Amanah dan DAP kongsi matlamat yang sama, PAS peralatkan agama

TIDAK mempunyai matlamat seiring pegangan Parti Amanah Negara (Amanah) adalah sebab utama mengapa parti itu menolak untuk bekerjasama dengan Pas.

Bagi Amanah, ia tidak boleh berkompromi dengan prinsip perjuangan mereka dan menyifatkan kedua-dua parti diibaratkan ‘walaupun mempunyai akidah yang sama, tetapi akhlak berbeza’.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abd Samad turut merungkai kontroversi penggunaan logo berbeza dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang disifatkan sebagai medan ujian, sebelum memuktamadkannya untuk Pilihan Raya Umum Ke-15.



Untuk mengetahui lebih lanjut pendedahan beliau mengenai perkembangan politik semasa yang lain, ikuti wawancara eksklusif wartawan Sinar Ahad, Farah Shazwani Ali dan Raja Nur Faznie Aida dengan Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam di pejabatnya baru-baru ini.

SINAR AHAD: Pakatan Harapan (PH) mengalami kekalahan teruk pada setiap PRN yang diadakan. Apakah strategi terbaru untuk bangkit semula, terutama PRN Johor yang bakal menjelang?

KHALID: Selepas Langkah Sheraton, kita telah melalui tiga Pilihan Raya Negeri (PRN) iaitu di Sabah, Melaka dan Sarawak. Ia adalah keadaan baharu berbanding dengan suasana Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kerana PRN selepas Langkah Sheraton, PH bergerak tanpa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Memandangkan Bersatu telah keluar, ia telah menarik sokongan tertentu yang menyebabkan sokongan kepada PH berkurangan dan kekalahan di Sabah walaupun tipis.



Paling terkesan ialah semasa di PRN Melaka di mana kita dapati pada PRU14 kita mendapat 51 peratus undi popular semasa bersama Bersatu dan BN mendapat 37 peratus manakala Pas mendapat 11 peratus, tetapi pada PRN Melaka, kita hanya mendapat 37 peratus. Maknanya, perbezaan 14 peratus yang dibawa Bersatu.

Oleh kerana Bersatu bersama Pas, maka peratusan undi popular yang diperoleh Perikatan Nasional (PN) ialah 25 peratus manakala undi BN tidak jauh berganjak kerana pada PRN Melaka, mereka mendapat 38 peratus.

Ini bererti, undi untuk BN tidak bertambah tapi apa yang berlaku, undi untuk PH telah berpecah kerana Bersatu telah bawa bersama 14 peratus undi popular.

Di Sarawak, keadaannya begitu juga kerana berlaku perpecahan apabila Baru Bian (bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat Sarawak) telah membentuk parti baharu iaitu Parti Sarawak Bersatu.



Apabila ia berlaku, kita dapati undi untuk GPS (Gabungan Parti Sarawak) telah bertambah kerana sebagai kerajaan, mereka mempunyai peruntukan yang besar.

Dalam menghadapi PRN Johor pula, kita telah berbincang dengan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dan menegaskan, perlunya gabungan dan kerjasama yang lebih mantap dalam kalangan semua parti-parti pembangkang terutamanya PH bersama Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Warisan Sabah (Warisan).

Kita harap dalam PRN Johor ini, tidak akan berlakunya sokongan yang terlalu ramai untuk PN kerana saya rasa apa yang telah dipelajari oleh rakyat dalam PRN Melaka ialah undi untuk PN tidak akan mendatangkan apa-apa hasil selain daripada kemenangan kepada BN sahaja.

Kalau nak kalahkan BN, maka hanya ada satu pendekatan iaitu sokong PH yang merupakan satu-satunya parti pembangkang atau saingan kepada BN.



Jadi, lebih baik bangsa Johor menolak PN dan tidak mengundi mereka dan memberikan sokongan kepada PH dan rakan-rakan di bawah konsep ‘khemah besar’.

– PKR dan Amanah masing-masing akan bertanding 20 kerusi, apa antara kriteria calon yang bakal diketengahkan?

Bagi PKR, kita serahkan kepada mereka untuk menetapkan calon-calonnya tapi bagi Amanah, kita memberikan keutamaan kepada sifat amanah, bahawa semua calon-calon yang bertanding mesti komited kepada sifat amanah dengan jawatan yang diberikan dan sekiranya dipilih untuk menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), maka mereka akan bersama dan tidak melompat parti, khianat dan sebagainya kerana ini semua perkara yang amat dibenci oleh pengundi.

Kita dapati dalam PRU14, setakat ini Amanah antara parti yang calon-calonnya tidak melompat. Ini merupakan satu imej yang kita ingin pertahankan dan kita ingin berikan jawatan dan tanggungjawab itu kepada mereka yang kita yakin akan memenuhi kriteria ‘Qawiyyul Amin’ iaitu Qawiyyul bererti kuat dan mampu serta mempunyai kepakaran dan kemampuan, manakala Amin bererti amanah dan dia tidak akan lompat.



– Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub pernah mengeluarkan kenyataan mahu menarik balik sokongannya terhadap Perdana Menteri jika PRN diadakan di Johor. Benarkah pada awalnya Amanah gerun untuk menghadapi PRN kerana risau menerima kekalahan lagi?

Saya telah berhubung dengan beliau, apa yang sebenarnya ialah bukan tarik sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tetapi apa yang dimaksudkan ialah Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik. Bagi kami, MoU ini bertujuan untuk mengelak daripada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Walaupun, MoU ini sebenarnya hanya meliputi PRU tetapi semangatnya sepatutnya difahami oleh BN, bahawa ia bertujuan untuk mendatangkan kestabilan supaya masalah ekonomi dan pandemik dapat ditangani dengan baik, barulah kita fikirkan tentang soal pilihan raya, sama ada PRU di peringkat nasional atau PRN di peringkat negeri.

Malangnya, kita dapati UMNO dan BN tidak memberikan keutamaan kepada persoalan-persoalan ini walaupun dalam kempen mereka, mereka kata hendakkan kestabilan politik tetapi tindakan mereka membawa kepada ketidakstabilan kerana mereka membubarkan DUN Johor atas sebab kepentingan politik, disebabkan tidak berpuas hati kerana terpaksa bergantung kepada PN untuk mencapai majoriti walaupun satu undi. Kalau tiada PN bersama mereka, maka mereka tidak boleh ada majoriti dan membentuk kerajaan.

Oleh itu, mereka membubarkan DUN sekarang dengan tujuan untuk menentukan majoriti atas nama BN itu sendiri, sebagaimana yang mereka peroleh di Melaka, itu harapan mereka. Maka, Salahuddin memberikan teguran, dengan tujuan mengharapkan bahawa BN mengutamakan rakyat dan negara serta pemulihan ekonomi sebagai satu ugutan. Tapi bila ia berlaku, kita terpaksa hadapi dan matlamat di sebalik MoU di peringkat nasional, kita tetap perlu pertahankan dan kita hadapi PRN Johor walaupun kita tak setuju kerana ia merupakan PRN yang menzahirkan sifat UMNO dan BN yang rakus kuasa.



– Media melaporkan Pas akan bekerjasama dengan Amanah untuk menghadapi PRN Johor jika Amanah meninggalkan DAP. Adakah ia bakal menjadi realiti?

Kami bekerjasama dengan DAP kerana mereka mempunyai matlamat yang sama daripada sudut pentadbiran negara. Mereka inginkan kerajaan yang telus, bersih daripada rasuah, bebas daripada perkauman dan memberikan hak kepada semua.

Matlamat DAP dalam politik dan pentadbiran negara, ada banyak persamaan dan setakat ini mereka tidak mengkhianati matlamat ini dan tidak juga berdiri bersama golongan pengkhianat.

Pas sebaliknya menunjukkan satu tahap toleransi terhadap rasuah, salah guna kuasa, perkauman dan penentangan agama yang kita tolak. Maka, bagaimana kita boleh bekerjasama dengan Pas sedangkan dia berkompromi dalam soal rasuah sehingga mereka mengeluarkan ‘fatwa’ siapa yang bercakap tentang rasuah adalah ejen Barat.

Bagaimana kita boleh bekerjasama dengan Pas dalam keadaan mereka memperalatkan agama dan kaum untuk mewujudkan ketegangan.

Bagaimana kita boleh bekerjasama dengan Pas, sedangkan mereka menolak prinsip ketelusan. Apabila kita bercakap tentang isu Tan Sri Azam Baki contohnya, mereka berpuas hati. Apabila bercakap isu 1MDB, belum apa-apa, mereka sudah berpuas hati.

Tuntutan Pas kalau nak bekerjasama dengan Pas kena tinggalkan DAP, jawapan saya ialah saya tidak mahu bekerjasama dengan Pas kerana Pas tidak mempunyai matlamat yang sama walaupun mungkin akidah sama.

Katakanlah akidah sama, tapi akhlak tidak sama. Daripada sudut syariat pun, seolah-olah tidak sama kerana dia (Pas) kata rasuah perlu ditafsirkan kembali. Apa itu rasuah? Terima duit untuk parti politik bukan rasuah? Misalnya kalau ada projek, nilai yang sepatutnya RM100 juta tapi kita naikkan RM120 juta dan nilai RM20 juta bagi parti, maka itu bukan rasuah. Adakah itu benar? Tafsiran dan takrifan itu, adakah betul?

Bagi Amanah, kita berpegang kepada akhlak yang tinggi. Jangan fitnah, khianat dan jangan berdiri bersama orang yang khianat. Kita tidak berdiri bersama Bersatu, golongan yang mengkhianati dan kita tidak berdiri bersama UMNO, golongan yang rasuah. DAP juga begitu, lalu ada persamaan daripada segi akhlak kita dengan DAP walaupun akidah kita berbeza tapi dalam soal mentadbir negara, yang penting adalah akhlak dan syariat yang menolak rasuah, perkauman dan salah guna kuasa.

Tapi kita dengan Pas sama akidah tapi daripada segi pentadbiran negara, kita tengoklah apa yang berlaku di Kelantan. Bila kita beri RM400 juta kepada kerajaan Kelantan semasa zaman PH, apa yang mereka buat? Dia beli kereta Mercedes untuk Exco dan menaikkan elaun Exco. Dia tak tolong rakyat dan masalah air di Kelantan. Kalau Pas nak bekerjasama dengan Amanah, biar Pas kena tolak rasuah, biar Pas tolak perkauman dan biar Pas tolak salah guna kuasa dan biar Pas pentingkan rakyat dan negara, baru kita boleh bekerjasama.

– PKR mahu menggunakan logonya sendiri pada PRN Johor. Mengapa Amanah tidak mengambil tindakan yang sama dan mahu kekal dengan logo PH?

Ini sebenarnya isu yang telah dibahaskan sebelum ini untuk PRN Melaka. PKR telah menyatakan bahawa ahli-ahli mereka inginkan penggunaan logo itu sendiri atas alasan logo PKR telah membawa kemenangan pada PRU14. Tapi untuk PRN Melaka, Amanah dan DAP bertegas untuk semua menggunakan logo sama untuk hadapi PRN Melaka.

Pimpinan PKR telah mengalah pada ketika itu dan mereka telah terima cadangan kita supaya menggunakan logo PH. Malangnya, keputusan di Melaka tidak menyebelahi kami. Walaupun bagi kami bukan disebabkan logo tapi bagi ahli PKR khususnya di peringkat akar umbi, ramai menganggap kita tidak menggunakan logo yang memenangkan PH dalam PRU14.

Maka bila di Melaka bila mereka telah mengalah, timbul pula PRN Johor dan mereka sekali lagi mohon untuk gunakan logo parti sendiri kerana mereka rasa pengundi sudah biasa dengan logo mereka.

Itu analisis dan teori mereka. Memandangkan mereka telah mengalah pada PRN Melaka, maka kita anggap adalah wajar untuk kita pula mengalah pada PRN Johor.

Ini juga sebenarnya memberikan peluang untuk kita menguji teori yang dikemukakan bahawa logo PKR itu ada daya tarikan yang tersendiri sebelum kita hadapi PRU15. Kita akan lihat kepada keputusan dalam PRN Johor. Kalau benar logo PKR membawa keputusan dan sokongan yang lebih baik bagi calon-calon PKR, mungkin kita semua boleh menggunakan logo PKR.

Berdasarkan keputusan PRN Johor nanti, kita boleh buat satu kesimpulan. Mungkin kalau prestasi sama sahaja, maka teori bahawa logo PKR itu mempunyai daya tarikan yang lebih istimewa berbanding PH terbukti tidak benar, maka pada PRU15 kita semua boleh gunakan logo PH. Tapi kalau sebaliknya, mungkin kita semua boleh gunakan logo PKR atau kekal dengan pendirian logo berbeza.

– Berkenaan tuduhan hilang dari radar semasa bencana banjir, adakah YB terkesan dengan dakwaan itu?

Saya sebenarnya berada di kawasan sejak 17 Disember hingga 19 Disember lagi, cuma saya tidak mengambil gambar untuk dimuat naik di Facebook ataupun di Twitter kerana sibuk menguruskan masalah yang dihadapi warga Shah Alam disebabkan banjir.

Pada 18 Disember, saya juga terlibat dengan misi membantu mangsa yang terlibat dengan kemalangan, yang mana dia kehilangan sembilan ahli keluarga. Tragedi itu berlaku berhampiran dengan Shah Alam dan semua mangsa dibawa ke Hospital Shah Alam.

Saya bersama keluarga mangsa sehingga semua urusan jenazah selesai. Maka bila mereka katakan saya tidak dikesan oleh radar, maknanya radar mereka itu yang bermasalah. Jujurnya, saya tidak terkesan sama sekali.

Selepas dakwaan itu timbul, rakan-rakan yang terlibat sama dalam operasi membantu mangsa banjir telah memuat naik gambar-gambar saya untuk membuktikan saya sebenarnya turun ke lapangan.

 Shah Alam pasca banjir, apakah strategi dan penambahbaikan yang akan dilakukan jika berlaku lagi pada masa depan?

Apa yang berlaku memang satu keadaan yang amat luar biasa, yang mana dikatakan berlaku sekali dalam 100 tahun. Dalam satu hari, jumlah air hujan yang turun adalah bersamaan jumlah yang diturunkan dalam sebulan.

Oleh kerana itu, banjir berlaku dengan kadar yang jauh lebih teruk daripada yang dijangka. Ada kawasan-kawasan yang tenggelam hingga ke paras bumbung rumah. Jadi bagi saya, hanya ada dua perkara yang boleh kita lakukan. Pertama, kita kena bina benteng tinggi untuk menghalang air masuk ke kawasan seperti mana kita buat di TTDI Jaya dahulu.

Kedua, kita boleh mendalamkan atau melebarkan lagi sungai. Apa yang berlaku pada hari tersebut sebenarnya terdapat dua fenomena selain daripada hujan yang lebat, iaitu air pasang dalam sehingga melebihi 4.5 meter daripada paras yang biasa. Isu seterusnya ialah bila berlakunya banjir, maka perlu ada kelengkapan dan peralatan yang mencukupi. Saya telah mencadangkan kepada ahli-ahli Majlis Bandaraya Shah Alam antaranya memperbanyakkan peralatan seperti bot dan peralatan banjir.

Jadi, bila berlakunya bencana banjir, maka bot-bot dan peralatan banjir ini boleh diguna pakai sewaktu berlaku kecemasan. Di sekitar Shah Alam ada banyak tasik, tiada masalah kalau ada banyak bot berenjin digunakan pada hari-hari biasa. Jadi, bila berlaku kecemasan, kita tak perlu tunggu pihak tentera ataupun bomba.

ANEKDOT

Daripada jurutera menjadi ahli politik

Pada awalnya, saya adalah seorang jurutera sebelum menjadi ahli politik sepenuh masa. Saya mulakan kerjaya pada tahun 1979 dan bekerja dengan Petronas selama tujuh tahun sehingga 1986. Saya kemudiannya dihantar ke Jepun untuk melalui latihan dalam bidang pengurusan. Jawatan terakhir saya dalam Petronas adalah sebagai juruaudit operasi yang menjaga kualiti kawalan dan keselamatan di semua depot simpanan minyak Petronas.

Selepas berhenti pada tahun 1986, saya memulakan perniagaan sendiri dengan memberikan tumpuan kepada penyelenggaraan fasiliti kemudahan minyak dan gas.

Sebelum saya menang pilihan raya pada tahun 2008, saya bertugas sebagai pengurus operasi di sebuah syarikat yang memberikan khidmat penyelenggaraan ‘offshore’.

Kalau tidak berada dalam dunia politik, mungkin saya akan meneruskan kerjaya lama saya. Saya berhenti dengan Petronas pun kerana pada tahun 1986, saya dipilih sebagai calon Pas oleh arwah Tok Guru Nik Aziz (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) di Kuala Krai, Kelantan kerana saya lahir di Kota Bharu walaupun asal-usul keluarga saya dari Johor.

Saya terlibat dengan politik kerana saya mahu berkhidmat. Saya hendak lihat negara kita menjadi negara yang maju dan disegani dan Malaysia menjadi sebuah negara yang mempunyai kedudukan yang disanjung oleh dunia.

Ia hampir tercapai kerana Malaysia adalah negara yang berbilang kaum, bangsa dan agama yang sering ditonjolkan sehingga menjadi sebuah negara yang harmoni.

Tetapi, semua itu telah rosak, hasil daripada pemerintahan yang suka mengadu-domba antara kaum dan agama. Itulah mainan politik yang licik dan ini merosakkan negara kita.

Sinar Harian Premium


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Keluarga Pelakon Ezzaty Abdullah Ada Dalam Kereta Api Terbakar Di Kelantan, Dukung Nenek Sekali

Lelaki cedera dibelasah kekasih gelap isteri

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker