Cabaran utama nahi mungkar

Sebaran :

Cabaran utama nahi mungkar

oleh Mohd Shahrizal Nasir

Antara sebab umat Islam dikira sebagai kelompok umat terbaik ialah apabila setiap orang wajib melakukan usaha dakwah. Dakwah dalam erti kata mudah ialah menyeru manusia agar melakukan kebaikan dan mencegah mereka daripada melakukan keburukan. Islam mengajar umatnya agar memberi perhatian terhadap orang lain yang perlu sentiasa berada di landasan yang benar.

Allah berfirman bermaksud: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang yang fasik.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 110)

Apabila bercakap tentang tanggungjawab dakwah, ada kalanya kita tidak melakukannya. Ini mungkin disebabkan perasaan bahawa diri sendiri masih belum mencapai tahap kesempurnaan. Diri sendiri masih banyak kekurangan yang perlu diperbaiki. Namun, apabila Islam meletakkan tanggungjawab dakwah ke atas setiap umatnya, maka ia perlu dilakukan tanpa perlu menunggu diri betul-betul sempurna dan sememangnya kita tidak akan menjadi insan yang sempurna.

Oleh itu, pesanan Rasulullah SAW agar umatnya meneruskan kerja dakwah perlu disahut dan tidak sekali-kali diabaikan. Sesungguhnya Rasulullah SAW mengetahui tidak semua daripada kalangan umatnya mampu melakukan usaha dakwah sepertimana yang dilakukan oleh baginda sendiri.

Namun baginda SAW tetap mengingatkan umatnya agar berusaha melaksanakan dakwah kerana ia menjadi antara sebab Islam terus mekar di atas muka bumi ini. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sampaikanlah kalian daripadaku walaupun sepotong ayat.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Dua perkara yang sering dikaitkan dengan dakwah ialah menyeru orang agar melakukan kebaikan (al-amr bi al-ma’ruf) dan mencegah orang daripada melakukan keburukan (an-nahy ‘an al-munkar). Jika diperhatikan tentang dua perkara tersebut, tidak keterlaluan jika disebut ramai orang boleh sahaja melakukan usaha mengajak orang lain melakukan kebaikan. Tidak sukar untuk mengajak orang lain melakukan kebaikan apatah lagi apabila sememangnya fitrah manusia itu tahu dengan jelas tentang perkara-perkara baik.

Walau bagaimanapun, tidak semua orang mampu untuk melakukan pencegahan kemungkaran. Ini kerana mencegah orang lain daripada melakukan kemungkaran mempunyai kesan sampingan yang tidak semua orang sanggup untuk mendepaninya.

Ada orang tidak mampu untuk mencegah kemungkaran kerana tidak mahu menimbulkan suasana konflik dengan orang lain. Sekiranya diri membuat sesuatu teguran yang dilakukan oleh orang lain, mungkin dia akan dimusuhi oleh orang yang ditegurnya. Sesungguhnya sesuatu kemungkaran itu jelas dan sepatutnya tidak ada lagi keraguan bagi seseorang untuk mencegahnya daripada dilakukan oleh orang lain.

Sepatutnya penjelasan Rasulullah SAW dalam hadisnya perlu dijadikan iktibar bahawa tugas mencegah kemungkaran mesti dilakukan mengikut kemampuan masing-masing. Sabda baginda bermaksud: “Barang siapa antara kalian melihat kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya (kekuasaannya); jika ia tidak mampu, maka dengan lidahnya (menasihatinya); dan jika ia tidak mampu juga, maka dengan hatinya (merasa tidak senang dan tidak setuju), dan demikian itu adalah selemah-lemah iman.” (Hadis riwayat Muslim)

Selain itu, ada juga orang yang tidak mahu mencegah kemungkaran kerana khuatir dirinya menzalimi orang lain. Ingatlah bahawa usaha mencegah kemungkaran sebenarnya satu bukti bahawa diri menyayangi orang lain kerana Allah SWT. Sekiranya seseorang melakukan kemungkaran bermakna dia telah menzalimi dirinya sendiri. Semestinya kemungkaran yang dilakukan mengundang dosa dan balasan buruk daripada Allah.

