Firdaus Wong dedah bukti perbualan lucah pendakwah terkenal

Firdaus Wong dedah bukti perbualan lucah pendakwah terkenal

Pendakwah, Firdaus Wong Wai Nung akhirnya tampil mendedahkan bukti daripada seorang mangsa serangan seksual individu yang didakwa sebagai seorang pendakwah terkenal.

Semua bukti tersebut didedahkan Firdaus yang Pengasas Multiracial Reverted Muslims (MRM) menerusi saluran aplikasi Telegram miliknya, semalam.

Menurutnya, mangsa berkenaan telah menghantar tangkap layar kiriman WhatsApp dan Instagram kepadanya meminta untuk berkongsi bukti tersebut untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat.

Pada masa sama, beliau berkata, mangsa itu juga memintanya berkongsi semua bukti berkenaan bagi menggalakkan lebih ramai mangsa tampil membuat laporan polis.

Katanya, mangsa tersebut juga telah membuat laporan polis dengan kesemua bukti berkenaan turut diserahkan untuk disiasat pihak berkuasa.

“Setelah berbincang dengan sekumpulan penasihat syariah dan pakar perundangan, Alhamdulillah mereka memberikan keizinan kerana semua perkongsian ini tidak bercanggah dengan ajaran Islam dan juga undang-undang.

“Buat pengetahuan sahabat semua, kesemua mesej ini saya telah lihat dengan mata saya sendiri daripada WhatsApp mangsa dan bukan sekadar mendengar kata pihak ketiga.

“Saya terpaksa berkongsi di saluran telegram kerana pada pandangan saya, mesej-mesej bertulis itu mempunyai elemen lucah melampau yang mungkin menyebabkan Facebook atau Instagram saya dipadamkan apabila ada individu yang membuat laporan,” jelas beliau dalam satu hantaran di saluran Telegram itu.

Sejak beberapa bulan lalu, Firdaus menerusi platform media sosial miliknya sering kali berkongsi mengenai isu pemangsa seksual bagi memberi kesedaran kepada masyarakat.

Tindakan itu mencetuskan persoalan dalam kalangan netizen seolah-olah Firdaus Wong merujuk kepada seseorang yang mempunyai populariti dan jumlah pengikut yang ramai.

Mengulas lanjut, Firdaus menegaskan pihaknya telah bersiap sedia sepenuhnya sekiranya ada pihak yang mahu membuat laporan polis atau mengambil tindakan saman.

Kata beliau, pihaknya tetap bersama dengan semua mangsa yang telah membuat laporan polis untuk mendapatkan keadilan.

Beliau menegaskan tetap teguh mempertahankan prinsip berani kerana benar dengan segala bukti telah disiapkan.

“Kepada yang selama ini mempersoalkan kenapa mangsa tidak buat laporan polis, kami telah buat laporan cuma tidak menceritakan agar tiada pihak menganggu siasatan.

“Setelah laporan dibuat, anda yang meminta bukti dikongsikan di media sosial tetapi kami enggan berbuat demikian kerana masih dalam siasatan polis dan tidak mahu menganggu tugasan polis. Kami dihina dan diserang, tiada masalah, kami bersabar.

“Kini setelah siasatan telah selesai dan atas permintaan mangsa-mangsa, kami kongsikan beberapa bukti-bukti yang telah diserahkan kepada polis sebagai kesedaran untuk masyarakat serta menggalakkan lebih ramai mangsa tampil membuat laporan polis,” jelas beliau.

Firdaus turut memaklumkan, pihaknya akan terus membantu mangsa untuk keluar daripada masalah itu dan mendapatkan keadilan.

“Kami tidak menagih simpati atau pujian. Kami mohon sahabat doakan mangsa-mangsa mendapat keadilan sewajarnya.

“Bak kata Kamal Affandi Hashim, “kita bukan nak kurangkan pemangsa seksual tetapi kita nak kurangkan jumlah orang daripada menjadi mangsa”.

“Yang pernah menjadi mangsa mana-mana pemangsa seksual, boleh hubungi kami di MRM Women’s Wing dan Insya-Allah kami akan membantu anda semampu dengan percuma untuk mendapatkan keadilan,” katanya. MG

Firdaus Wong dedah bukti perbualan lucah pendakwah terkenal


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Polis siasat LHDN selepas Najib dakwa salah guna kuasa

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker