Individu di sebalik jatuhnya dua kerajaan Melaka

Sebaran :

NAMA Datuk Norhizam Hassan Baktee, 55, bukanlah nama asing di Melaka sejak pertama kali menakluk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu pada Pilihan Raya Umum ke-14.

“Saya sangat bangga apabila saya menang di Pengkalan Batu di bawah bendera DAP,” katanya selepas memenangi kerusi berkenaan pada 9 Mei 2018.

Pernah mencetuskan beberapa siri kontroversi, Norhizam yang merupakan Timbalan Pengerusi DAP negeri pada ketika itu, tenang dalam menepis segala cakap-cakap negatif yang dilemparkan terhadapnya.

Norhizam pernah dilabel sebagai ‘YB Gengster’ susulan insiden meninggikan suara kepada orang ramai berhubung penutupan jalan di sebuah penempatan pada Oktober 2018.

Bahkan warganet turut membongkar pekerjaan asalnya iaitu sebagai pemandu van kilang tetapi beliau tidak cepat melatah sambil menjelaskan beliau tidak melihat soal pendidikan merupakan perkara utama dalam mengukur tahap perkhidmatannya kepada rakyat.

Tidak hanya di situ, Norhizam yang juga Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Industri Asas Tani kembali menjadi perhatian berkaitan isu babi yang menggamatkan persidangan DUN Melaka ke-14 pada 21 November 2019.

Norhizam mempertahankan dakwaan wujud migrasi haiwan liar itu dengan memaklumkan sehingga Oktober tahun itu, sebanyak 479 babi hutan telah ditembak dalam operasi yang dijalankan secara berkala, malah beliau sendiri turun padang membuktikan kenyataannya itu.

Ketika itu juga, Speaker DUN, Datuk Omar Jaafar secara berseloroh menggelarkannya sebagai ‘juara menembak babi’.

Kerjaya politik Norhizam terus menjadi perhatian apabila Norhizam yang disangkakan ahli DAP tegar sama seperti bapanya, Hassan Baktee Mohd, keluar daripada parti itu dan memberi sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).

Bapanya ialah ahli DAP yang bertanding dua kali di kerusi sama yang sebelum ini dikenali sebagai Peringgit Tindakan Norhizam bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Datuk Noor Effandi Ahmad, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen (Bersatu-Paya Rumput) dan Datuk Mohamad Jailani Khamis (PKR-Rembia) menyaksikan tumbangnya Pakatan Harapan (PH) di Melaka.

“Hari ini saya bertindak demi kepentingan orang Melayu. Saya sudah kerja keras, bertungkus lumus, mereka (kerajaan PH) kata mereka hendak bermaruah, saya tengok saya barua sahaja,” katanya.

Bersama PN dengan jawatan Exco Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Norhizam kembali menjadi perhatian.

Beliau adalah antara watak empat ADUN yang menyebabkan kerajaan Melaka ditunjangi Barisan Nasional (BN) tumbang setelah berkuasa tidak sampai lapan bulan.

Keempat-empat ADUN blok kerajaan itu menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada Isnin.

Sebelum jatuh, kerajaan negeri Melaka berada di bawah pimpinan BN diwakili 17 ADUN yang terdiri daripada 14 ADUN UMNO, dua (Bersatu) dan satu Bebas manakala pembangkang mempunyai 11 kerusi iaitu tujuh DAP, dua (PKR) dan dua (Amanah).

Ironinya, Norhizam yang merupakan ADUN Bebas adalah satu-satunya ADUN yang menjadi watak tersungkurnya dua kerajaan di Melaka selepas PRU14.

Cuma sebab sebenar runtuhnya kerajaan pada Isnin masih belum diketahui sebabnya dengan jelas.

Sinar Harian cuba mendapatkan maklum balas Norhizam berhubung peranannya dalam kejatuhan dua kerajaan Melaka tetapi beliau akan membuat pendedahan eksklusif sedikit masa lagi bagi merungkai di sebalik tindakannya itu.Apa yang pasti, Norhizam telah menjelaskan tindakannya menarik sokongan terhadap Ketua Menteri adalah demi memperjuangkan nasib rakyat.

Sepanjang tempoh 19 bulan bergelar Exco, beliau bergelut untuk mempergiat sektor pertanian termasuk usaha menangani isu permohonan tanah.

Ujarnya, permohonan yang dibuatnya telah ‘disunyikan’ oleh Sulaiman dan mendakwa, soal pembangunan negeri dipengaruhi pihak ketiga.

“Saya kecewa kerana dasar-dasar tidak dapat dilaksanakan. Dulu barua, sekarang bermaruah. Kita membakar diri untuk rakyat, berjuang untuk rakyat.

“Tengok apa komen rakyat. Ini suara rakyat, tengok satu persatu. Saya menjadi wakil rakyat, mendengar keluhan hati dan bukan perjuangkan diri saya sendiri,” tegas pada Selasa.

Rentetan daripada itu, DUN Melaka terbubar seperti yang dimaklumkan Sulaiman selepas mendapat kelulusan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam.

Individu di sebalik jatuhnya dua kerajaan Melaka

Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


PRN MELAKA: Undi bakal berpecah teruk


Sebaran :

Leave a Reply