Justeru, dengan usaha mencegah kemungkaran bermakna kita telah membuktikan adanya kasih sayang dalam diri kerana tidak mahu orang lain mendapat dosa dan kemurkaan daripada Allah SWT. Ada orang sanggup menyembunyikan kemungkaran dengan alasan tidak mahu ‘menzalimi’ orang lain.

Rasulullah bersabda mafhumnya: “Bantulah saudaramu yang zalim dan juga yang dizalimi” – (Hadis riwayat al-Bukhari). Oleh itu, perlu difahami bahawa usaha mencegah kemungkaran juga termasuk dalam kategori perbuatan menyelamatkan orang lain daripada mendapat dosa atas perbuatan menzalimi dirinya sendiri. Ini kerana setiap orang bertanggungjawab memastikan dirinya terselamat daripada api neraka.

Satu lagi cabaran dalam usaha mencegah mungkar ialah apabila ada usaha mengajak orang lain menutup mata apabila melihat kemungkaran. Bukan sahaja diri tidak berani mencegah kemungkaran, malah sanggup pula menuduh orang yang menolak kemungkaran sebagai tidak berperikemanusiaan.

Ingatlah bahawa sesuatu kemungkaran tidak boleh disembunyikan tatkala telah jelas kelihatan dengan bukti-bukti yang meyakinkan. Usaha menutup kemungkaran dengan alasan-alasan yang ingin menampakkan kebaikan di sebalik kemungkaran akan mendatangkan kemurkaan daripada Allah SWT.

Rasulullah SAW menyebut dalam sabdanya bermaksud: “Tidaklah sesuatu kaum yang ada ditengah-tengah mereka pelbagai kemaksiatan yang mampu mereka mencegahnya, namun mereka tidak mencegahnya, melainkan Allah pasti akan menurunkan hukuman kepada mereka semua.” (Hadis riwayat Abu Dawud)

Dalam hadis lain Rasulullah menjelaskan akibat yang bakal ditanggung oleh orang yang tidak menyeru kepada kebaikan dan tidak pula mencegah kemungkaran. Sabda baginda SAW bermaksud: “Demi Rabb (Allah) yang jiwaku berada di tangan-Nya. Hendaklah kalian menyuruh berbuat kebaikan dan mencegah kemungkaran, atau kalau tidak, hampir saja Allah menurunkan azab-Nya ke atas kalian, kemudian kalian berdoa kepada-Nya, namun doa kalian tidak dimakbulkan.” (Hadis riwayat Ahmad)

Pada masa sama, orang yang mencegah kemungkaran perlu berfikiran bahawa dengan perlakuannya itu maka dirinya akan sentiasa mendapat petunjuk daripada Allah. Mungkin ada orang yang tidak mahu mencegah kemungkaran kerana takut satu hari nanti dirinya pula akan menerima teguran atas kesalahan yang dilakukan.

Sepatutnya kita tidak perlu takut apabila melakukan perkara yang benar. Meskipun satu hari nanti, mungkin ditakdirkan kita juga diuji dengan terlibat dalam perbuatan mungkar. Namun percayalah bahawa Allah tidak akan menzalimi para hamba-Nya yang menyahut seruan-Nya agar melakukan usaha mencegah kemungkaran.

Sebenarnya orang yang mencegah sesuatu kemungkaran sedang berusaha menzahirkan kasih sayangnya terhadap orang lain. Dia tidak mahu orang lain terus melakukan kemungkaran sedangkan dia berkewajipan mencegahnya. Mudah-mudahan insan yang menyayangi orang lain akan mendapat kasih sayang daripada Allah.

Rasulullah bersabda yang mafhumnya: “Orang yang menyayangi orang lain, mereka disayangi oleh (Allah) Yang Maha Penyayang. Maka sayangilah orang yang berada di bumi nescaya kalian akan disayangi oleh (Allah) dan semua yang berada di langit.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Penulis Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Cabaran utama nahi mungkar


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Firdaus Wong dedah bukti perbualan lucah pendakwah terkenal


Sebaran :

Leave a Reply