Pelajar sekolah didakwa tukar-tukar gambar bogel gadis bawah umur

Sebaran :

Pelajar sekolah didakwa tukar-tukar gambar bogel gadis bawah umur

Pelajar sekolah antarabangsa didakwa berjual beli gambar bogel dan video membabitkan gadis bawah umur yang mampu didapati pada harga RM10 hingga RM25, dengan perbuatan itu disahkan sendiri oleh beberapa mangsa.

Mereka berkata, gambar tidak senonoh itu diedar dan dijual tanpa persetujuan mereka menerusi laman sembang dalam talian dengan ratusan individu.

Seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun memberitahu FMT, berkata dia menyedari gambarnya diedarkan di satu laman sembang kira-kira dua minggu lalu, oleh dua pelajar dari sekolah antarabangsa berusia 16 tahun.



Katanya, seorang budak lelaki itu mengongsikan gambarnya menggunakan server Discord (platform sembang dan pemesejan segera), apabila menukarkannya dengan gambar seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun, yang sebenarnya telah diedit namun kelihatan tulen.

“Bagaimanapun, gambar saya memang tulen,” katanya kepada FMT.

Menurutnya, beliau secara peribadi tahu mengenai sekurang-kurangnya tujuh mangsa lain dalam kumpulan laman sembang itu, yang dianggotai ratusan orang. Tidak semua gadis terlibat, atau mereka yang mengongsikan gambar berkenaan, adalah dari sekolah sama.

Katanya, insiden terbabit mengakibatkan dirinya dan rakan-rakan rasa “dicabul, jijik dan ketakutan”.



Beliau mendakwa turut mengenal pasti seorang budak lelaki berusia 15 tahun, dari sekolah antarabangsa berlainan, yang turut melakukan aktiviti itu.

“Dia menghantar gambar bogel tulen membabitkan mangsa berusia 15 dan 16 tahun. Dia juga mengambil gambar dalam server VIP (hanya untuk peserta paling aktif dalam laman sembang), kemudian menghantarnya ke dalam server utama untuk tatapan semua orang,” katanya.

Katanya, dia dan beberapa lagi rakannya yang lain berjaya menjejak dan mengenal pasti budak lelaki berkenaan, selain memautkan akaun Discord miliknya ke akaun Spotify.


Tangkap layar didakwa menunjukkan senarai harga untuk gambar berkenaan, yang dikongsikan seorang mangsa.



“Terdapat bukti bahawa beliau juga menghantar gambar terbabit ke akaun Instagram utamanya,” katanya.

Mangsa turut berkongsi dengan FMT tangkap layar yang didakwanya memaparkan senarai harga yang diedarkan mereka yang terlibat.

Menurutnya, ibu bapanya mempertimbangkang untuk membawa perkara itu kepada pihak polis, namun tidak mahu lebih menyebabkan dirinya kesusahan pula.

Minta bantuan ahli politik

Seorang lagi mangsa, berkata dirinya dan kakaknya sedang merangka surat untuk dihantar kepada ahli politik “yang terkenal berkewibawaan dan memperjuangkan mangsa rogol serta hak wanita” bagi mendapatkan nasihat dan bantuan susulan.

Katanya, mereka mengambil keputusan untuk tidak melaporkan kepada polis terlebih dulu kerana tidak yakin pihak berkuasa berkenaan mempunyai sikap “progresif membabitkan isu seperti itu”.

Susulan tercetusnya dakwaan rangkaian itu dalam Twitter, Sekolah Antarabangsa Kuala Lumpur awal hari ini, berkata pihaknya memandangnya serius dan sedang menjalankan siasatan dalaman bagi mendapatkan fakta lebih kukuh.

FMT difahamkan, sekurang-kurangnya seorang mangsa sudah membuat laporan polis berhubung aktiviti berkenaan. FMT

Pelajar sekolah didakwa tukar-tukar gambar bogel gadis bawah umur


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Polis siasat LHDN selepas Najib dakwa salah guna kuasa


Sebaran :

Leave a Reply