BioNTech/Pfizer Mohon Kelulusan EU

FRANKFURT: BioNTech Jerman dan rakan kongsinya di Amerika Syarikat (AS), Pfizer memaklumkan, mereka sudah memohon kelulusan pengawalseliaan Kesatuan Eropah (EU) bagi vaksin COVID-19, meningkatkan lagi harapan untuk suntikan pertama vaksin itu dapat dilakukan pada Disember.

Dua syarikat itu berkata, mereka sudah menghantar permohonan kepada Agensi Perubatan Eropah (EMA) semalam bagi mendapatkan ‘Kebenaran Pemasaran Bersyarat (CMA)’ bagi vaksin mereka.

Langkah itu dilakukan selepas ujian berskala besar menunjukkan vaksin itu 95 peratus berkesan melawan COVID-19 dan tidak menyebabkan kesan sampingan serius.



Jika diluluskan EMA yang berpangkalan di Amsterdan, vaksin berkenaan berpotensi untuk digunakan ‘di Eropah sebelum penghujung 2020’, kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Pfizer dan BioNTech sudah pun memfaikan kelulusan penggunaan kecemasan vaksin yang mereka hasilkan. - Foto AFP
Pfizer dan BioNTech sudah pun memfaikan kelulusan penggunaan kecemasan vaksin yang mereka hasilkan. – Foto AFP

Jika badan pengawal selia AS itu memberi lampu hijau, rakyat negara itu boleh mula mendapatkan vaksin berkenaan pada pertengahan Disember.

Badan pengawal selia United Kingdom (UK) turut menyaring vaksin BioNTech/Prizer itu.

“Kami tahu sejak permulaan perjalanan ini bahawa pesakit menunggu dan kami bersedia untuk menghantar dos vaksin COVID-19 ini sebaik saja kelulusan membenarkan kami berbuat demikian,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pfizer, Albert Bourla.



Pelopor lain dalam persaingan vaksin global, syarikat bioteknologi AS, Moderna, semalam menyatakan pihaknya sudah meminta kelulusan pengawalseliaan kecemasan bagi suntikan COVID-19 di AS dan Eropah.

Vaksin oleh Moderna dan Pfizer/BioNTech adalah berasaskan satu teknologi baharu yang menggunakan mRNA (asid ribonukleik pengutus) bagi menghantar bahan genetik kepada tubuh yang mana akan membolehkan sel tubuh manusia membentuk protein daripada virus.

Ini akan melatih sistem imunisasi untuk bersedia menyerang jika ia menemui coronavirus baharu.

Bagaimanapun, vaksin Moderna boleh disimpan dalam tempoh yang panjang pada suhu negatif 20 darjah Celcius, manakala vaksin Pfizer memerlukan suhu negatif 70 darjah Celsius.



Kedua-dua vaksin itu dibangunkan dalam tempoh yang amat singkat sebagai sebahagian daripada usaha yang tidak pernah berlaku sebelum ini bagi menamatkan wabak yang menjangkiti lebih 62 juta orang dan membunuh lebih 1.4 juta di seluruh dunia.

Pfizer dan BioNTech sebelum ini berkata, mereka menjangka untuk mengeluarkan sehingga 50 juta dos vaksin secara global pada tahun ini dan sehingga 1.3 bilion dos menjelang akhir 2021. – AFP

Pfizer Tunggu ‘Lampu Hijau’ Untuk Edar Vaksin Covid-19



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker