak bahayakan orang sekeliling,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, langkah seterusnya ialah Inform – Segera maklum kepada kontak rapat anda sekiranya didapati positif dan laporkan juga semua kontak rapat melalui pautan di dalam MySejahtera.

“Maklumkan juga kepada CAC berhampiran sekiranya situasi kesihatan diri semakin merosot semasa menjalani kuarantin di rumah; dan Seek – Dapatkan rawatan segera di pusat-pusat perubatan atau CAC berhampiran sekiranya alami gejala berat,” katanya.- UTUSAN

Rakyat boleh balik kampung, ke luar negara mulai hari ini




Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


PM umum rakyat boleh rentas negeri dan melancong mulai esok



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker