Kad laporan 100 hari Ismail Sabri

TIDAK dinafikan Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berdepan jalan penuh berliku sebaik sahaja beliau mengangkat sumpah jawatan sebagai ketua kerajaan Pusat yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Umum mengetahui Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO mengambil alih jawatan itu daripada Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), dalam keadaan kerajaan PN dijatuhkan sendiri oleh sebilangan ahli Parlimen UMNO.

Kebimbangan terbesar rakyat saat itu adalah pelantikan Ismail Sabri tidak membawa solusi kepada ketidakstabilan politik negara susulan beliau bukan merupakan seorang ketua kepada partinya, UMNO.

Bagaimanapun, Ismail Sabri tanpa membuang masa lantas merangka strategi untuk meyakinkan pengkritiknya.

Dengan memperkenalkan konsep gagasan ‘Keluarga Malaysia’, pelantikan barisan Kabinet baharu diterajui 31 menteri dan 38 timbalan menteri selain menggariskan indeks petunjuk prestasi (KPI) yang perlu dicapai mereka dalam tempoh 100 hari pentadbiran kerajaan.

Pada awalnya, sebilangan rakyat melihat pengumuman barisan Kabinet Ismail Sabri sebagai sesuatu antiklimaks dan dianggap sekadar bersalin kulit daripada Kabinet kerajaan PN.

 

Ismail Sabri berjaya melepasi ujian 100 hari pentadbiran beliau selaku Perdana Menteri meskipun berdepan cabaran penuh berliku.
Ismail Sabri berjaya melepasi ujian 100 hari pentadbiran beliau selaku Perdana Menteri meskipun berdepan cabaran penuh berliku.

 

Bagaimanapun, selepas tempoh 100 hari pentadbiran kerajaan, Ismail Sabri membuktikan barisan Kabinet yang efisien bagi mendepani tri-krisis terbesar dihadapi negara tidak memerlukan perubahan signifikan.

Dengan hanya sedikit penyusunan dengan meletakkan pemimpin yang betul pada kementerian yang betul, hasilnya rakyat dapat melihat Kabinet ‘Keluarga Malaysia’ berjaya memastikan negara keluar daripada krisis Covid-19 dan kini sedang memasuki fasa endemik.

ROMBAKAN BIJAKSANA

Strategi Ismail Sabri melantik Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebagai Menteri Kesihatan baharu dianggap ramai pemerhati politik sebagai keputusan bijaksana.

Hal ini kerana karisma Khairy memastikan bukan sahaja gerak kerja kementerian kritikal itu lebih teratur dan tersusun dalam aspek pengagihan bekalan vaksin, bahkan berupaya menurunkan kadar jangkitan Covid-19 daripada lebih 20,000 kes kepada purata 6,000 kes dalam masa singkat.

Kesan daripada itu, rakyat tidak lagi ‘terkurung’ di sebalik tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau Fasa Pemulihan Negara, bahkan langkah kerajaan membenarkan mereka merentas negeri memastikan sektor ekonomi domestik kembali rancak.

Selain itu, keputusan mengekalkan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz selain memindahkan atau menggugurkan portfolio kementerian beberapa menteri yang terpalit kontroversi sewaktu kerajaan PN juga dianggap berjaya menstabilkan kerajaan.

Aspek perkara kedua paling penting dicapai Ismail Sabri dalam tempoh 100 hari pentadbiran beliau adalah kejayaan kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ dalam memeterai perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dengan Pakatan Harapan (PH).

Banyak pihak berpendapat tindakan segera Ismail Sabri mengusahakan perjanjian berbentuk ‘perbekalan dan kepercayaan (CSA)’ ini adalah merupakan kunci utama dalam menurunkan sepenuhnya suhu politik negara terutama di peringkat Persekutuan.

Melalui perjanjian ini, Ismail Sabri juga dilihat terbuka untuk melaksanakan beberapa transformasi penting dalam menyuburkan amalan demokrasi negara seperti cadangan pengenalan Akta Anti Lompat Parti, mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal serta mempercepatkan pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pengundi automatik.

“Implikasi positif daripada perjanjian MoU ini dapat dilihat apabila Ismail Sabri berjaya merangka pelan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dengan berstrategik selain memastikan Belanjawan 2022 berjaya diluluskan tanpa sebarang masalah,” kata Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommuddin Bakar.

BUTANG SOKONGAN

Satu lagi kejayaan penting dicapai Ismail Sabri dalam tempoh 100 hari bergelar Perdana Menteri adalah keberanian kerajaan beliau menyediakan peruntukan belanjawan terbesar dalam sejarah negara dengan nilai peruntukan sebanyak RM332.1 bilion.

Bagi sebilangan besar penganalisis ekonomi, Belanjawan 2022 bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’ adalah belanjawan buta warna apabila ia merangkumi semua rakyat, tidak mengira negeri, bangsa, agama dan keturunan serta kekal bersifat inklusif, mampan dan seimbang.

Di sebalik kejayaan Ismail Sabri lulus ujian 100 hari pertama pentadbiran kerajaan beliau, terdapat beberapa cabaran penting yang perlu ditempuhinya bagi memastikan kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ ini benar-benar mencapai objektifnya.

 

No Image Caption

 

Antaranya ialah Ismail Sabri perlu mengendurkan episod perbalahan di antara BN dan PN memandangkan beliau pastinya tidak mahu mana-mana pihak menekan ‘butang menarik sokongan’ terhadap kerajaan beliau pada saat-saat kritikal ketika ini.

Sama ada Perdana Menteri kesembilan itu mampu menyerap setiap tekanan dan cabaran yang dilontarkan demi membuktikan pembentukan kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ benar-benar solusi penyelesaian krisis didambakan rakyat, segalanya terpulang kepada iltizam dan keberanian beliau selepas ini.


KRONOLOGI


Hari ini genap 100 hari pemerintahan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilantik secara rasmi sebagai Perdana Menteri kesembilan pada 21 Ogos lalu bagi menggantikan mantan Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Berikut dikongsikan 10 perkara menarik berlaku sepanjang tempoh Pak Long bergelar pemimpin nombor satu negara.

21 OGOS – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

 

Ismail Sabri
Ismail Sabri

 

22 OGOS – Ucapan sulung Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri disiarkan secara langsung menerusi semua platform media.

27 OGOS – Pembentukan Kabinet melibatkan 31 menteri dan 38 timbalan menteri daripada gabungan parti Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

13 SEPTEMBER – Memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik ditandatangani dengan Pakatan Harapan (PH) untuk memerkasa institusi pentadbiran negara.

23 OKTOBER – Pelancaran konsep Keluarga Malaysia di Sarawak yang mana konsep tersebut berperanan sebagai sebuah institusi keluarga bagi memelihara agama, melindungi keselamatan, menjaga maruah dan memastikan nasib setiap ahli keluarga terbela.

 

Perjanjian MoU gencatan politik di antara kerajaan Ismail Sabri (dua kanan) dan pemimpin PH dianggap pemangkin kepada kestabilan politik di peringkat Persekutuan.
Perjanjian MoU gencatan politik di antara kerajaan Ismail Sabri (dua kanan) dan pemimpin PH dianggap pemangkin kepada kestabilan politik di peringkat Persekutuan.

 

12 OKTOBER – Pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Parlimen sebagai pelan pembangunan menyeluruh bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dengan pengagihan peluang dan hasil yang lebih saksama dalam tempoh lima tahun.

11 OKTOBER – Rakyat dibenarkan merentas negeri selepas kadar vaksinasi populasi dewasa melepasi kadar 90 peratus.

30 SEPTEMBER – Jemaah Menteri diarahkan membentangkan Kad Laporan Pencapaian Aspirasi Keluarga Malaysia 100 hari kepada rakyat bagi memastikan perancangan, pelaksanaan, pemantauan serta penambahbaikan setiap aspirasi Keluarga Malaysia oleh menteri Kabinet dijayakan dengan cemerlang.

29 OKTOBER – Ismail Sabri mengambil langkah berani mengemukakan peruntukan terbesar dalam sejarah iaitu RM332.1 bilion bagi memastikan kesejahteraan rakyat Malaysia tanpa mengira negeri, bangsa, agama dan keturunan serta kekal bersifat inklusif, mampan dan seimbang.

7 NOVEMBER – Ismail Sabri melancarkan sambutan Bulan Keluarga Malaysia dengan menjenamakan semula Bulan Keluarga Kebangsaan yang disambut pada November setiap tahun sejak 2012. Ia dilaksanakan bagi menyemarakkan keutuhan dan keterangkuman dalam Keluarga Malaysia, sekali gus menjamin kemakmuran serta perpaduan sebuah keluarga besar.

 

Kad laporan 100 hari Ismail Sabri


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


100 hari kerajaan Ismail Sabri lulus 100%

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker